Make your own free website on Tripod.com
 
ROYALTI  :  KAMI BERSAMA TOK GURU
 

Debat - Satu Wacana Intelektual

Temubual Agenda Malaysia dengan Mahfuz Omar (26/10/00)
 
 

Oleh Rozaid Rahman
 
 

Mahfuz Omar tersenyum seketika apabila membaca komentar bekas diplomat, wartawan dan setiausaha politik Tun Razak, Datuk Abdullah Ahmad dalam Mingguan Malaysia dan New Straits Times. "Ya lah! Dollah Ahmad mungkin tak setuju dengan debat ini tapi dia kena hormat cara generasi sekarang berfikir - Dia boleh bernostalgia dengan zaman Kolej Melayunya tapi debat saya dengan Hisham adalah debat anak muda tahun 2000 bukan 1950an," kata Mahfuz.
 
 

Abdullah, dalam kolum mingguannya di dua akhbar harian itu, menentang cadangan debat di antara Mahfuz selaku Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat dengan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Hishammuddin Tun Hussein. Abdullah menyatakan kebimbangannya, debat tersebut akan mendorong kepada perdebatan ke atas isu-isu yang lebih sensitif lebih-lebih lagi perkara yang mengaitkan hak orang Melayu.
 
 

Malah Abdullah mendakwa, masyarakat bukan Melayulah yang lebih berminat untuk melihat dua tokoh pemuda Melayu ini 'mencederakan' diri masing-masing ketika membicarakan isu hak keistimewaan orang Melayu kerana hampir kesemua masyarakat bukan Melayu mahu melihatnya dimansuhkan.
 
 

Dari kaca mata Abdullah debat tersebut lebih merugikan daripada membawa faedah, hinggakan di akhir komentarnya beliau berkata jika debat itu berlangsung beliau tidak sekali-kali akan menyaksikannya. Tetapi orang muda seperti Mahfuz mempunyai pendekatan berfikir yang berbeza. "Dalam proses kematangan kita sebagai rakyat Malaysia, kita akhirnya akan dapati tidak semua perkara boleh disapu ke bawah permaidani," kata Mahfuz dalam temuramah khas dengan AgendaMalaysia. "Cara masyarakat berfikir sentiasa berubah - mereka tidak statik."
 
 

"Andaian debat ini tidak akan menyelesaikan masalah adalah satu andaian yang berpegang kepada kepercayaan lama," jelas Mahfuz, "sedangkan generasi baru Malaysia memerlukan satu anjakan paradigma. Tidakkah boleh semua pihak yang merasa ragu-ragu dengan niat murni kami ini mengenepikan keuntungan politik mereka buat sementara waktu dan melihat ia sebagai satu wacana intelektual?"
 

Jelas Mahfuz lagi: "Ada perkara yang kita perlu berbincang secara terbuka dan intelektual. Hanya dengan itu orang Melayu dan lain-lain keturunan rakyat Malaysia akan lebih memahami diri masing-masing dan menghormati garis sempadan di antara mereka."
 

Mahfuz, bekas tahanan ISA pada tahun 1987 dan rakan sebilik Lim Guan Eng di kem tahanan Kamunting, sering dilabelkan oleh musuh politiknya sebagai 'ultra' Melayu. Tetapi ketika Guan Eng dibebaskan dari hukuman penjara 18 bulan, awal tahun lalu, orang pertama yang datang menziarahinya adalah Mahfuz. Mereka bertemu di belakang pentas pada sebuah program mengalu-alukan pembebasan Guan Eng di Melaka. Mahfuz yang tiba dengan Proton Saga meluru ke belakang pentas lalu memeluk Guan Eng. Tidak lama kemudian, kedengaran ketawa besar di antara kedua-dua anak muda ini.
 

"Ini kawan saya di Kamunting, tidak mungkin saya melupakannya," kata Mahfuz kepada penulis sebaik sahaja terserempak di belakang pentas. Di atas pentas kemudian, Mahfuz dan Guan Eng mengangkat tangan masing-masing dan menyifatkan "hubungan mereka berdua bagaikan paha kanan dan paha kiri. Jika dicubit paha kanan sudah tentu paha kiri akan terasa pedihnya. Mereka memperlihatkan lambang kesetiakawanan yang baru di kalangan generasi kedua dalam parti pembangkang Malaysia.
 
