TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM
"BERSAMA MENGISI KEMENANGAN"
tinta_hijau@hotmail.com

 

Eksklusif : 'Mahathir menghukum dirinya melawan Dunia Antarabangsa  -  Dr Rahim Ghouse'
                             Wawancara Khas Melalui Corong Siber

 
 

Muqaddimah :  Dr Abdul Rahim Md Ghouse merupakan salah-seorang dari 3 perwira Reformasi yang membawa arus
Reformasi ke luar negara dan satu-satunya perwira yang masih belum menjejakkan kakinya ke tanahair selain daripada saudara
Mohamad Ezam Mohd Noor dan saudara Saifuddin Nasution Ismail.

Senario ketidakadilan yang berlaku di Malaysia digegarkan oleh beliau melalui serangan bertalu-talu terhadap Mahathir dan
kuncu-kuncunya yang dilancarkan oleh Malaysian Solidarity for Democracy and Reform (MSDR) yang sebelum ini berpusat di
Jakarta. Setiap tindakan durjana Mahathir pasti akan disapa dengan serangan dan disebarkan ke dalam dunia siber. Sejak
beberapa bulan kebelakangan ini, tiada lagi tembakan dan serangan daripada beliau kedengaran namun kini, serangan beliau sudah
bermula kembali melalui 'The International Free Anwar Campaign (FAC)' dan membuatkan saya turut menjadi salah-seorang
'Special Branch' yang tidak berputus asa untuk menjejaki dan menemubual beliau.

Alhamdulillah, dengan 'voice chat', akhirnya saya berjaya menemuramah beliau selepas penjatuhan hukuman 9 tahun penjara
kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Mahazalimtwo (M2):  Assalammualaikum W.W. Dr Rahim...

Dr Abdul Rahim Md Ghouse (DRG) : Waalaikum-as-salam W.W. Ini bukan special branch? (dengan nada ketawa..)

M2: Hm..nampaknya begitulah. Terima kasih kerana akhirnya sudi ditemuramah setelah beberapa kali temujanji kita gagal.

DRG : Terima kasih kerana sudi memberi kesempatan pada saya untuk di temu ramah dalam mahazalim. Saya yakin saudara
mahazalim, tak perlu beritahu nama saudara. Berapa hit mahazalim sekarang?

M2 : Betul tu...manalah tahu ada 'siput babi' yang pandai kacau voice chat ni...Hit pula...adalah sedikit. Semalam sahaja lebih
300,000. Oh ya, Apakah Reaksi saudara terhadap hukuman mahkamah yang menghukum DSAI?

DRG : Saya amat simpati dengan Kak Zah serta anak anak beliau. Semoga Allah akan memberikan ketabahan dan kesabaran
kepada Anwar sekeluarga. Saya yakin keputusan ini membuat kita semua lebih bertekad untuk berjuang sehingga kebenaran dan
keadilan ditegakkan dan penjenayah-penjenayah ini  semua akan diadili.  Keputusan ini menunjukkan keanehan sistem kehakiman
negara sekarang. Yang dianiayai dan difitnah di hukum dengan hukuman yang berat. Penjenayah dan pemfitnah bebas berleluasa.
Lebih-lebih lagi penjenayah yang bebas ini juga mereka yang memegang jawatan-jawatan tertinggi dalam negara.  Sekarang ini,
bukan hanya rakyat sudah tahu siapa penjenayah yang sebenarnya. Dunia pun telah jelas siapa penjenayahnya. Keputusan
mahkamah yang menghukum Anwar telah mengubah percaturan politik dari Mahathir lawan Anwar, kepada Mahathir lawan
Rakyat dan sekarang Mahathir lawan Dunia Antarabangsa.

M2 : Mengapakah secara tiba-tiba saudara muncul kembali dipersada perjuangan dengan FAC setelah menyepi beberapa ketika?

DRG :  Selama beberapa bulan saya serta beberapa teman teman lain lebih membuat tumpuan kepada usaha usaha konsolidasi
dan bertemu ramai orang untuk meminta nasihat dan tunjuk ajar cara cara yang berkesan kita boleh bertindak selepas piliharaya
dan juga selepas mahkamah mejatuhkan hukuman pada Anwar.  Kita harus ingat bahawa kita mesti merancang sesuatu yang
bersifat jangka panjang. Kita berharap Mahathir jatuh besok , tetapi kita mesti bersedia menghadapi Mahathir yang menguasai
seluruh institusi negara dengan lebih rapi dan tersusun yang mungkin akan terus berkuasa untuk beberapa tahun lagi.  Salah satu
daripada perancangan yang penting ialah keujudan FAC untuk terus menggembelingkan pandangan serta usaha mereka yang
menyokong Anwar Ibrahim untuk terus menekan Mahathir membebaskan Anwar.Tekanan ini mesti datang dari dalam dan luar
negara.

M2:  Maksudnya ada lagi susulan lepas FAC?

DRG: Adala tetapi tak boleh cerita semua (tertawa).

