Make your own free website on Tripod.com
Tuan Guru Haji Abdul Hadi Bin Haji Awang

Menteri Besar "Serambi Madinah"



MB kedua bertaraf 
Tok Guru di Malaysia

TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG, 52 tahun telah dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu dengan rasminya pada hari Selasa 22 Syaaban 1420 bersamaan 30 November 1999. Beliau dilantik menjadi Menteri Besar bagi menggantikan Dato' Seri Wan Mokhtar Ahmad setelah PAS berjaya memenangi 28 dari 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu dalam pilihan raya ke-10 baru-baru ini.Ramai yang tidak mengenali beliau secara dekat. 
Tuan Guru Abdul Hadi atau lebih dikenali di kalangan yang rapat dengan beliau dengan panggilan Ayoh Chik sahaja, dilahirkan pada 6 Zulhijah 1366 bersamaan 20 Oktober 1947di Kampung Rusila, Marang, Terengganu. Beliau merupakan anak ke-5 dari 9 orang adik beradik. Ayahnya adalah seorang guru agama dan imam di Masjid Rusila, Marang. 

KELUARGA 

Ustaz Abdul Hadi mempunyai dua orang isteri iaitu Puan Hajjah Zainab bt Awang, 47 tahun dan Dr. Norzita Taat, 37 tahun. Anak 13 orang. Dengan isteri pertama beliau mempunyai 11 orang anak manakala dengan isteri kedua, beliau mempunyai 2 orang anak. Anak sulong beliau berumur 22 tahun dan kini belajar di Universiti Imam, Yaman. 
 

MB Terengganu Alaf Baru

PENDIDIKAN 

Dari segi pendidikan pula, Ustaz Abdul Hadi mula belajar secara formal di Sekolah Kebangsaan Rusila, Marang kemudian Sekolah Agama Marang dan seterusnya mengambil Sanawi di Sekolah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Di samping itu belajar agama, Bahasa Arab serta politik dari ayah sendiri iaitu Tuan Guru Haji Awang Muhamad. 

Selepas tamat Sanawi dengan cemerlang, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah dengan biasiswa dari Kerajaan Arab Saudi dari tahun 1969 - 1973 dan tamat dengan ijazah sarjana muda Syariah (B. A Syariah). Kerana cintakan ilmu, beliau melanjutkan lagi pelajarannya ke Universiti Al-Azhar ke peringkat M.A Setelah dua tahun sahaja beliau berjaya menamatkan pengajiannya dengan mendapat ijazah sarjana dalam bidang Siasah Syariyah. 

POLITIK 

Ustaz Abdul Hadi mula aktif dalam politik sejak tahun 1964 iaitu semasa belajar di sekolah menengah lagi. Beliau pernah diamanahkan sebagai Setiausaha Ranting (sekarang cawangan) PAS Kampung Rusila, Marang. Pada tahun 1976, setelah tamat belajar di Universiti Al Azhar, beliau pulang ke tanah air. Apabila pulang sahaja beliau terus memulakan kelas pengajian Kuliah Jumaatnya di Masjid Rusila. Dalam masa yang sama beliau dilantik menjadi Ketua Pemuda PAS Terengganu serta Exco Dewan Pemuda PAS Pusat. Pada tahun 1977 Ustaz Abdul Hadi dipilih menjadi Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Pada tahun 1978, dilantik menjadi pemangku Naib Yang Dipertua PAS Pusat dan kemudiannya disahkan ke jawatan tersebut pada tahun 1980. Pada tahun 1989 dipilih menjadi Timbalan Presiden PAS setelah Dato' Fadzil Mohd Noor dipilih menjadi Presiden PAS.

PILIHAN RAYA 

Ustaz Abdul Hadi mula menyertai pilihan raya sebaik sahaja pulang ke tanah air pada tahun 1978. Beliau diamanahkan oleh PAS untuk bertanding di DUN Marang. Tetapi beliau kalah di tangan Tengku Zahid Musa dengan majoriti 68 undi sahaja. Pada tahun 1982, beliau diamanahkan sekali lagi menjadi calon PAS di DUN Marang dan Parlimen Dungun. Kali ini beliau menang di DUN Marang tetapi kalah di Parlimen Dungun di tangan Haji Awang Jabar. Pada tahun 1986, sekali lagi bertanding DUN Rhu Rendang dan menang tetapi kalah di Parlimen Marang di tangan Abdul Rahman Bakar. Pada tahun 1990, Ustaz Abdul Hadi menang di DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang. Begitu juga tahun 1995, menang di DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang. 
 

Angkat Sumpah MB

Ustaz Abdul Hadi mula terlibat di peringkat antarabangsa semasa beliau belajar di Madinah lagi apabila menjadi Ketua Pelajar Malaysia Universiti Islam Madinah di samping menjadi Setiausaha Agung Gabungan Pelajar-pelajar Asia Tenggara di Madinah. Semasa di Asia Barat, beliau aktif bersama Gerakan Ikhwanul Muslimin bersama Dr. Said Hawa, Profesor Muhamad Al Wakeel serta Dr. Abdul Satar Al Khudsi. 

Di Mesir pula, beliau menjadi Setiausaha Seksi Syariah dan Undang-undang Persatuan Melayu Republik Aram Mesir. 

Sebagai pemimpin kanan PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang banyak terlibat di peringkat antarabangsa samada gerakan Islam atau gerakan rakyat. Antaranya:

1) Ahli Penyelaras Sekretariat Parti-parti Islam Sedunia yang berpusat di Istanbul. Turki. 

2) Ahli Sekretariat Perjuangan Rakyat mempertahankan Baitul Maqdis yang berpusat di Amman, Jordan. 

3) Ahli Majma' Taqrir di kalangan mazhab-mazhab Islam yang berpusat di Tehran, Iran. 

4) Ahli deligasi ahli Parlimen parti-parti Islam yang dipimpin oleh Dr. Necmetin Erbakan, bekas Perdana Menteri Turki menemui Setiausaha Agung PBB, Butros Butros Ghali serta menemui Ahli Senat Amerika Syarikat. 

5) Menyertai deligasi ahli-ahli Parlimen Parti Islam melawat Eropah yang diketuai oleh Dr Erbakan. 

6) Menyertai deligasi pemipin parti Islam seluruh dunia menemui raja-raja serta presiden negara-negara Asia Barat sebelum Perang Teluk. 

7) Mengiringi Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor bersama deligasi pemimpin Gerakan Islam seluruh dunia untuk mendamaikan kumpulan-kumpulan mujahidn Afghanistan.

BADAN BUKAN KERAJAAN 

Setelah pulang ke Terengganu pada tahun 1977, beliau pernah dilantik menjadi Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Negeri Terengganu 1977-1978. 

PENGALAMAN KERJA 

Ustaz Abdul Hadi memulakan kerjayanya setelah pulang ke tanah air dengan menjadi Pegawai Yayasan Islam Terengganu setelah tamat belajar 1977 - 1978. Setelah itu, beliau terlibat dalam politik sepenuh masa dengan menjadi wakil rakyat serta mengajar . 

Sesungguhnya, pengalaman luas yang ada pada Tuan Guru Abdul Hadi Awang, rakyat Terengganu tidak akan dikecewakan oleh beliau dalam pentadbiran kerajaan negeri. Dengan sokongan padu dari para exco, pegawai kanan kerajaan negeri serta rakyat Terengganu keseluruhannya, Terengganu mempunyai masa depan yang gemilang sebagai serambi Madinah sebagaimana yang pernah diumumkan oleh Menteri Besar sebelum ini, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad. 

 

1