Umno perlu penuhi syarat PAS - Dato' Fadzil


 


 - Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor menegaskan Umno perlu memenuhi tiga syarat yang dikemukakan oleh pihaknya sebelum pertemuan pemimpin Umno-PAS mengenai isu perpaduan nasional diteruskan.

Katanya, sama ada mahu terima ataupun tidak pemintaan daripada PAS, Umno sebagai parti pemerintah mempunyai komitmen untuk memenuhinya kerana tuntutan yang dibuat tidak memerlukan perundingan.

Sebaliknya jelas beliau, perundingan yang perlu dilaksanakan adalah melibatkan soal perpaduan nasional.

"Komitmen itu ada pada Umno, jadi sebelum memulakan perundingan perlulah mengembalikan hak yang dirampas sebelum ini," tegas beliau sewaktu diwawancara di pejabatnya pagi tadi.

Menurutnya, PAS hanya meminta dikembalikan dahulu hak-hak yang dikemukakan iaitu royalti minyak di Terengganu, permit penerbitan Harakah kepada lapan kali sebulan, dan mansuhkan percubaan Umno untuk menghapuskan perkataan "Islam' dalam mana-mana parti dan pertubuhan.

Katanya, sebelum ini, sewaktu Terengganu di bawah kerajaan Barisan Nasional, lebih daripada 20 tahun negeri tersebut mendapat hak royalti iaitu sebanyak lima peratus daripada Petronas.

Kenapa ketika itu royalti itu tidak ditarik balik? Begitu juga dengan Harakah yang telah dikurangkan kepada dua kali sebulan, katanya.

"Tiba-tiba mereka merampas hak yang diberikan kepada kita, saya rasa sebelum memulakan rundingan perlulah mereka kembalikan hak kita itu demi menjernihkan suasana," jelasnya.

Katanya, tuntutan itu bukan untuk kepentingan parti tetapi untuk rakyat, umpamanya minyak yang membabitkan hak rakyat Terangganu tanpa mengira PAS atau Umno.

Sementara itu, Harakah yang disekat mereka seolah-olah menghalang kebebasan bersuara bagi sebuah negara berdemokrasi, katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata usaha menggugurkan perkataan Islam yang dibuat oleh Umno bukan saja melibatkan parti PAS tetapi pertubuhan lain.

Semua permintaan PAS dakwanya, tidak ada kaitan dengan undang-undang tetapi sekadar menuntut hak rakyat yang dirampas.

"Masa mereka membuat keputusan untuk menarik hak yang dituntut oleh PAS mereka tidak berbincang atau mengambilkan tindakan mahkahmah malah dalam setiap Perhimpunan Agung Umno mereka mendesak mengharamkan Harakah.

"Sebagaimana mereka merampas hak tersebut, begitulah mereka wajar kembalikan hak itu tanpa melibatkan campurtangan kerajaan kerana pendekatan konsep kerajaan itu adalah mereka juga. Contohnya Menteri Dalam Negeri, adalah orang Umno juga.

"Kalau hujah Umno bahawa parti dengan kerajaan adalah berlainan maka apakah ada dua Dr Mahathir di negara ini?" soalnya.

Sekiranya Umno masih berdolak-dalik untuk menunaikan permintaan PAS mengembalikan hak yang disyaratkan itu, beliau berkata, di sini menunjukkan Umno tidak iklas.

Beliau juga menyelar sikap media khususnya TV3, kerana sejak isu penangguhan media pro-Umno itu seolah-olah membuat fitnah sehingga menimbulkan kemarahan penyokong PAS .

"Sekiranya TV3 begitu angkuh dengan putar-belit kenyataan PAS, biarlah dia (TV3) saja yang bincang cadangan Umno," katanya kesal.

Beliau juga turut menafi keputusan PAS menangguh pertemuan dengan Umno disebabkan menerima tekanan sebaliknya keputusan PAS adalah berdasar majlis syura.

"Tidak timbul soal tekanan sebab kita menerima pandangan daripada majoriti bukannya saya sendiri. PAS bukan parti diktator," tegasnya.
 

harakahdaily