INILAH KERAJAAN YANG TELUS    
 
               KUALA TERENGGANU, 9 Mei -- Menteri Besar Abdul Hadi
               Awang hari ini menyelar media massa yang dikatakan tidak
               memahami Islam dengan memperbesar-besar isu pembuangan
               patung penyu di bulatan Ladang dekat sini.

               "Kita tidak mahu media massa yang tak faham Islam memainkan isu
               patung ini dan merosakkan akidah rakyat," katanya menjawab
               soalan Datuk Abu Bakar Ali (BN-Kemasik) berhubung pembuangan
               patung penyu yang selama ini menjadi mercu tanda bandar Kuala
               Terengganu.

               Menteri Besar berkata selain itu rakyat yang tidak faham hadis
               rasulullah S.A.W dan mempersenda-sendakan hadis berkenaan
               dengan membincangkan isu patung penyu itu juga disifatkan
               sebagai merosakkan akidah umat Islam.

               "Rakyat yang tak faham hadis rasulullah dan
               mempersenda-sendakan hadis nabi berhubung pembuangan patung
               penyu itu akan merosakkan akidah umat," katanya pada
               persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

               Beliau menjelaskan pembuangan patung berkenaan adalah untuk
               mengubah suai bulatan itu kepada simpang empat lampu isyarat
               bagi melancarkan pergerakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

               "Ya, kita akan buat tidak lama lagi kepada patung-patung lain di
               negeri ini bagaimanapun patung yang berkait dengan bukan Islam
               di kawasan mereka dikecualikan sebagai kebebasan kepada
               masyarakat bukan Islam untuk tujuan agama mereka," katanya.

               Selain patung penyu, terdapat patung sotong dan udang di
               persimpangan lampu isyarat di bandar Marang serta patung naga
               di kawasan kampung Cina di sini.

               Menjawab soalan Rosol Wahid (BN-Ajil), Abdul Hadi berkata
               pemberian bonus kakitangan kerajaan negeri yang dijanjikan
               sebanyak RM1,000 dan dibayar pada November, Disember dan
               Januari telah diselesaikan mengikut pekeliling Pejabat Setiausaha
               Kerajaan Negeri Bilangan 8 tahun 1999.

               Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan
               Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi negeri Yahaya Ali
               berkata kerajaan negeri telah mengadakan perjumpaan dengan
               Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu untuk membincangkan
               projek Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

               Kerajaan negeri sedang menunggu pelan dari kementerian
               berkenaan mengenai proses pengambilan tanah, katanya semasa
               menjawab soalan Azman Shapawi Abdul Rani (PAS-Rantau Abang).
 

               "Kerajaan setuju tanah milik kerajaan digunakan pada bila-bila
               masa bagaimanapun syarat kita ialah penetapan kadar tol
               hendaklah diambil-kira juga pandangan kerajaan negeri serta ia
               mestilah tidak melebihi tol yang dikenakan ke atas projek
               Lebuhraya Utara Selatan," katanya.

               Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam
               Sekitar negeri Wan Abdul Mutalib Embong berkata kerajaan Pas
               Terengganu tidak pernah meluluskan sebarang lesen baru ke atas
               premis arak di negeri ini sebaliknya kelulusan diberi kepada
               pembaharuan lapan lesen arak untuk keperluan rakyat bukan Islam
               dan pelancong asing.

               Pembaharuan lesen itu ialah masing-masing dua di Kuala
               Terengganu, Kemaman dan Dungun serta masing-masing satu di
               Besut dan Marang, katanya menjawab soalan Abu Bakar
               (BN-Kemasik).

               Wan Mutalib berkata proses penubuhan Jawatankuasa Syura
               Rakyat (JSR) menggantikan Jawatankuasa Keselamatan dan
               Kemajuan Kampung (JKKK) telah selesai di beberapa daerah dan
               berkuatkuasa sejak awal bulan ini yang bertujuan membantu
               pegawai-pegawai daerah.

               Mengenai kelayakan pengerusi JSR, beliau berkata mereka mesti
               lulus empat thanawi dan wakil rakyat yang mempunyai maklumat
               mengenai salah laku pengerusi JSR boleh membuat laporan kepada
               kerajaan negeri untuk disiasat dan diambil tindakan sekiranya
               terbukti kesalahannya.

               Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum dan
               Perindustrian negeri Mustafa Ali pula berkata Perbadanan
               Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) telah diarah untuk
               mengkaji dan membuat laporan mengenai anak-anak syarikatnya
               yang berdaya maju, membawa keuntungan dan mengalami
               kerugian.

               Menurutnya sehingga kini sebanyak tujuh daripada 17 anak
               syarikat PMINT ditutup dan enam daripada 20 `cucu syarikat'
               PMINT tidak menjalankan operasinya lagi.

               Antara masalah anak-anak syarikat itu ialah sukar untuk
               mendapatkan pinjaman dan masalah pentadbiran pada masa
               dahulu, katanya menjawab soalan Azman Shapawi (PAS-Rantau
               Abang).

               Kepada soalan Tengku Putera Tengku Awang (BN-Telemong),
               Mustafa berkata masalah pendudukan tanah haram di negeri ini
               boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu sewaktu kerajaan
               Barisan Nasional memerintah dan semasa kerajaan sekarang.

               "Selepas pilihan raya lepas, semua pegawai daerah telah diarahkan
               untuk mengenal pasti mereka yang terlibat dan memastikan
               mereka mengikut peraturan yang telah ditetapkan," katanya.

               Beliau berkata pendudukan tanah haram itu melibatkan pelbagai
               lapisan masyarakat termasuk daripada penyokong PAS dan Umno.