BN Cabuli Kedaulatan Kerajaan Negeri

Negeri Terengganu adalah sebahagian daripada Persekutuan Malaysia dan turut tertakluk di bawah Perlembagaan Persekutuan. Tiap-tiap kerajaan, sama ada Pusat atau pun kerajaan negeri adalah berdaulat dan berkuasa mentadbir penuh dalam perkara-perkara yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Prinsip ini termaktub dalam Perkara 80 Perlembagaan Persekutuan yang mana kuasa pemerintahan bagi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah terhad kepada perkara-perkara yang ada di bawah bidang kuasa masing-masing. Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memperincikan bidang kuasa kedua-dua kerajaan tersebut dengan jelas. Di antara bidang kuasa yang dipunyai oleh kerajaan negeri ialah dalam perkara tanah, perhutanan, agama Islam, kerajaan tempatan dan beberapa perkara lagi. Malangnya prinsip ini sewenang-wenangnya dicabuli oleh BN melalui penubuhan beberapa institusi berikut:

a. Penubuhan Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP)
Pada bulan September 2000, Kementerian Kewangan telah memaklumkan penubuhan Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP) yang akan menentu dan melaksanakan projek-projek pembangunan infrastruktur, sosial dan kebajikan dalam negeri Terengganu. Projek-projek yeng disebut termasuklah pembinaan jalan-jalan luar bandar, bekalan elektrik dan air, perumahan kos rendah, pinjaman kepada nelayan, pinjaman biasiswa bantuan sekolah-sekolah, peruntukan wang sepenuhnya kepada Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Institut Pendidikan Tinggi Terengganu (TATI) dan 11 buah sekolah menengah agama di bawah kerajaan negeri. Mekanisme pelaksanaan ini dikatakan kaedah baru dan peraturan ini dinamakan Program Pembayaran Wang Ihsan.

Nampak jelas bahawa mekanisme itu membelakangkan kerajaan Negeri Terengganu, sekaligus mencabul kedaulatannya. Menubuhkan JPP dengan melantik pegawai Persekutuan untuk bertugas di peringkat negeri Terengganu, khususnya untuk membelanjakan wang tunai kepunyaan kerajaan Negeri Terengganu adalah merupakan pencabulan kedaulatan sebuah kerajaan yang sah dipilih rakyat. BN jelas sekali menganjurkan ‘kerajaan dalam kerajaan’ di Terengganu.

b. Penubuhan Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung (JKKK)
Kerajaan negeri yang baru telah bertindak memansuhkan institusi pentadbiran di peringkat kampung yang dinamakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Sebagai gantinya, kerajaan baru telah memperkenalkan institusi Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR). Penubuhan JKKK atau JSR adalah jelas merupakan bidang kuasa kerajaan negeri. Ia tertakluk di dalam perkara kerajaan tempatan.

Tindakan kerajaan Pusat menghidupkan semula institusi JKKK di kampung-kampung amat bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan. Ia merupakan suatu campurtangan yang jelas oleh kerajaan Pusat di dalam hal pentadbiran kerajaan negeri. Lebih menyedihkan lagi, tindakan tersebut menyebabkan berlakunya perpecahan yang dahsyat di kampung-kampung. Siapakah sebenarnya punca perpecahan ummah kini?

c. Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah)
Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu pada 22 Disember 1973 telah bersetuju supaya kawasan tanah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) diisytiharkan menurut Fasa 9 Akta Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah 104/1973. Dengan perisytiharan tersebut, Ketengah diberi kuasa untuk menjalankan pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan seluas 443,876 hektar meliputi pedalaman daerah Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Pewartaan tersebut bagaimana pun tidak memberikan apa-apa kuasa kepada Ketengah terhadap tanah-tanah negeri Terengganu di wilayahnya untuk dimajukan dan tidak ada apa-apa perjanjian yang berkaitan dengannya dibuat di antara keduanya. Sebab itu, sebarang permohonan tanah di kawasan Ketengah sama ada oleh individu, syarikat atau badan-badan dan agensi kerajaan adalah tertakluk kepada pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri.