ROYALTI  :  KAMI BERSMA  TOK GURU
 

LAPORAN RINGKAS SIDANG MEDIA EZAM DI KLIA

Kira-kira 200 orang penyokong Gerakan Reformasi telah menyambut kepulangan Sdr
Ezam Mohd Nor daripada Bangkok kerana menghadiri persidangan antarabangsa di
kota tersebut. Beliau sekaligus telah membuat satu kenyataan akhbar secara
terbuka di perkarangan Balai Ketibaan berhubung dengan isu "Pengkhianat" yang
dilontarkan oleh Mahathir Mohamad.  Dalam ucapan beliau, beliau sekali lagi
menegaskan bahawa memang benar sewaktu diluar negara beliau mendedahkan
keburukan dan kepincangan Mahathir serta kezaliman yang dilakukannya.  Segala
apa yang didedahkan adalah fakta benar yang disokong dengan bukti-bukti yang
kukuh.  Sdr Ezam memaklumkan bahawa beliau telah membuat temujanji dengan Balai
Polis Alor Setar pada 3 November ini jam 3.00 petang untuk sekali lagi
mengulangi kenyataannya bahawa memang benar beliau mengkritik Mahathir di luar
negara dan beliau mencabar pihak polis untuk mendakwanya seberapa segera yang
boleh.

Sdr Ezam juga menjawab tuduhan "Pengkhianat" yang dilemparkan oleh Mahathir
kepadanya sebagai satu tindakan yang bacul.  "Jika benar saya pengkhianat,
Mahathir juga adalah seorang pengkhianat dan penderhaka kerana beliau telah
mengkritik Tunku Abdul Rahman di Malaysian Hall London pada tahun 1969 dan di
University Monash Melbourne, Australia pada tahun 1971.  Beliau juga pernah
mengkritik kepimpinan Tunku dalam sebuah Majalah di Filipina.  Mahathir dan
Abdullah Badawi serta kuncu-kuncunya yang lain perlu bersiap sedia kerana saya
akan memanggil mereka sebagai saksi utama bila saya didakwa kelak.  Dari kandang
orang salah saya akan dedahkan siapa sebenarnya pengkhianat dan penderhaka."
jelas beliau lagi.

Diakhir sidang media tersebut, Sdr Ezam juga turut memaklumkan tentang
pertemuannya dengan beberapa orang anggota Senat Thailand yang baru dilantik
termasuk Pengerusi Perhubungan Luar Senat.  Menurut beliau pada awal bulan
Disember ini sebuah badan yang berwibawa akan memberi anugerah kepada Dato' Seri
Anwar Ibrahim sebagai tanda penghormatan terhadap perjuangannya.

LOKMAN ADAM

Setiusaha Pemuda KeADILan

KLIA - 1 November 2000 - 11.00 Mlm