ROYALTI  :  KAMI BERSAMA TOK GURU

 


Oleh Zunar

Kuala Lumpur 27 Nov (Hrkh) -Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantah tindakan pihak penguasa yang tidak membenarkan keluarga beliau melawat beliau yang kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur ( HKL ).

Anwar dirawat di wad 28 hospital tersebut kerana mengadu sakit belakang. Pagi tadi Anwar menjalani rawatan terapi yang memerlukan tangannya diikat dengan pembalut dan kakinya diikat dengan bahan pemberat.

Menurut peguam Sankara N Nair, Anwar membantah keras peraturan menghalang lawatan ahli keluarganya dan tidak akan menerima sebarang rawatan selagi peraturan itu ditarik balik.

"Anwar memberi tempoh hingga pukul empat petang ini kepada pihak berkuasa untuk mengkaji balik peraturan tersebut. Sekiranya ia terus dikekalkan, Anwar tidak teragak agak untuk memulau rawatan di hospital tersebut malah akan bertindak membuka balutan tangan dan bahan pemberat dikakinya sebagai tanda bantahan," Kata Sankara.

Menurut Sankara lagi keadaan Anwar agak serius dan beliau menjangkakan Anwar terpaksa dirawat sekurang-kurangnya sebulan lagi. Anwar kini terpaksa diletakkan di atas kerusi roda.

Perbicaraan rayuan kes pertama Anwar yang sepatutnya dibicarakan pagi tadi ditangguhkan ke pada 11 Disember ini. Anwar dimasukkan ke HKL sejak semalam mengadu sakit tulang belakang.

Minggu lepas Anwar menjalani rawatan sakit yang sama di HKL dan Hospital Besar Selayang. MIR scan yang dilakukan oleh doktor menunjukkan Anwar mengalami ' Slipped ProLapse Disc' iaitu sakit yang melibatkan bahagian belakang dan pinggang seseorang.

Pada Januari 1999, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor mengaku menumbuk mata Anwar berkali-kali dalam lokap polis Bukit Aman dalam keadaan mata terikat dan tangan bergari.

Tumbukan itu dikatakan menyebabkan Anwar tersentak dan terjatuh ke belakang.

Laporan doktor kepada Suruhanjaya DiRaja yang dibentuk untuk menyiasat kejadian itu memperakukan bahawa serangan tersebut amat serius dan boleh mengakibatkan maut.