Penerima bantuan harus `kaya jiwa'

 Penerima bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diingatkan supaya berusaha untuk mengatasi masalah yang dihadapi dan tidak hanya bergantung kepada bantuan itu semata-mata.
Sehubungan itu, Penyelaras Unit Pembangunan Insan (UPI) DUN Air Puteh, Ustaz Mohd Zaid Tawang meminta mereka tidak menjadikan kemiskinan harta itu untuk terus berkeadaan demikian.
Ini, katanya, kerana miskin tidak hanya dari sudut ketiadaan harta sahaja tetapi ia merangkumi banyak aspek termasuk miskin jiwa, miskin budi bahasa, miskin mental, miskin perangai dan sebagainya.
"Oleh itu, kita hendaklah berusaha dan jangan mengekalkan kita terus berada dalam keadaan miskin sepanjang masa," ujarnya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan am kepada penduduk miskin di Kampung Air Puteh, semalam.
Katanya, walaupun kemiskinan wujud sepanjang masa tetapi manusia perlulah berikhtiar agar tidak terbelenggu dalam keadaan itu dengan mengharapkan pemberian daripada pihak lain.
"Kita perlu meminta pertolongan daripada Allah dan berusaha supaya tidak berada dalam keadaan miskin selama-lamanya," ujarnya.
Justeru itu, tambahnya, para penerima bantuan juga tidak menjadikan miskin harta itu menyebabkan jiwa mereka juga miskin.
"Walaupun kita miskin harta tetapi jangan miskin jiwa dan kita perlu mencari ilmu supaya jiwa kita tidak miskin," katanya lagi.
Menurutnya, mereka yang miskin harta tetapi kaya jiwa akan sentiasa berusaha bagi mengubah nasib mereka dengan memohon pertolongan daripada Allah dan tidak mengharapkan pemberian manusia semata-mata.
Tambahnya, walaupun kerajaan negeri mengalami kekurangan sumber pendapatan berikutan rampasan royalti minyak oleh kerajaan Pusat namun nasib golongan miskin terus dibela.

Sumber : Harakadaily