BULETIN DARUL IMAN DITERBITKAN SETIAP MINGGU
 
 KUALA TERENGGANU, 25 Jan  -- Majalah Buletin Darul
 Iman, yang merupakan majalah rasmi kerajaan negeri Terengganu,
 akan dikeluarkan setiap minggu tidak lama lagi sebagai saluran
 maklumat kerajaan negeri kepada rakyat.

 Buletin itu semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah
 diterbitkan setiap tiga bulan sekali.

 Ketua Pengarangnya Zahari Mohamed berkata pengedaran buletin
 itu yang diberikan secara percuma akan dilakukan di pejabat
 urusetia penerangan di setiap pejabat daerah.

 "Buletin itu akan menyiarkan aktiviti dan perkembangan terbaru
 kerajaan negeri dan setiap daerah akan dibekalkan dengan
 sebanyak 2,000 naskhah," katanya di sini hari ini.

 Zahari, yang juga setiausaha akhbar kepada Menteri Besar Haji
 Abdul Hadi Awang, berkata pada masa sekarang pihak penerbitan
 buletin itu sedang menguruskan beberapa masalah teknikal bagi
 melicinkan kegiatannya sebelum pengeluaran buletin itu dilakukan.

 "Dengan adanya buletin mingguan itu ia akan dapat melaporkan
 setiap kegiatan kerajaan negeri yang merangkumi pembangunan,
 pembentukan sahsiah, agama, fokus, budaya dan sebagainya,"
 katanya.