ROYALTI : KAMI BERSAMA TOK GURU

PENGUSAHA BOT PELANCONG MESTI UTAMAKAN KESELAMATAN

 

KUALA TERENGGANU, 18 Okt  -- Pengusaha bot pelancong di pantai timur dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan penumpang berikutan perubahan cuaca sejak kebelakangan ini yang menandakan bermulanya musim tengkujuh.

Ketua Polis Marin Wilayah Timur, Supt Abdul Rahman Ahmad berkata perkara itu perlu diberikan perhatian bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini terutamanya ketika angin kencang dan laut bergelora.

"Bagaimanapun, pada kebiasaannya operasi di pulau peranginan akan ditutup bermula hujung Oktober namun ia bukan satu peraturan dan terpulang kepada mereka," katanya ketika dihubungi di Kemaman Rabu.

Beliau berkata jika mereka mahu meneruskan operasi selepas tempoh itu, soal keselamatan adalah perkara paling penting diberikan perhatian kerana perjalanan ke pulau-pulau berkenaan pasti akan berhadapan dengan risiko.

Katanya ini termasuk menyediakan kelengkapan keselamatan seperti jaket dan peralatan komunikasi sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi sebarang kemungkinan.

Abdul Rahman berkata pihaknya juga akan meningkatkan rondaan ke semua perairan yang membabitkan pulau peranginan bagi memantau aktiviti bot pelancong agar mereka sentiasa mengutamakan soal keselamatan.

Selain itu, semua anggota Polis Marin diarah bersiap sedia untuk menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula pada bila-bila masa dari sekarang.

"Anggota kami telah diarah bersiap sedia dan berdasarkan pengalaman yang lalu, semua masalah akibat musim tengkujuh akan dapat ditangani dengan sebaik mungkin oleh kami," katanya.

Mengenai aktiviti nelayan, Abdul Rahman berkata mereka diminta membuat penyelenggaraan terhadap bot dan alat komunikasi mereka mulai sekarang.

Mereka yang mempunyai masalah ketika di laut boleh menghubungi bilik gerakan Polis Marin Wilayah Timur di talian 09-8582222 untuk mendapatkan bantuan.
 
Dipetik Dari : BERNAMA