Make your own free website on Tripod.com
 
 


ROYALTI : KAMI BERSAMA TOK GURU





Dr M punca BN kalah di Lunas: Ahli MT
Malaysiakini

4.30pm, KHA: Terjemahan Seorang anggota Majlis Tertinggi Umno hari ini menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebagai punca utama kekalahan Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil Lunas Rabu lalu.
Datuk Shahrir Abdul Samad berkata sebab utama BN kehilangan kerusi itu ialah "perangai pemimpin kita, Dr Mahathir."
Dalam pilihanraya itu, calon BN S Anthonysamy tewas kepada calon Keadilan, Saifuddin Nasution Ismail sebanyak 530 undi. Kekalahan itu menyebabkan BN kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri Kedah.
Shahrir berkata, "kelemahan Dr Mahathir seperti ditunjukkan dalam 'ucapan nasihatnya' yang mengkritik Cina, seolah beliau marah dan berkecil hati kepada kaum itu. Perangai ini adalah 'sindrom orang tua' yang mudah merajuk."

Tokoh Umno dari Johor itu berkata undi yang diberikan kepada BA juga merupakan bantahan Umno, yang dilihat sebagai kerajaan. "Pengundi tidak melihat sebarang perubahan pada kerajaan yang dilihat penuh dengan rasuah, pentingkan diri sendiri dan jauh daripada masyarakat," jelas Shahrir. "Walaupun pemimpin dari Kedah menduduki dua jawatan utama dalam kerajaan, Dr Mahathir dan (Menteri Kewangan, Tun) Daim (Zainuddin) tidak pernah berasa susah hati untuk turut sama berkempen dalam pilihanraya itu. "Rakyat mengundi membantah keadaan yang masih tidak berubah itu - ia bukan kerana isu (bekas Timbalan Perdana Menteri) Anwar (Ibrahim).
"Umno dan BN tidak mempedulikan isyarat jelas yang ditunjukkan dalam pilihanraya umum (tahun lalu). Mungkin ia hanya memberikan kesan kepada peringkat tertentu atau mungkin juga Umno sedar beberapa bulan selepas (pilihanraya November tahun lalu) sahaja dan kemudian berperangai seperti biasa semula. Sebenarnya beberapa golongan Umno di Kedah gembira dengan kekalahan (di Lunas) ini."

Poster Mahathir

Shahrir berkata, poster Dr Mahathir yang digunakan dan bukannya gambar calon BN mungkin juga menyebabkan kesan sebaliknya yang merugikan BN."Dengan meletakkan poster PM, Menteri Besar Kedah ingin menunjukkan bahawa tidak penting sama ada Umno atau BN yang menang, tetapi yang lebih penting PM menang. Ia dengan jelas menunjukkan sikap suka mengampu ketua yang masih lagi berleluasa (dalam Umno)," kata Shahrir lagi.Bagaimanapun katanya, amalan mempamerkan poster perdana menteri dan bukannya calon yang bertanding bukanlah baru.

"Saya pernah berpengalaman pada 1988 ketika pilihanraya kecil Tanjung Puteri apabila calon Umno Baru bertanding buat pertam kali. "Saya waktu itu sebagai pengurus kempen dan saya mengarahkan ‘jangan gunakan poster PM' sebab orang Melayu di Johor marah kepada PM berkenaan isu (pemecatan) Musa Hitam dan krisis Umno waktu itu. "Saya dikritik oleh konco-konco PM seperti Mohamad Rahmat (waktu itu Menteri Penerangan), sambil menekankan bawa lebih baik PM menang daripada segala-galanya," kata Shahrir."(Umno) langsung tidak mempedulikan yang terjadi di peringkat bawahan, orang ramai. Dengan gelagat seperti ini, apabila pembangkang merayu undi, rakyat akan menyokong mereka (calon pembangkang)."