Make your own free website on Tripod.com

ROYALTI : KAMI BERSAMA TOK GURU



Jawapan Ezam kepada Utusan Malaysia

Kenyataan Media
3 Januari 2001
 

Saya ingin melahirkan rasa kesal terhadap Utusan Malaysia yang tidak
menyiarkan langsung surat terbuka saya kepada Ketua Pengarang Utusan semalam
berhubung isu penyatuan Melayu. Tindakan Utusan ini menunjukkan betapa
mereka tidak bersikap terbuka yang merupakan satu ciri penting dalam
mana-mana proses muzakarah atau perbincangan. Pemuda UMNO menyelar Pemuda
keADILan dan PAS sebagai tidak bersifat terbuka. Persoalannya ialah
bagaimana Utusan Malaysia yang kononnya paling kuat mendokong proses
perpaduan Melayu tidak langsung bersikap terbuka.

Sikap Utusan ini bagaimanapun telah diduga. Utusan juga tidak menyiarkan
kenyataan awal saya berhubung isu ini yang dengan jelas menekankan kepada
perlunya persoalan besar mengenai pembenterasan rasuah dan penyelewengan
dijadikan agenda utama mana-mana usaha muzakarah.

Utusan Malaysia langsung tidak memetik kenyataan saya berhubung persoalan
rasuah padahal itulah perkara terpenting dalam setiap kenyataan saya
berhubung hal penyatuan Melayu. Apakah Utusan Malaysia juga alergik dan
takut kepada perkataan rasuah sama seperti takutnya ramai pemimpin UMNO
terhadap perkataan ini? Amat malang sekiranya akhbar utama negara juga
mengidap penyakit yang sama dengan pemimpin rasuah dan menyeleweng.

Pemuda keADILan ingin menegaskan sekali lagi bahawa isu negara hari ini
adalah persoalan rasuah, penyelewengan kuasa dan rompakan wang rakyat oleh
pemimpin kerajaan. Isu terbesar hari ini bukan masalah perpecahan atau
perpaduan Melayu. Yang bermasalah ialah pemimpin Melayu. Pemuda melihat
terdapat kecenderungan untuk menggunakan gagasan murni perpaduan bagi
menutup pekung pemimpin-pemimpin yang hilang wibawa. Gagasan murni perpaduan
sering dijadikan bahan mencuci dosa-dosa besar pemimpin UMNO. Usaha sebegini
bukan kali pertama berlaku kepada bangsa ini. Pernah suatu ketika dahulu
pemimpin UMNO bertelingkah.

Riuh rendah kisah pembongkaran rasuah dan penyelewengan. Bila gagasan
perpaduan dipalu, akhirnya rakyat yang diarah berpadu. Bukti rasuah dan
penyelewengan tiba-tiba menjadi abu. Ratusan juta duit rakyat hilang begitu
sahaja. Pemimpin dan kroni rasuah terus selamat dan kenyang. Rakyat bawahan
dipersalahkan kerana berpecah. Mereka diminta pula bekerja kuat untuk
mencapai perpaduan.

Oleh yang demikian Pemuda keADILan tidak berganjak dari kenyataan awal
menolak sebarang usaha perpaduan yang tidak dikaitkan dengan gagasan
mencegah rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Perpaduan tanpa iltizam untuk
membanteras najis rasuah dan dosa penyalahgunaan kuasa adalah kosong dan
tidak bermakna. Perpaduan seperti itu hanya akan diperalatkan oleh pemimpin
durjana yang korup dan menyeleweng untuk meneruskan agenda mereka untuk
terus merompak wang rakyat. Pemuda mahu isu paling besar negara dibincangkan
secara terbuka.
 
 

Mohd Ezam Mohd Noor
Ketua Pemuda KeADILan
http://pemudakeadilan.tripod.com