Make your own free website on Tripod.com
 
Isu Royalti Minyak

Tindakan kerajaan Mahathir menghalang pemberian wang hasil petroleum sebanyak 5% setahun sekali lagi membuktikan kezaliman kerajaan BN. Tindakan ini menggambarkan sikap bebal dan degil Mahathir kerana menghalang pemberian itu tanpa alasan yang konkrit. Dia sanggup melakukan apa sahaja untuk menekan PAS atau BA secara keseluruhannya untuk mengekalkan kuasa, walau pun di tahu tindakan itu amat bercanggah dengan semangat demokrasi, undang-undang, dan keadilan. Seperti biasa dia akan mencampur adukkan di antara pentadbiran negara dan kepartian. Baginya apa yang lebih penting ialah untuk memperkayakan dirinya serta kroni-kroninya, bukan kepentingan rakyat terbanyak. 

Waktu BN memerintah Terengganu, 25 tahun kerajaan negeri Terengganu menerima royalti minyak. Apa yang rakyat Terengganu yang tak sampai satu juta itu dapat. Kemana duit itu habis. Kenapa kerajaan negeri BN dulu berhutang juga hingga 700 juta. Mana laporan tentang penggunaan wang itu. 

Kita semua tahu, tentang bagaimana syarikat-syarikat yang dimiliki oleh PMINT rugi besar-besaran. Wang dilaburkan berjuta, tapi bisnes rugi. Yang untung pengerusi-pengerusi syarikat dan kuncu-kuncunya. Kita semua tahu kenapa Unit Perpaduan Ummah diwujudkan. Semua pemimpin Umno negeri dapat habuan percuma. Yang kalah pilihanraya dapat elaun sama dengan wakil rakyat. Yang nak lawan ketua, dipujuk dengan jawatan dan elaun UPU. Ajk-ajk UMNO di pelbagai peringkat diberi ‘gaji’ melalui UPU ini. Mereka berkhidmat bukan untuk negeri, tapi untuk diri sendiri dan parti UMNO yang busuk itu. Kita semua tahu bagaimana projek pembangunan di pelbagai peringkat diurus. Projek yang kos sebenarnya hanya 20 juta dibelanjakan 50 juta. Yang untungnya ialah kroni-kroni. Kita semua tahu bangaimana cara pemimpin BN ini boros menghabiskan ‘petrol dolar’ ini. 

Bila PAS ambil alih, pembaziran dihapuskan, salah guna kuasa dihalang, penelewengan dikawal. Lihat saja kenderaan MB dan wakil-wakil rakyat. Rumah-rumah mereka. Pakaian mereka. Cara hidup mereka. Lihat saja tindakan mereka kepada anak-anak syarikat PMINT. Lihat saja penubuhan Jawatankuasa Hisbah yang memantau perjalanan pentadbiran kerajaan.

Tindakan Mahathir ini bukan sahaja zalim bahkan salah dari banyak sudut. Ia bertentangan dengan semangat demokrasi kerana tidak menghormati pilihan rakyat Terengganu. Kerajaan PAS yang ada sekarang dipilih secara sah oleh rakyat jelata. Mereka yang mahukan perubahan. Pembatalan royalti ini adalah satu hukuman ke atas mereka. Seolah-olah memberikan mesej ugutan‘jangan sokong BA nanti susah’.  Jadi rakyat tak bebas memilih. Rakyat tak bebas menyokong parti yang difikirkan layak memerintah. Ini jelas bertentangan dengan kebebasan bersuara dan kebebasan berpersatuan sebagaimana yang dinyatakan oleh Perkara 10 Perlembagaan dan didokong oleh Pengisytiharan Hak Asasi Sedunia.

Tindakan ini juga berlawanan dengan semangat federalisme. Mahathir tak iktiraf kuasa yang dimiliki oleh kerajaan negeri. Sebagaimana yang kita tahu, urusan tanah dan galian terletak di bawah kerajaan negeri. Walau pun ada Akta Perlombongan Petroleum 1966, Akta Pelantar Benua 1966, dan Akta Pembangunan Petroleum 1974, namun kerajaan negeri tetap mempunyai hak berdasarkan prinsip asas yang dinyatakan oleh Perlembagaan, Kanun Tanah Negara dan melalui Konvensyen Laut Wilayah dan Pelantar Benua 1958. 

Tindakan Mahathir tidak mengiktiraf kerajaan negeri juga terserlah melalui cara pembatalan ini dibuat. Adakah wajar satu tindakan yang memberikan kesan yang besar kepada kerajaan negeri dimaklumkan hanya melalui kenyataan akhbar seorang pegawai kerajaan? Kerajaan negeri langsung tidak dimaklumkan apa lagi untuk diajak berbincang. Inikah demokrasi ala Mahathir/BN? 

Di sampng itu, pembatalan ini jelas bertentangan dengan Akta Pembangunan Petroleum dan perjanjian yang dibuat antara kerajaan negeri dan petronas. Seksyen 4 Akta itu dengan jelas menyatakan bahawa PETRONAS perlu menyediakan pembayaran kepada kerajaan negeri sebagai balasan kepada pemunyaan, hak, kuasa dan kebebasan yang diberikan kepada PETRONAS dalam menjalankan aktivitinya. Perjanjian yang dimeterai pada 22 Mac 1975 dengan terang menyatakan bahawa ‘PETRONAS hendaklah membayar wang tunai kepada kerajaan negeri secara tahunan sebanyak yang setara dengan 5% dari nilai petroleum yang didapati di Terengganu dan dijual oleh PETRONAS …”

Jadi, kalau diikutkan undang-undang sebetulnya, Mahathir tidak boleh batalkan royalti itu. Kalau dibawa ke mahkamah yang adil, tindakan pembatalan itu boleh diisytiharkan tak sah. Tapi, di Malaysia Boleh ini semua boleh berlaku. Saluran undang-undang tidak boleh jadi tempat pergantungan. Lihat sahaja kes pejuang ulung kita. Isu ini bukan isu undang-undang, bukan juga isu kewangan. Yang paling tepat, isu ini adalah isu kezaliman kerajaan zalim BN di bawah diktator Mahathir. Ia rentetan dari siri pencabulan kebebasan, hak dan keadilan yang dirobek-robek dan dilanyak oleh Mahathir dan kuncu-kuncunya. Ia akan terus berlaku hingga ALLAH beri hidayah kepada mereka atau HANCURKAN MEREKA.

Ya Allah, kami serahkan urusan mereka yang zalim ini kepadaMu, ya ALLAH
Ya Allah, kami serahkan urusan Mahathir bin Mohamad ini kepadaMu, ya ALLAH
Lakukan apa yang selayaknya ke atas mereka
Sesungguhnya kami dizalimi
 

Farhah Rusyda