Bola kini di kaki Dr Mahathir 

Bola kini terletak di tangan Kerajaan Pusat. Hendak disepak ke kiri, maka ke kirilah ia, hendak disepak ke kanan, maka ke kananlah ia. 

Menteri Besar Terengganu, Abdul Hadi Awang telah memberikan muka sepenuhnya kepada Kerajaan Pusat untuk memperbetulkan keadaan.Samada untuk terus kekal dengan kenyataan yang dikeluarkan menggunakan kepala surat Kementerian Kewangan atau membetulkan keadaan. 

Dalam kenyataan akhbar rasmi empat muka surat dan ditanda tangani oleh beliau pada setiap muka surat itu, jelas Menteri Besar Terengganu meminta Pusat berfikir semula. Nasi belum lagi menjadi bubur. Rotan belum dikerat, arang belum lagi dipatahkan. 

Tetapi, jelas dalam kenyataan untuk menjawab kenyataan Kementerian Kewangan itu, Kerajaan Pusat diberikan amaran kesan langsung dan tidak langsung yang akan dihadapi oleh Pusat jika rancangan untuk membatalkan perjanjian antara Petronas dengan Kerajaan Negeri Terengganu itu diteruskan oleh Pusat. 

Jelas Terengganu berpendirian, tidak ada sebab dan alasan yang sah untuk Pusat campur tangan membatalkan perjanjian yang telah dibuat oleh kedua-dua pihak itu.

Sungguhpun Petronas adalah entiti milik kerajaan Pusat tetapi "adakah wajar dan berhakkah seorang bapa menceraikan perkahwinan anak dan menantunya semata-mata kerana bapa sudah benci kepada menantunya."

Terengganu, sebagai salah sebuah negeri dalam Malaysia, juga telah memberikan amaran yang jelas, sanggupkah Pusat menggadaikan nama baik Petronas yang mempunyai pelbagai perjanjian di peringkat antarabangsa semata-mata kerana mahu menjaga kemahuan seorang individu yang sedang meracau. 

Inilah persoalan yang sedang berlegar dalam isu royalti minyak Petronas kepada Terengganu sekarang ini. 

Ketika Perdana Menteri menuduh pembangkang menanamkan politik benci di kalangan rakyat negara ini, agar membenci beliau dan kerajaan pimpinannya, kerajaan yang beliau sendiri pimpinlah sebenarnya yang menanamkan sifat benci rakyat kepada beliau dan kerajaan. 

Tidak bolehkah beliau bayangkan, apakah perasaan lebih 60 peratus orang Melayu yang kini menyokong PAS (sebagaimana yang dibuktikan dalam pilihan raya umum lalu) apabila Pusat menyekat hasil utama negeri yang dikuasai oleh mereka.

Bayangkan, kesemua mereka kini dipaksa membenci sebenci-bencinya beliau dan kerajaan Pusat kerana tindakan yang tidak demokratik ini. Usaha diberilah pelbagai alasan atau cara penyampaian keputusan tersebut kepada rakyat kerana mereka tahu ke manakah jatuhnya keputusan tersebut iaitu... menafikan hak kerajaan negeri Terengganu menguruskan lima peratus royalti minyak yang selama ini menjadi hak kerajaan Terengganu.

Mungkin, Dr Mahathir boleh mencuci tangan dengan berkata, keputusan ini dibuat oleh Kabinet ketika beliau tidak ada dalam negeri. Siapakah lagi yang boleh percaya beliau tidak ada kena mengena dengan keputusan itu kalau sebelum ini beliau telah membuat pelbagai kenyataan mengenainya yang kini dilaksanakan oleh Kabinet itu.

Lagipun, sebut sahajalah apakah peristiwa penting di negara ini yang melibatkan musuh beliau dan BN. Semuanya berlaku ketika beliau berada di luar negara. Memali, sebagai contohnya. Ia berlaku ketika beliau berada di negara China.

Bola ada di kaki Dr Mahathir sekarang. Menteri Besar Terengganu, telah memberi laluan dan muka kepada beliau. Teruskan atau perbetulkan keadaan.