RANCANGAN EPMI DI TERENGGANU TIDAK BERUBAH
 MESKIPUN PERALIHAN KERAJAAN
 
 KUALA LUMPUR, 20 Dis  -- Rancangan pembangunan luar
 pesisir Esso Production Malaysia Inc. (EPMI) di Terengganu kekal
 tidak berubah meskipun kerajaan negeri kini diterajui oleh PAS,
 kata pengerusi syarikat Datuk Philip J. Dingle, di sini, hari ini.

 Beliau berkata syarikat petroleum akan mengusahakan tiga projek
 besar bernilai melebihi AS$1.6 bilion di luar pesisir Terengganu bagi
 tempoh 2 1/2 tahun yang akan datang.

 "Ia (perubahan dalam kerajaan) langsung tidak mengubah
 rancangan kami, kami berada di sini adalah untuk memajukan
 minyak di luar pesisir dan peralihan itu tidak menjejaskan kami,"
 katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek bagi
 kakitangan Esso Companies di Malaysia yang bergiat cergas dalam
 kegiatan perkhidmatan masyarakat.

 "Kami hanya berminat dengan geologi dan carigali di kawasan itu
 dan pandangan serta operasi kami tetap tidak berubah mengikut
 Akta Pembangunan Petroleum Malaysia.

 "Oleh itu saya tidak menjangkakan perubahan kerajaan (negeri)
 akan mengubah undang-undang dan peraturan di Malaysia,"
 katanya.

 Menjelaskan lebih lanjut tentang pelaburan baru luar pesisir
 Terengganu, beliau berkata ia termasuklah usaha sama dengan
 Petronas Carigali Sdn Bhd bagi pembangunan lapangan minyak
 baru bernilai lebih AS$1 bilion yang dipanggil "Angsi."

 Esso juga memajukan lapangan minyak baru bernilai AS$400 juga
 yang dikenali sebagai "Larut," di mana pembinaannya akan bermula
 tahun depan, katanya.

 Beliau juga menyebut tentang projek ketiga yang dinamakan
 "Satellite" di mana tiga atau empat lapangan kecil dimajukan pada
 masa yang sama bagi mengurangkan kos. Ia dianggarkan bernilai
 AS$200 juta.

 "Oleh itu, terdapat projek bernilai AS$1.6 bilion berada dalam
 perancangan kami bagi tempoh beberapa tahun yang akan datang
 di mana kami akan memulakan kesemuanya tahun depan,"
 katanya.

 Beliau juga berkata pengeluaran minyak syarikat itu tahun ini tidak
 berubah kira-kira 330,000 tong sehari manakala keluaran gas asli
 meningkat 10 peratus kepada 1.1 bilion kaki padu sehari.

 Menurutnya, permintaan bagi gas dari Semenanjung Malaysia
 semakin meningkat, dengan demikian "menjadikan operasi
 pengeluaran kami begitu sibuk tahun ini."

 Apabila ditanya sama ada harga minyak akan meningkat, beliau
 berkata: "Saya rasa bagi tempoh jangka panjang, ia akan berada
 pada purata AS$18-AS$20 satu tong."

 Beliau berkata harga gas asli yang dijual di Malaysia bersandarkan
 kepada minyak bahan api dan oleh itu ia bergantung kepada harga
 minyak bahan api dan harga gas asli."

 Bagi penggabungan syarikat induk EPMI, Exxon Corporation,
 dengan Mobil, Dingle berkata "ia tidak akan menjejaskan rancangan
 kami kerana perbadanan itu telah menyusun semula kepada 11
 bahagian dan syarikat seluruh dunia."