TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM

Sebuah rencana bertajuk, "Penyakit keADILan, bolehkah PRM ubati?" dalam MalaysiaKini, 16 Jun oleh Fathi Aris Omar telah terbit pada hari Parti Keadilan Nasional (keADILan) mengadakan Mesyuarat Agongnya yang kedua. "Sebuah parti yang muncul dari tepi jalan raya akhirnya bersidang hari ini," tulis Fathi Aris. Rasanya tentu tidak hina sekiranya sebuah parti politik itu muncul dari tepi jalan. Ini menandakan perjuangan parti itu muncul dari bawah, dari kalangan rakyat jelata yang mahukan perubahan. Ini tentu sekali berbeza dengan Umno yang lahir pada 11 Mei 1946 di Istana Besar di Johor Bahru dan dipimpin oleh golongan bangsawan.

Tulisan Fathi Aris ini perlu difahami dengan sangka baik. Penulis itu dikenali sebagai pendukung gerakan reformasi. Ada sesuatu yang hendak beliau sampaikan di dalam tulisannya itu. Walaupun, Jodol rencana itu ialah "Penyakit keADILan, bolehkah PRM ubati?" tetapi hampir tidak ada ulasan secara objektif tentang gagasan percantuman PRM dengan keADILan. Melainkan di akhir tulisan itu disebut, "mampukah doktor ini mengubati keADILan?" Doktor yang dimaksudkan oleh penulis itu mungkin Dr Syed Husin Ali, Presiden PRM.

Bagaimanapun tulisan Fathi Aris ini banyak sekali mengkritik. Dia mengkritik keADILan, Pas, Barisan Alternatif (BA) termasuklah DAP dan PRM, Gerak, ADIL, ABIM, JIM, PKPIM dan lain-lain. Memang ada baiknya parti-parti yang dipanggil pembangkang itu dikritik, terutama dari kalangan kawan-kawan yang sayang padanya. Kita perlu menganggap kritikan yang diutarakan oleh Fathi Aris ini sebagai teguran dari sahabat kita sendiri. Semua pihak dikritik, namun Fathi Aris agak simpati dengan PRM, terutama apabila beliau menyebut tentang PRM "dimelukutkan di tepi gantang". Selain itu, Fathi Aris seakan bercakap bagi pihak resah gelisah dan rasa tidak puas hati golongan reformasi jalanan yang menurutnya telah dipinggirkan.

Parti Keadilan Nasional paling teruk dikritik oleh Fathi Aris. Pemimpin-pemimpin tertentu dalam keADILan didakwa telah menyebabkan golongan reformasi jalanan dipinggirkan. Pas juga dikritik dengan tajam sekali. Fathi Aris berkata, "Bermula daripada Gerak sehingga Barisan Alternatif, Pas mengaut segala-galanya atas nama reformasi, Anwar dan lakonan keadilan."

Barisan Alternatif pula diperlekeh oleh Fathi Aris secara sinis. Katanya, "Anak-anak muda yang bertungkus-lumus berada di pinggir jalan-disepak, diterajang, dibelasah-hanya menjadi satu lagi peluru pembangkang menentang kerajaan pimpinan Perdana Menteri." Serangan Fathi Aris terhadap keADILan dan BA lebih jelas apabila berkata, "Sebenarnya ada pertarungan yang halus dan senyap antara reformis jalanan dengan keADILan dan BA. Mereka yang selangkah lagi mencapai kejayaan tentunya tidak mahu balik ke pangkal jalan untuk memulakan perjuangan seperti anak-anak muda jalanan."

keADILan memang didukung sebahagian besarnya oleh golongan reformis yang terlibat sebelum ini dalam beberapa siri demonstrasi jalanan. Fathi Aris Omar agak simpati dengan nasib golongan ini yang dikatakan terpinggir sejak tertubuhnya parti itu.

