ROYALTI : KAMI BERSAMA TOK GURU




TERKINI! SURAT SDR EZAM KEPADA NOH OMAR: PERBINCANGAN ISU PERPADUAN MELAYU

4 Januari 2001

YB Datuk Noh Hj Omar
Pengerusi
Pertubuhan Alumni Kelab-kelab UMNO Luar Negara
d/a Pejabat Setiausaha
Parlimen di Jabatan Perdana Menteri
Aras 3, Blok Barat, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502 Putrajaya Fax : 03-88883541
 

YB Datuk

PERBINCANGAN ISU PENYATUAN ORANG MELAYU

Pemuda Keadilan merakamkan penghargaan di atas kesediaan Pertubuhan Alumni
Kelab UMNO untuk mengadakan perjumpaan untuk mendapatkan "penjelasan dan
pendirian Pemuda Parti Keadilan mengenai isu Penyatuan Orang-orang Melayu
dan isu tuntutan Suqiu".

Kami tidak bersetuju dengan pertemuan tersebut kerana bagi Pemuda Keadilan
isu sebenar negara hari ini bukan isu Penyatuan Melayu atau tuntutan Suqiu.
Isu negara hari ini ialah persoalan rasuah dan penyelewengan di kalangan
pimpinan kerajaan, pencabulan dan salah guna kuasa terhadap institusi
pelaksana hukum seperti kehakiman, BPR dan Jabatan Peguam Negara, penggunaan
dana awam untuk menyelamati individu tertentu yang amat berleluasa dan
mengancam keutuhan ekonomi negara dan kemaslahatan rakyat Malaysia.

Acap kali isu penyatuan dijadikan sandaran untuk menutup kepincangan sebenar
bangsa ini. Akhir 80an dahulu pertembungan berlaku di kalangan pimpinan
utama UMNO. Riuh-rendah isu rasuah dan penyelewengan kalangan elit
pemerintah diperdebatkan Bila gagasan perpaduan dipalu, akhirnya rakyat
diarah berpadu dan cerita rasuah tiba-tiba menjadi abu. Pemimpin rasuah
terus selamat dan rakyat pula yang dipersalahkan kerana berpecah dan diminta
pula bekerja kuat untuk mencapai perpaduan.

Oleh yang demikian, Pemuda Keadilan ingin menegaskan bahawa kami menolak
sebarang usaha perpaduan yang tidak dikaitkan dengan gagasan mencegah rasuah
dan penyelewengan kuasa. Bagi kami, perpaduan tanpa iltizam untuk
membanteras najis rasuah dan dosa penyalahgunaan kuasa adalah kosong dan
tidak bermakna.

Sekian. Terima kasih.
 
 

Mohd Ezam Mohd Noor
Ketua Pemuda KeADILan