 

Dari segi pengalaman, Guan Eng terlebih dahulu menjadi wakil rakyat dan ahli Parlimen Malaysia. Hari ini, Mahfuz, meneruskan kelantangan suara Guan Eng di Dewan Rakyat setelah bekas ketua pemuda Dap itu tidak boleh bertanding pada pilihan raya umum November 1999, ekoran hukuman yang dihadapinya.Tidak seperti Guan Eng, perjalanan Mahfuz ke Parlimen Malaysia melalui liku yang sukar. Sebelum memenangi kerusi Parlimen Pokok Sena, Kedah, tahun lalu, Mahfuz telah mengharungi tiga pilihan raya umum sejak 1986 - kesemuanya beliau tewas. Pada pilihan raya umum 1990, beliau bertarung melawan heavyweight Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, dan tewas dengan majoriti yang besar.
 
 

"Tapi hari ini, saya memperjuangkan nasib Anwar pulak, itulah yang dinamakan politik," ujar Mahfuz.
 
 

Bekas pengurus pasukan bola sepak belia Kampung Titi Gajah, Alor Setar itu merupakan 'idola' belia di kampungnya 20 tahun lalu. Kini 'idola' itu telah menjadi buah mulut di kalangan mahasiswa, pemuda dan masyarakat umum apabila isu debat antaranya dengan ketua pemuda Umno Malaysia hangat diperkatakan.
 

Debat ini, kata Mahfuz, adalah satu fenomena luar biasa yang akan menjadi perkara biasa selepas ini. "Hari ini, setiausaha pemuda Pas bertemu dengan setiausaha pemuda Umno di sebuah restoran di Jalan Pahang untuk membincangkan perbahasan ini secara terperinci. Jadi bayangkanlah betapa debat ini telah membuka ruang yang lebih luas untuk kami berbincang dan berkenalan. Siapa tahu mungkin selepas ini lebih banyak pertemuan di meja makan akan berlangsung."
 

Ada pihak mempertikaikan kenapakah beliau mahu membicarakan isu sensitif ini secara terbuka. Mahfuz menjelaskan; ""Debat ini tidak akan mempersoalkan hak keistimewaan Melayu sepertimana yang termaktub dalam Perkara 153, Perlembagaan Negara malah jauh sekali untuk saya mencadangkan agar ia dihapuskan - jadi saya harap orang-ramai jangan salah sangka."
 
 

Mahfuz menjelaskan bahawa debat antaranya dengan Hisham adalah untuk membincangkan soal pelaksanaan hak-hak keistimewaan Melayu sama ada ia benar-benar memenuhi tuntutan Perkara 153. Pas, kata Mahfuz, sejak tahun 1965 lagi telah membawa satu usul untuk meminda perlembagaan dengan tujuan untuk memperkukuhkan Perkara 153 agar ia tidak diganggu-gugat oleh mana-mana pihak.
 

"Malangnya Umno sering menggunakan Perkara 153 untuk menakut-nakutkan orang-ramai dengan berkata hak keistimewaan orang Melayu akan tergugat sekiranya parti itu ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya umum," jelas beliau lagi. "Mereka sering meletakkan Dap sebagai pengancam kepada hak tersebut, sedangkan hak keistimewaan Melayu telah banyak terhakis diwaktu Umno menjadi tulang belakang kerajaan."
 
 

Mahfuz tidak berhasrat sama sekali untuk melihat debat ini dibatalkan demi perkembangan minda dan masa depan generasi muda Malaysia. "Empat puluh enam peratus [46%] rakyat Malaysia adalah generasi muda yang berilmu," tambah Mahfuz. "Oleh itu saya minta veteran seperti Datuk Abdullah Ahmad menyedari hakikat bahawa kami tidak mahu dibelenggu oleh tindakan yang berasaskan emosi tetapi bersandarkan ilmu."
 
 

Atas alasan itu, Mahfuz percaya debat ini mampu menjadi perintis ke arah politik yang lebih matang dan terbuka, bukan politik berasaskan emosi kepartian masing-masing.