M2: Tak mengapalah. Nanti kita tahulah. Oh ya, nampaknya sokongan antarabangsa begitu kuat terhadap Anwar. International
Free Anwar Campaign baru berumur dua minggu sudah pun heboh di peringkat antarabangsa. Kawan saya memberitahu
sehinggakan masjid-masjid di Amerika dan England  telahpun menerima bahan-bahan dari FAC. Di Pakistan, India dan Jepun
mereka turut  menerima bahan-bahan FAC. Link FAC pun sudah ada dalam CNN dan BBC.  Bagaimana rakyat boleh
membantu?

DRG : Sahutan masyarakat antarabangsa menunjukkan simpati dan sayangnya masyarakat dunia pada Anwar.  FAC  adalah
penerusan perjuangan rakyat menuntut pembebasan Anwar Ibrahim semenjak Anwar di tahan pada 20hb September 1998.
Demonstrasi-demonstrasi oleh pejuang-pejuang gerakan reformasi termasuk tahanan ISA dan OKT, sehingga pengiktirafan
Anwar sebagai calon PM BA sebenarnya adalah usaha untuk membebaskan Anwar.  FAC melanjutkan usaha ini dengan lebih
agresif di peringkat antarabangsa.  Alhamdulilah, ramai yang membantu FAC.

Kita perlu ramai lagi yang mempunyai 'contact' di peringkat antarabangsa untuk kehadapan membantu FAC.  Ibubapa yang
mempunyai anak-anak mereka di overseas boleh menggalakkan anak anak mereka ke http://www.freeanwar.com dan sebarkan
bahan-bahan ini pada pemimpin-pemimpin tempatan mereka. Bahan-bahan yang dikeluarkan FAC ( media releases) telah kita
sesuaikan untuk tatapan masyarakat antarabangsa. Minta pemimpin-pemimpin ini melobi kerajaan masing masing untuk terus
menuntut Anwar Ibrahim dibebaskan. Dengan ini kita membawa perjuangan rakyat pada peringkat antarabangsa.

M2 : Seterusnya, apakah pendapat saudara mengenai UMNO, Nampaknya budaya bisu wujud di kalangan pemimpin UMNO?

DRG : Prinsip hidup pemimpin-pemimpin UMNO ialah politik, bukannya perjuangan. Ada dikalangan pemimpin UMNO yang
menghantar email, menelefon dan ada yang bertemu dengan saya.  Hampir semuanya simpati dengan Anwar. Di lubuk hati
mereka ini masih merasakan bahawa Anwar satu hari akan kembali ke pentas politik. Jadi mereka tidak mahu 'miss the boat' jika
Anwar kembali berkuasa. Maksudnya 'rakyat berjuang la..'…., tetapi bila menang besok mereka pemimpin-pemimpin UMNO ini
juga berharap bahawa mereka tidak dilupakan kerana mereka sebenarnya sayang pada Anwar tetapi cuma tak berani bersuara
dengan kezaliman Mahathir.

Di depan saya mereka kutuk Mahathir, ada yang kata Mahathir binatang, tiada moral, nyanyok, tua dan sebagainya. Tetapi bila
kita minta mereka menyuarakan kebenaran dan berjuang bersama rakyat, pelbagai helah dikeluarkan seperti  “Periok nasi boss”,
“projek tak dapat”, “Dalam UMNO ni susah”. “kami tak boleh buat apa apa”. Mereka cuma mahu mencuci tangan dan tiada
langsung rasa tanggungjawab terhadap pemimpin mereka sebelum ini yakni Sdr Anwar Ibrahim. Mereka cuma fikir kepentingan
kuasa dan peribadi semata-mata dan bukan lagi penderitaan yang harus diharungi oleh rakyat.  Inilah kualiti para  pemimpin
Melayu dalam UMNO yang ada sekarang ini. Amat memalukan. Lebih-lebih lagi bagaimana nak berdepan dengan Allah swt.
Bagi mereka hidup ini seolah-olah satu sandiwara politik semata-mata, bukannya untuk perjuangan yang bedasarkan prinsip
membantu rakyat, mereka yang teraniaya, mereka yang tertindas dan mereka yang dizalimi.

M2:  Bagaimana pula pendapat saudara mengenai Pak Lah. Adakah Pak Lah berkemampuan untuk menggantikan Mahathir.
Adakah Pak Lah begitu bekarisma untuk menerajui negara ini?

DRG : Bagi saya jelas. Selepas Mahathir ialah Anwar Ibrahim. Saya tak nampak Mahathir akan melepaskan kuasa kepada
sesiapa.  Kita juga mendengar berita bahawa Pak Lah sudah begitu bersungguh-sungguh menggunakan seluruh jentera
kementerian dan  parti  hendak mengukuhkan kedudukannya dalam UMNO supaya dialah yang akan  menggantikan Mahathir.
Saya yakin dan setelah mengenali Mahathir dari jauh, akhirnya Pak Lah pun mungkin akan dianggap liabiliti pada Mahathir. Saya
berpendapat Mahathir sudah tidak percaya pada siapa pun lagi. Dia juga bimbang kalau Pak Lah naik, Pak Lah mungkin akan
menunding jari kepadanya terhadap apa yang dia lakukan. Maklumlah orang dah tua lagi nyanyok; cuma memikirkan mungkinkah
nasibnya sama dengan Suharto dan Pinochet. Mahathir akan terus memegang kuasa sehingga mati dikerusinya atau rakyat
menumbangkan Mahathir dan Anwar Ibrahim dilantik sebagai PM.

