TERENGGANU BENTANG BELANJAWAN LEBIHAN BAGI
   TAHUN 2000
                                                
   BELANJAWAN LEBIHAN... Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang sedang
      membentangkan Belanjawan Terengganu bagi tahun 2000 yang
   menunjukkan lebihan sebanyak RM8.475 juta pada mesyuarat pertama
  Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-10 di Wisma Darul Iman di sini.

 KUALA TERENGGANU, 21 Dis  -- Kerajaan Pas
 Terengganu hari ini membentangkan belanjawan bagi tahun 2000
 dengan lebihan sebanyak RM8.475 juta atau 1.22 peratus.

 Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang yang membentangkan
 belanjawan itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)
 berkata anggaran hasil bagi tahun depan adalah sebanyak
 RM692.182 juta berbanding peruntukan perbelanjaan mengurus
 sebanyak RM683.707 juta.

 Beliau berkata anggaran hasil itu menunjukkan peningkatan
 sebanyak 1.09 peratus berbanding dengan hasil tahun semasa
 berjumlah RM684.710 juta, dan penyumbang terbesar ialah royalti
 petroleum dan gas sebanyak RM530 juta.

 Hasil lain yang dijangka bertambah termasuk Hasil Bukan Cukai
 sebanyak RM77.402 juta, perolehan dari Terimaan Bukan Hasil
 sebanyak RM37.632 juta.

 "Prospek ekonomi negeri Terengganu pada tahun 2000 adalah
 dianggarkan mengalami pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus,"
 katanya.

 Beliau berkata pertumbuhan ekonomi negeri pada keseluruhan
 tahun ini dijangka mencatat peningkatan sebanyak 4.0 peratus
 berbanding tahun lepas hanya 1.1 peratus.

 Abdul Hadi berkata kerajaan negeri juga menganggarkan kadar
 pengangguran di negeri ini menurun kepada 4.1 peratus
 memandangkan prospek penawaran kerja mengalami pertambahan
 dan dapat menampung keperluan guna tenaga yang mencukupi.

 Belanjawan kali ini juga menggariskan beberapa perancangan
 seperti pelaksanaan sistem pajak gadai berlandaskan `Muasasah
 Ahranh' di seluruh negeri serta pembentukan sistem pengurusan
 akaun kewangan negeri mengikut perbankan Islam berkuatkuasa 1
 Jan.

 Ia juga memastikan semua urusan pinjaman kenderaan dan
 komputer kepada kakitangan kerajaan negeri diurus mengikut
 sistem `Al-qardhul-hasan' iaitu faedah dan keuntungan akan
 dikecualikan terhadap pinjaman semasa atau pinjaman baru bagi
 mengelakkan riba.

 Abdul Hadi berkata selain itu, bagi mendaulatkan syariat Islam
 kerajaan negeri akan mengenepikan hasil daripada sumber yang
 diharamkan.

 Kerajaan memutuskan bahawa semua hasil yang diperolehi
 daripada lesen-lesen hiburan yang berunsur maksiat, arak, judi dan
 sebagainya tidak akan dipungut dan dihapuskan selepas satu
 kajian mengenainya selesai, katanya.

 Kerajaan negeri juga berjanji untuk membuka semula permohonan
 tanah bagi dimajukan agar dapat menjana ekonomi negeri serta
 memastikan setiap keluarga memiliki tapak rumah kediaman
 masing-masing.

 "Pemaustautin tanpa hak (tanah haram) akan diselesaikan dalam
 sesingkat masa yang boleh dan penyusunan semula kependudukan
 akan diberi perhatian serius," katanya.

 Abdul Hadi berkata daripada peruntukan perbelanjaan mengurus,
 sebanyak RM80.604 juta disediakan untuk perbelanjaan
 tanggungan manakala RM603.103 juta adalah perbelanjaan
 bekalan.

 Sebahagian besar perbelanjaan mengurus digunakan untuk
 Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap iaitu sebanyak RM470.497
 termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri,
 Kumpulan Wang Bekalan Air dan Lembaga Tabung Amanah Warisan
 Ngeri.

 Selain itu, perhatian khusus diberikan kepada pembangunan
 kawasan bandar serta mengemas kini jentera pentadbiran Pihak
 Berkuasa Tempatan untuk meningkatkan kecekapan dan prestasi
 mereka.

 Abdul Hadi berkata kerajaan negeri juga akan menilai dan
 menyusun semula Badan-badan Berkanun Negeri yang berlaku
 pertindihan fungsi bagi meringankan beban perbelanjaan mengurus.
 

 Belanjawan negeri kali ini juga tidak mengenepikan program
 pembangunan insan dan bimbingan kepada golongan belia dengan
 menyediakan peruntukan khas di bawah Program Latihan
 Kemahiran yang dikendalikan oleh jabatan dan agensi-agensi
 berkaitan, katanya.

 Beliau berkata kerajaan negeri juga bersetuju meningkatkan
 bantuan kebajikan kepada lebih 4,600 keluarga termiskin di negeri
 ini untuk memberi peluang mereka berdikari melalui peruntukan
 sebanyak RM16.6 juta di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

 Abdul Hadi berkata bagi sektor pendidikan kerajaan negeri
 berhasrat menubuhkan satu dana khas dan menggerakkan
 agensi-agensi kerajaan negeri yang terbabit dalam urusan
 pembiayaan pendidikan.

 Beliau berkata kerajaan negeri akan mengkaji semula beberapa
 projek yang mempunyai unsur-unsur pembaziran, boros dan projek
 mewah untuk dikawal selia dengan tidak menjejaskan kemajuan
 dan pembangunan negeri.

 Bagi projek pembangunan, sebanyak RM163.471 juta
 diperuntukkan melibatkan 527 projek termasuk projek-projek
 sambungan dan yang sedang dalam pelaksanaan manakala
 projek-projek yang melibatkan peruntukan besar seperti pembinaan
 Kompleks Sukan Negeri dan Masjid Negeri akan dinilai semula,
 katanya.

 Belanjawan 2000 Terengganu juga memberi tumpuan kepada
 sektor pertanian dan perikanan. Ia bertujuan meningkatkan
 komoditi selain mencapai tahap sara diri yang tinggi serta
 penyusunan semula kawasan penempatan di bandar dan luar
 bandar selain menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur.

 Abdul Hadi berkata kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan
 RM7.72 juta untuk sektor pelancongan.

 Beliau berkata memandangkan kerajaan Barisan Nasional
 meninggalkan bebanan hutang lebih RM731.334 juta, kerajaan Pas
 mewujudkan Lembaga Hisbah untuk menilai semula sistem
 pentadbiran kerajaan negeri.

 Selain itu, konsep `Syura Rakyat' yang mewakili segenap lapisan
 masyarakat diadakan untuk mendapat pandangan rakyat
 berkenaan sesuatu projek yang akan dilaksanakan oleh kerajaan
 negeri, katanya.