Make your own free website on Tripod.com
                   BPR tetap siasat kes Mitsui, Telekom

 

                     KUALA LUMPUR, Rabu – Badan Pencegah Rasuah (BPR) tetap meneruskan siasatan
                     berhubung dakwaan Mitsui & Co Ltd, membayar kira-kira RM10.64 juta untuk
                     mendapatkan kontrak pembekalan papan suis telefon daripada Telekom Malaysia Bhd
                     walaupun syarikat Jepun itu menafikannya.

                     Pengarah Siasatan BPR, Abdul Razak Idris, berkata dalam kebanyakan kes, pihak yang
                     terbabit selalunya menafikan pembabitan mereka.

                     Semalam, BPR menubuhkan satu pasukan khas yang diketuai pegawai kanannya bagi
                     menyiasat dakwaan itu. Difahamkan, pasukan itu diketuai oleh Abdul Razak sendiri.

                     “Meskipun mereka (Mitsui) menafikannya, kami tetap meneruskan siasatan kerana kami
                     rasa ada kes untuk disiasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

                     Abdul Razak berkata, dakwaan mengenai sogokan itu perlu disiasat kerana ia
                     membabitkan imej negara.

                     “Kita mahu tengok sama ada dakwaan berkenaan benar atau tidak, dan mungkin ada
                     agenda lain berhubung dakwaan itu,” katanya sambil menambah pegawai Mitsui dari
                     Tokyo akan memberi penjelasan esok.

                     Pegawai dari Tokyo itu sepatutnya datang ke Pejabat BPR hari ini untuk memberi
                     keterangan, bagaimanapun terpaksa ditunda sehingga esok kerana masalah jadual
                     penerbangan.

                     Jumaat lalu, akhbar Jepun Asahi Shimbun yang memetik biro percukaian serantau
                     Tokyo, melaporkan Mitsui membuat bayaran itu kepada Telekom Malaysia menerusi
                     sebuah firma perunding yang didapati tidak wujud.

                     Bayaran itu dikatakan dibuat pada 1997 selepas Mitsui dalam satu pakatan dengan NEC
                     Corp memenangi kontrak bernilai lebih 10 bilion yen (RM340 juta) bagi membekalkan
                     papan suis antara 1996 hingga 1997.

                     Semalam, seorang jurucakap Mitsui di Tokyo menafikan dakwaan itu dengan berkata:
                     “Kami membantah dakwaan yang dibuat oleh biro cukai Tokyo seperti yang dilaporkan
                     itu,”.

                     Jurucakap itu juga berkata, Mitsui terpaksa membayar denda kepada biro berkenaan
                     tetapi enggan mengulas alasan terhadap pembayaran berkenaan.

                     Berikutan dakwaan itu, Ketua Eksekutif Telekom Malaysia, Mohamed Said Mohamed Ali
                     berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan berkenaan dan sedia meminta kerjasama
                     BPR.

                     Semalam, Abdul Razak dalam satu kenyataan berkata, BPR sudah menerima laporan
                     daripada media mengenai dakwaan mengatakan Telekom Malaysia menerima sogokan.

                     Berdasarkan laporan media itu, BPR mempunyai asas untuk menyiasat secara terbuka.
                     BPR juga sudah mengenal pasti ejen tempatan yang dikatakan terbabit dalam kes itu
                     dan penyiasatan sedang dilakukan.

                     Sementara itu, Pengurus Besar Serantau Mitsui (Bahagian Perancangan Strategi) di ibu
                     negara, Masahito Nagata berkata, pihaknya masih menunggu arahan daripada Ibu
                     Pejabat di Tokyo sebelum mengambil sebarang tindakan susulan, termasuk berurusan
                     dengan BPR.

                     Menurutnya, pejabatnya di sini tidak menyedari mengenai seorang eksekutif kanan dari
                     Jepun akan membantu BPR menyiasat dakwaan itu.

                     “Setakat ini, kami belum dengar apa-apa daripada ibu pejabat. Pada dasarnya, ia
                     adalah urusan di antara ibu pejabat di Tokyo dengan agensi tempatan (BPR),” katanya
                     sambil menambah pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa tanpa arahan daripada ibu
                     pejabat.