Make your own free website on Tripod.com
Kenyataan Media Bersama

BARISAN ALTERNATIF

9 Januari 2001

______________________
 
 

Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Parti Keadilan Nasional (keADILan)

Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Parti Rakyat Malaysia (PRM)
 
 

BA Menjemput BN ke Perbincangan tentang ‘Cabaran
Genting Negara’
 

Barisan Alternatif (BA) dengan hormatnya menjemput
Barisan Nasional (BN) menghadiri Meja Bulat untuk
membincangkan cabaran-cabaran genting yang menghadapi
negara ini. Para pemimpin daripada semua parti
komponen dalam BA dan BN perlu menghadiri persidangan
ini.
 
 

Negara kini di tengah-tengah satu krisis. Ia merupakan
krisis yang berkaitan dengan nilai serta etika,
demokrasi serta hak manusia, hubungan etnik serta
pengurusan ekonomi. Penganiayaan yang zalim, tidak
berperi kemanusiaan dan tidak adil terhadap Anwar
Ibrahim, berikutan penyingkirannya dari kerajaan dan
UMNO telah mencetuskan krisis ini. Bahkan sebelum
peristiwa Anwar itu, penahanan Lim Guan Eng yang tidak
adil telah mendedahkan kelemahan asas dalam sistem
hukum dan perundangan, yang dalam banyak hal kelihatan
tidak memenuhi prinsip keadilan. Pendakwaan
pilih-pilih terhadap mereka yang berbeza pendapat,
tindakan keras terhadap parti-parti pembangkang,
sekatan ketat keatas media pembangkang, penafian
terhadap hak rakyat mengadakan perhimpunan aman, dan
corak keganasan polis yang sistematik, telah
menjejaskan apa saja keyakinan rakyat yang tinggal
terhadap institusi pemerintah.
 
 

Selanjutnya prinsip pemerintah yang baik dikompromikan
dengan tindakan-tindakan dendam kesumat, seperti
penafian royalti petrolium kepada rakyat Terengganu
yang telah memilih kerajaan Barisan Alternatif melalui
proses demokrasi. Oleh kerana kuasa golongan
pemerintah sangat kuat, rakyat tidak berupaya
menghadapi segala salah guna kuasa seumpama itu.
Sepatutnya media mengawal segala salah laku ini, akan
tetapi media perdana yang dimiliki pemerintah sering
memilih untuk menyembunyikan serta menyamarkan
kebenaran dan memutarbelitkan pandangan-pandangan
alternatif.
 
 

Kegagalan media perdana untuk memainkan peranan
wajarnya adalah salah satu sebab mengapa korupsi di
kalangan elit pemerintah telah merebak sebagai barah
dalam masyarakat Malaysia. Mereka yang cuba
mendedahkan korupsi diburu dan diganggu, manakala
mereka yang menyalahgunakan kuasa serta kedudukan
mereka dibenarkan terus bermaharajalela.
 
 

Korupsi adalah berhubung rapat dengan salahguna
pengurusan dan ketidakadilan ekonomi. Projek-projek
penswastaan yang gagal, dimiliki oleh kroni dan
suku-sakat elit pemerintah terus diselamatkan oleh
pemerintah dengan mengggunakan wang cukai. Manakala
berbilion ringgit dibelanjakan untuk syarikat kroni
dan projek mega, keperluan asas golongan terpinggir
dalam masyarakat nasional terus diabaikan. Sesunggunya
bukti adalah nyata bahawa jurang pendapatan di antara
mereka yang memiliki banyak dengan merekaa yang
memiliki sedikit semakin melebar dengan kadar sangat
membimbangkan dalam beberapa tahun yang lalu.
 
 

Apabila rakyat menyedari akan perbezaan dan
ketidakadilan di sekitar mereka dan mula menyoal
tentang pemimpin-pemimpin mereka, pihak berkuasa cuba
mengalihkan pandangan mereka daripada isu-isu sebenar
dengan memanipulasikan sentimen perkauman. Dalam
tempoh enam bulan yang lalu, berbagai-bagai percubaan
telah dijalankan oleh elit pemerintah untuk
memperalatkan ketakutan kaum, melagakan satu kaum
dengan kaum yang lain, dan menggertak serta mengugut
pemimpin-pemimpin masyarakat supaya tunduk kepada
kuasa mereka. Peristiwa Suqiu merupakaan satu bukti
yang nyata.
 
 

Tindakan sengaja menjadikan setiap isu perkauman,
paras korupsi yang tinggi, salah pengurusan ekonomi,
kemiskinan relatif yang meluas, pencabulan hak-hak
manusia, pelanggaran prinsip-prinsip demokrasi dan
keruntuhan nilai akhlak dan etika dalam kehidupan awam
telah menimbulkan krisis keyakinan terhadap pimpinan
kebangsaan. Ia merupakan krisis yang harus dihadapi
dengan cara jujur dan objektif.
 
 

Terutama sekali kerana krisis inilah maka sebahagian
besar penyokong UMNO dan BN telah mengalihkan sokongan
atau kesetiaan mereka kepada BA. Sangat silap untuk
mentafsirkan peralihan ini sebagai perpecahan di
kalangan orang Melayu. Oleh kerana peralihan ini
berhubung dengan keseluruhan cabaran utama, ia tidak
dapat diselesaikan dengan mengadakan perbincangan
tentang perpaduan Melayu semata-mata. Isu penting
yaang menghadapi rakyat hari ini bukannya perpaduan
Melayu akan tetapi integriti pimpinan kebangsaan dan
kejujuran komitmen mereka kepada keadilan dan
demokrasi.
 
 

Oleh kerana inilah maka pimpinan Barisan Alternatif
yang bermesyuarat di Petaling Jaya pada 8hb Januari
2001 membuat keputusan untuk mengambil daya utama
mengadakan persidangan meja bulat bagi membincangkan
isu ini dan mencari penyelesaian kepada krisis yang
menggugat negara kini.
 
 

Adalah menjadi harapan ikhlas BA agar pimpinan BN
menerima jemputan ini. Apabila ada tanda bahawa
pimpinan BN memberikan respons yang positif,
Sekretariat BA akan menghubungi Setiausaha Agung BN
untuk menguruskan hal-hal teknikal berhubung pertemuan
ini.
 
 

YB Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor 
Presiden
PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)
YB Haji Mustafa Ali
Naib-Presiden
PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)

 
 YB Dr Wan Azizah Wan Ismail 
Presiden
Parti Keadilan Nasional (keADILan)
Dr Chandra Muzaffar
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Nasional (keADILan)
Sdra. Lim Kit Siang
Pengerusi 
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
YB Kerk Kim Hock
 Setiausaha Agung
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Dr Syed Husin Ali  
Presiden 
Parti Rakyat Malaysia (PRM)
  Dr Sanusi Osman
Setiausaha Agung
Parti Tindakan Demokratik (DAP)