TERENGGANU MEMPUNYAI MASA DEPAN CERAH,
 KATA OBERMANN
 
 KUALA TERENGGANU, 26 Dis -- Terengganu mempunyai
 masa depan cerah dalam arena bola sepak negara kerana
 mempunyai ramai pemain berbakat yang akan menerajui pasukan
 itu masa depan.

 Ketua jurulatih belia Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Holger
 Obermann berkata Terengganu telah melahirkan ramai pemain
 muda berbakat dan antaranya mewakili pasukan remaja
 kebangsaan.

 "Sekarang terdapat nama-nama seperti Mohd Syamsi Mustapha,
 Tengku Alias Ibrahim dan Zairol Anuar Zailani dalam pasukan
 remaja kebangsaan," katanya kepada pemberita selepas majlis
 penyampaian hadiah akademi bola sepak 1999 di sini hari ini.

 Beliau berkata, selain itu terdapat juga beberapa orang pemain
 bola sepak Terengganu terpilih memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil.
 

 Obermann yang mewakili Fam menyampaikan piala sumbangan
 bekas pemain bola sepak terkemuka Jerman Frank Bekembeur
 kepada Pengarah Akademi Bola Sepak Negeri Terengganu Cheku
 Marzuki Mohd Nor.

 Ini kali kedua Akademik Bola Sepak Negeri Terengganu dipilih
 sebagai pemenang anugerah itu. Kali pertama tahun 1997.

 Obermann yang menamatkan kontraknya dengan FAM dan akan
 meninggalkan negara ini bulan ini berkata Terengganu mampu
 menguasai bola sepak negara sekiranya pemain-pemain yang ada
 diberikan latihan dan bimbingan berterusan.

 Beliau berkata pemilih Terengganu sebagai pemenang anugerah itu
 tahun ini dinilai dari segi perlawanan, prestasi pemain, kualiti
 kejurulatihan, pentadbiran dan juga keselamatan akademi itu
 sendiri.

 Sementara itu, Cheku Marzuki berkata Akademi Bola Sepak
 FAM/Adidas Negeri Terengganu ditubuhkan pada Mei 1995 dan kini
 mempunyai 30 peserta daripada pelajar tingkatan satu hingga lima.
 

 Beliau berkata para peserta akademi banyak didedahkan untuk
 kejohanan-kejohanan Piala Nike, Coca Cola, Milo dan Piala
 Presiden.