M2 :  Apakah yang pertama-tamanya terdetik di hati saudara mengenai faktor-faktor pembebasan saudara Anwar?

DRG : Bagi saya beberapa faktor utama yang perlu ditekankan. Pembebasan Anwar bergantung kepada beberapa faktor dalaman
yang penting

Pertama : Keutuhan BA. Kita akan dapat meyakinkan dunia bahawa BA mampu memerintah. Kesefahaman PAS dan DAP
mesti diteruskan. Dunia antarabangsa telah mengiktiraf Barisan Alternatif ini menjangkaui politik sempit yakni politik perkauman
yang selama ini dibawa oleh UMNO dan Barisan Nasional. Oleh itu, kesefahaman antara PAS, DAP, keADILan dan PRM  perlu
senantiasa dieratkan. Penggembelingan tenaga dan idea antara parti-parti komponen akan meyakinkan bukan sahaja rakyat
Malaysia malahan masyarakat antarabangsa bahawa wujudnya 'alternatif baru' untuk menerajui negara ini. Program-program
Pemuda BA mesti diteruskan. Saya kagum dengan keberanian Sdr Ezam dan 'askar-askarnya' kerana senantiasa tampil ke
hadapan untuk mendedahkan kepincangan yang berlaku di bawah sistem pemerintahan kukubesi Mahathir Mohamad. Begitu juga
dengan YB Mahfuz, YB Teng , Sdr Faizal dan exco-exco pemuda BA lainnya yang sudah berjaya mengambil-alih kepimpinan
seluruh generasi muda di Malaysia dari tangan Pergerakan Pemuda UMNO dan BN yang jelas sudah sunyi sepi.

Yang kedua, perhimpunan secara aman mesti teruskan. Mahathir takut bila rakyat berani. Diktator terus gelisah. Mereka hanya
takutkan 'kuasa rakyat'.  Bayangkan bila cuma 200 orang berkumpul,  Mahathir telah geram dan marah. Dia sanggup
mengarahkan polis untuk membelasah dan tangkap mereka yang berhimpun secara aman.  Ini menunjukkan dia sudah hilang
pertimbangan.  Selagi dia marah selagi itu dia akan hilang pertimbangan dan sudah pasti menunjukkan tanda-tanda kejatuhan
diktator ini.

Seterusnya, warga birokrat, tentera serta polis harus sedar tanggungjawab mereka pada rakyat. Tak perlulah berkhidmat pada si
zalim itu lagi. Saya yakin jika warga birokrat tidak terikat dengan politik kepartian serta polis dan tentera membela rakyat, Mahathir
akan tumbang. Ahli-ahli akademik serta guru-guru juga mesti terus menyemarakkan semangat cintakan keadilan dan menuntut
Reformasi di kalangan pelajar kerana merekalah bakal pemimpin masa hadapan.

Yang terakhir, laman-laman reformasi mesti terus bertindak sebagai alternatif media dan saluran berita berita dan maklumat.
Peperangan cyber ini juga dapat menggugat Mahathir melalui pendedahan-pendedahan yang boleh menakutkan dan memalukan
mereka. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada saudara dan teman-teman laman yang lain yang memainkan peranan  begitu
penting dalam penyebaran maklumat serta program perhimpunan aman serta program ceramah yang dilaksanakan.  Selain dari
struktur formal yang ada laman-laman ini juga menjadi nadi pada pergerakan dan mobilisasi rakyat.

Akhir kata, Lawan tetap lawan. Rungkaikan rasa takut kita pada Mahathir.  Rakyat mesti terus menuntut Mahathir undur dan
Anwar dibebaskan.  Saya setuju dengan ucapan Ezam di Taman Melewar semalam, 'Kita bagi tempoh 15 bulan untuk Mahathir
undur'

M2: Bagi saya 15 bulan itu lama, kalau ikut hati saya 15 saat pun masih cukup baik bagi orang macam Mahathir...(tertawa).
Terima kasih kerana sudi diwawancara. Jagalah diri baik-baik. 'Gangster' Mahathir kat luar tu banyak.

DRG : Hang pun sama la kat sana..Depa tangkap IP address hang, silap-silap, esok dah ada kat Bukit Aman ..(ketawa)...

M2:  Okay Dr Rahim, Ahad ni ada konvoi ke Sungai Buloh, mai lah tumpang kereta saya....hehehe...

DRG:  Hang mai lah ambil aku kat airport....

M2: Ishhhhh,.....masih pekat loghat utara saudara....Terima kasih. Assalammualaikum.

DRG : Sama-sama, semoga Allah swt membantu kita semua. Sampaikan salam saya kepada teman-teman di Malaysia.
 

Depetik Dari :Mahazalimtwo