ROYALTI  :  KAMI BERSAMA TOK GURU

 

Maklumat Bilik Gerakan Banjir Di Terengganu

22 Nov 2000...... Seramai 396 orang dipindahkan dan enam jalan utama di negeri itu ditutup kepada lalulintas akibat banjir berikutan hujan lebat sejak Isnin lepas yang menyebabkan air di beberapa sungai meningkat melebihi paras bahaya.

Jurucakap polis berkata, banjir hari ini turut meragut nyawa seorang pelajar tingkatan dua, Mohamad Shaheri Wahab yang lemas apabila dihanyutkan air deras ketika mandi bersama rakan-rakannya di tali air di Kampung Balai Maras, Batu Rakit di sini, pada pukul 1 petang.

Mayat Mohamad Shaheri dijumpai pasukan penyelamat pada pukul 5 petang kira-kira 40 meter dari tempat kejadian, katanya. Sehingga pukul enam petang ini, sekurang-kurangnya 123 orang penduduk di lima kampung di Setiu dipindahkan, 98 orang di Hulu Terengganu, 80 di Kemaman, 59 di Besut dan 36 orang di Dungun.

Jalan-jalan utama yang ditutup kepada lalulintas ialah Km 56 Jalan Kuala Terengganu-Besut, Jalan Sungai Tong ke Kuala Berang, Jalan Penarik ke Permaisuri, Guntung ke Saujana, Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhampiran sempadan Marang/Hulu Terengganu dan Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Stesen Timbang JPJ.

Jalan Sungai Kolam Hulu Terengganu, Jalan Kuala Ping-Kuala Berang, jalan di Kampung Tengkawang, Hulu Terengganu, Kuala Mejing di Sekayu dan Jalan Kuala Jengai berhampiran Rantau Abang ditutup kepada kenderaan ringan.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Parit dan Saliran berkata tujuh sungai di negeri itu kini melepasi paras bahaya. Sungai-sungai itu ialah di Kampung La yang mencatat paras 23.44 meter (bahaya: 19.2 meter), Sungai Pelagat 16.46m (bahaya: 11.3m), Jambatan Permaisuri 9.34m (bahaya: 8.5m), Sungai Langkap 22.08m (bahaya: 21.50m), Pengkalan Merbau Kuala Nerus 16.6m (bahaya: 16.5m), Pengkalan Ajal 16.55m (bahaya: 16m) dan Paya Rapat Telemong 23.5m (bahaya:23.5m).

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah Setiu berkata seramai 15 orang dari Kampung Padang Serai dipindahkan, Kampung Balik Bukit (tujuh), Kampung Buluh Hulu (83), Kampung Guntung (18) dan penduduk di Sungai Tong kini sedang dipindahkan dan jumlahnya masih belum diketahui.

"Jumlah mereka yang dipindahkan dijangka meningkat kerana hujan di kawasan hulu kini masih lebat dan menyebabkan air sungai naik dan melimpah," katanya. Beliau berkata Km 56 Jalan Kuala Terengganu-Besut dinaiki air sedalam 1.2 meter, Sungai Tong ke Kuala Berang di Kampung Kuala Ping (satu meter) dan Jalan Pantai Penarik ke Permaisuri di Kampung Bukit Kemudu (satumeter).

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir di Hulu Terengganu pula berkata penduduk yang dipindahkan di daerah itu ialah dari Kampung Jak (34), Kampung Kolam (16), Kampung Tok Randok (tujuh) dan Bukit Bading (41).

Beliau berkata Jalan Kuala Ping, Tengkawang dan Kuala Mejing dinaiki air sehingga satu meter dan di Sungai Tembala 1.5 meter. Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Kemaman pula berkata mereka yang dipindahkan di daerah itu ialah dari Kampung Padang Kubu (66), dan Kampung Bukit Kuang (14) manakala di Dungun, semua penduduk yang dipindahkan ialah dari Felda Kertih Empat.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Dungun berkata Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Stesen Timbang JPJ dinaiki air sedalam 0.8 meter dan jalan di Kampung Kuala Jengai dinaiki air sedalam 1.5 meter.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah Besut berkata kesemua yang dipindahkan di daerah itu adalah dari Kampung Pasir Akar, Hulu Besut manakala penduduk di beberapa kampung lain diminta bersiap sedia untuk dipindahkan sekiranya hujan masih berterusan malam ini.

Hujan lebat masih berterusan dan Jabatan Kajicuaca meramalkan hujan akan berterusan sehingga petang esok. Bagaimanapun, sehingga pukul 6 petang ini, bilik gerakan banjir negeri masih belum dibuka. --