PAS bina semula kekuatan Islam di Terengganu

BESUT, 5 Mei (Hrkh) - Hajjah Halimah Abdul Latif muncul sebagai Tokoh Hijrah bagi kategori Ibu Mithali peringkat Daerah Besut sempena sambutan Hijratul Rasul Peringkat Daerah Besut, baru-baru ini.

Ibu kepada enam anak itu menerima hadiah penghargaan serta piala dari Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Hussin Awang.

Sementara itu, Tokoh Saudara Kita (lelaki) disandang Hashim Abdullah dari Jertih, manakala tokoh Saudara Kita (perempuan) dimenangi Siti Fatimah Abdullah, dari Kuala Besut.

Tokoh Pelajar Lelaki Terbaik, Mohd Zaini Salleh dari Sekolah Menengah Agama Wataniah Alor Keladi dan Tokoh Pelajar Terbaik Perempuan, Nordiana Mat Salleh, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong.

Majlis gilang gemilang ini telah diadakan di Dewan Majlis Daerah Besut (Gong Kemuntung) dekat sini. Turut hadir di majlis it, Dr Badrul Amin Baharom.

Hussin dalam ucapannya mengingatkan umat Islam mempamerkan kemurnian Islam sejati dalam semua aspek kehidupan.

Katanya, sudah tiba masanya umat Islam mengikis budaya Barat yang telah bertapak sejak sekian lama dalam masyarakat Islam, bersesuaian dengan kebangkitan Islam sekarang.

Menurutnya, sebelum ini umat Islam begitu lemah akibat mengimport budaya Barat sehingga identiti keperibadian ummah rosak teruk.

"Dengan kemenangan PAS di Terengganu sama-sama kita membina semula keruntuhan dan kesilapan lampau dengan cahaya Islam yang mula bersinar," ujarnya.

_____________________________________