Make your own free website on Tripod.com
BPR DAPATKAN PERSETUJUAN KERAJAAN SWITZERLAND SIASAT WANG PERWAJA
  

KOTA KINABALU, 26 Sept  -- Badan Pencegah Rasuah (BPR) sedang menunggu kelulusan pihak berkuasa di Switzerland untuk membolehkannya melakukan siasatan terhadap wang RM76.4 juta yang dibayar Perwaja Steel Sdn Bhd kepada tiga pihak asing dan kini disimpan dalam akaun bank di negara itu.

Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Zaki Husin berkata perkara itu sedang diuruskan dengan kerjasama Wisma Putra.

"Kita sedang menunggu maklum balas kerajaan Switzerland... sama ada mereka sedia bekerjasama dengan kita," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian mesyuarat jawatankuasa keutuhan pengurusan peringkat kebangsaan di sini oleh Ketua Menteri Datuk Osu Sukam.

Menurut Ahmad Zaki, setakat ini kerajaan Switzerland "telah memberikan maklum balas" tetapi mereka mahukan butiran lanjut mengenai beberapa perkara daripada kerajaan Malaysia.

"Jadi perkara ini sedang ditangani di peringkat kerajaan kedua-dua negara... ini bukan lagi setakat melibatkan BPR," kata beliau.

Ketika ditanya perkembangan terbaru siasatan berkenaan, beliau berkata, BPR belum lagi menemui bukti baru kecuali yang berkaitan dengan wang Perwaja di akaun bank Switzerland yang diumumkan sebelum ini.

Kira-kira dua minggu lepas, Ahmad Zaki berkata wang RM76.4 juta itu telah dibayar Perwaja kepada tiga pihak asing sebelum dimasukkan ke dalam akaun di negara itu melalui pindahan telegraf (TT).

Sementara itu, beliau menggesa kakitangan awam di negara ini agar melaporkan sebarang tawaran rasuah.

"Dalam kebanyakan kes, kita dapati pegawai kerajaan kurang memberikan laporan sedemikian, sebaliknya lebih ramai orang awam yang mengemukakan aduan," kata beliau.

Mengenai Sabah, beliau berkata BPR sedang menyiasat 333 kes setakat 25 Sept tahun ini daripada 723 maklumat yang diterima.

"BPR juga telah menahan dua orang pegawai awam kumpulan pengurusan dan profesional, 32 kumpulan sokongan dan 32 orang awam," katanya.