SEKITAR SIDANG DUN

KUALA TERENGGANU, 11 Mei (Bernama) -- Satu persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipanggil tidak lama lagi untuk meluluskan penubuhan Jawatankuasa Hisbah yang akan dibentuk oleh kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Hisbah dan Tugas-tugas Khas Negeri Tun Mohd Salleh Abas hari ini berkata walaupun jawatankuasa berkenaan belum ditubuhkan, terdapat seorang pegawai yang menjalankan tugas-tugas berkaitan dengan jawatankuasa yang dijangka ditubuhkan dalam jangka masa dua atau tiga bulan lagi itu.

Jawatankuasa Hisbah bertujuan antara lain memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar dan pentadbiran kerajaan serta akauntabiliti dalam pentadbiran dan perbelanjaan wang negeri.

"Kerajaan beri jaminan, Jawatankuasa Hisbah itu akan menjalankan tugas dengan amanah, adil, telus, cekap dan dinamik, pelaksanaannya nanti tidak dibuat secara sewenang-wenangnya, dan ia dijalankan bukan berdasarkan hasad dengki dan dendam kepada sesiapa," katanya semasa penggulungan perbahasan usul terima kasih atas titah ucapan Sultan pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri akan memastikan perjalanan jawatankuasa berkenaan mengikut peruntukan undang-undang yang bakal diluluskan itu dan secara berhati-hati untuk mengelakkan mereka yang tidak berdosa daripada teraniaya.

Mohd Salleh juga berkata pegawai-pegawai kerajaan perlu mengikut perlembagaan negara iaitu memberikan taat-setianya kepada kerajaan yang memerintah dengan memberikan kerjasama dan sokongan tanpa berbelah-bahagi.

Beliau berkata jika pegawai kerajaan menyertai politik, segala tugas yang dilaksanakan akan menimbulkan kecurigaan.

Beliau berkata tujuan sesetengah pegawai masuk politik ialah untuk kemudahan mendapat kenaikan pangkat dengan segera melalui cara melangkau pegawai-pegawai yang lebih kanan, menyebabkan timbul rasa tidak puas hati di kalangan mereka yang dianiaya.

Mengenai hubungan kerajaan persekutuan dan negeri, Mohd Salleh berkata kerajaan persekutuan perlu memberi layanan yang sama rata kepada semua negeri walaupun ada negeri diperintah oleh pembangkang kerana ia mengikut perlembagaan dan sistem federalisme yang diamalkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia Negeri Mustafa Ali berkata statistik yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) bagi Januari hingga Mac tahun ini menunjukkan empat projek diterima di negeri ini.

Projek-projek itu terdiri daripada dua projek baru dan dua projek pembesaran dengan melibatkan pelaburan sebanyak RM94 juta.

"Keempat-empat projek itu mampu menempatkan lebih 100 pekerja apabila beroperasi dan kenyataan itu menafikan dakwaan yang dibuat bahawa orang tak mahu datang melabur di sini lagi... dakwaan itu adalah tidak tepat dan tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata dalam tempoh lima bulan kerajaan PAS memerintah, banyak perubahan dasar telah dibuat, antaranya isu tanah haram yang dibuka hanya untuk 1980-an kini dibuka sehingga tahun 90-an.

"Selain itu, dasar kebajikan, pelancongan, pertanian, perumahan dirangka dengan kerjasama pegawai-pegawai kerajaan yang komited untuk membangunkan negeri," katanya.

Katanya, kerajaan PAS Terengganu tidak menafikan sumbangan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lepas dengan mewujudkan pusat-pusat pengajian tinggi seperti Institut Teknikal Tinggi Terengganu (TATI), Pusat Latihan Keselamatan Terengganu (TSTC) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Terengganu (Tesdec) yang mampu melahirkan tenaga kerja mahir.

"Kita akan teruskan pusat-pusat itu dan kita hargai usaha kerajaan BN dahulu, cuma kita ubahsuai sedikit apa-apa yang perlu," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan dan Ternakan negeri Abu Bakar Chik berkata kerajaan negeri sedang berusaha untuk meningkatkan pendapatan golongan nelayan kepada RM1,500 sebulan serta membantu golongan petani yang daif.

Beliau berkata dasar pertanian negeri adalah untuk memastikan pengeluaran makanan dapat ditingkatkan ke tahap 100 peratus di Terengganu selain memodenkan sektor pertanian dengan melengkapkan program-program penyelidikan dan pembangunan negeri.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga akan menggalakkan penanam tembakau yang menghadapi masalah di negeri ini bertukar kepada tanaman lain seperti roselle dan jagung.