Pembatalan Royalti: Mesyuarat tergempar PAS bantah keras kerajaan Pusat

KUALA LUMPUR, 9 Sept  - Mesyuarat tergempar Jawatankuasa PAS Pusat yang bersidang hari ini mengambil ketetapan untuk merakamkan bantahan sekeras-kerasnya terhadap langkah Kerajaan Pusat merampas royalti minyak lima peratus yang menjadi hak kerajaan negeri Terengganu.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang itu menolak tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu tindakan yang melanggar undang-undang iaitu menolak perjanjian yang telah dibuat antara Petronas dan kerajaan negeri Terengganu.

Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor kini berada di Makkah untuk menunaikan umrah dan dijangka akan pulang tidak lama lagi. 

Setiausaha Agung PAS, Nasharudin Mat Isa ketika dihubungi selepas mesyuarat itu memberitahu, mesyuarat telah mendengar taklimat dari beberapa pakar undang-undang berhubung tindakan tersebut dan telah mengambil kesepakatan tindakan itu bercanggah dengan perundangan negara dan mencabul proses demokrasi di negara ini. 

"Tindakan tersebut jelas bercanggah dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan," beritahu beliau kepada HarakahDaily.

Sidang khas BA dan NGO

Mesyuarat tersebut, katanya, mengambil ketetapan untuk mengadakan majlis penerangan di seluruh negara bagi menerangkan perkara tersebut agar rakyat faham kedudukan sebenarnya. 

"Satu persidangan khas yang bakal disertai oleh semua pemimpin parti politik Barisan Alternatif, NGO dan mereka yang berminat mengenai perkara ini akan diadakan pada 23 September ini di Kuala Lumpur," beritahu Nasharudin.

Di samping itu, katanya, kerajaan negeri Terengganu akan menganjurkan majlis sembahyang hajat secara besar-besar di negeri itu untuk memohon petunjuk dari Allah dalam menyelesaikan perkara tersebut. 

"Selepas itu, solat hajat akan diadakan di semua kawasan PAS untuk tujuan yang sama," katanya lagi. 

Dipetik dari : Harakahdaily