Sedikit pandangan berhubung perkara ini. Memang ada bezanya bergerak dalam sebuah organisasi politik dengan bergerak tanpa kawalan dalam gerakan reformasi jalanan. Sebuah parti politik mempunyai struktur kepimpinan dan ada disiplinnya. Tindakan spontan dan sewenang-wenang tidak digalakkan. Sebabnya pihak kepimpinan yang harus memikul tangggungjawabnya. Berbeza dengan gerakan di jalanan, tindakan spontan tanpa kawalan sesiapa adalah ciri utama mereka. Apabila kumpulan ini berada di dalam sebuah parti politik, misalnya Parti keADILan tentu sahaja mereka akan berasa terkongkong dan tidak bebas seperti dahulu, iaitu semasa sebelum keADILan wujud.

Ini kita dapat mengerti dan simpati. Tetapi itulah harga yang perlu dibayar jika bergerak dalam sebuah organisasi politik. Sebab itu ramai orang tidak suka terlibat dalam politik kepartian yang dilihat mengengkang kebebasan. Lebih-lebih lagi kebebasan jiwa anak muda yang mahu melakukan reformasi. Kadang-kadang apabila sesebuah parti politik itu terlalu besar ia akan dihambat oleh birokrasinya yang lembab.

Tetapi, tanpa ada organisasi politik untuk memimpin perjuangan, ia boleh membawa kepada wujudnya gerakan anarkis yang menentang semua bentuk sistem yang dianggap membatasi kebebasan mereka. Kalau terlalu mementingkan organisasi , birokrasi organisasi itu pula mungkin akan menghambat tindakan perjuangan. Jadi satu keseimbangan perlu dicari untuk membawa perjuangan maju ke depan iaitu antara organisasi, kepimpinan, inisiatif yang kreatif, kespontanan dan penanggungjawaban. Dalam hal ini, Parti Keadilan Nasional yang masih baru, wajar sekali untuk ia diberi peluang belajar.

Begitu juga serangan dan kritikan sewenang-wenang terhadap Pas rasanya tidak adil. Tidak adil bagi Fathi Aris membuat kesimpulan bahawa "Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak) bukanlah perjuangan keadilan untuk rakyat. Ia hanya pentas untuk Pas mengesahkan ketuanan politik kepembangkangannya, meminggirkan Gagasan Rakyat (satu lagi kumpulan), mengutip derma, dan menaikan imejnya. Tidak lebih daripada itu."

Sebagai catatan sejarah. Gerak ditubuhkan sebaik sahaja Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA pada 20 September 1998. Gerak ditubuhkan atas inisiatif Pas. Pemuda PAS khususnya memainkan peranan yang agak besar dalam Gerak terutama mengenai kempen menentang ISA Gerak dianggotai oleh kesemua parti pembangkang yang ada dan pelbagai NGO serta individu terkemuka. Ia memperjuangkan keadilan. Isu utamanya ialah menentang ISA yang zalim itu. Selain Anwar, ramai penyokong-penyokong Anwar dan pemimpin gerakan reformasi yang ditahan dibawah ISA. Ceramah-ceramah dan kempen menentang ISA oleh Gerak telah mendatangkan kesan besar. Hampir kesemua tahanan ISA, kecuali Anwar Ibrahim telah dibebaskan sebelum tempoh sisatan 60 hari.

Malah Gerak dan Gagasan Rakyat (yang ditubuhkan atas inisiatif PRM) merupakan asas kepada pembentukan Barisan Alternatif.

Bagaimanapun, kita menghormati resah gelisah dan rasa tidak puas hati golongan muda, golongan reformasi jalanan ini. Kita perlu memahami tuntutan mereka. Gerakan reformasi jalanan ini penting bagi perjuangan kita untuk menumbangkan pemerintahan Mahathir dan BN yang zalim dan tidak demokratik ini. Sebagai perbandingan, tanpa golongan muda dan reformasi jalanan yang dipelopori oleh para pelajar di Indonesia, Suharto mungkin sukar ditumbangkan. Maka begitu juga di Malaysia. Jadi, anggaplah kritikan yang dipapar dalam tulisan Fathir Aris ini sebagai satu teguran membina.

Kita kena akui, para reformis inilah yang berdepan dengan Polis apabila menentang kezaliman ke atas Anwar Ibrahim, menentang penekanan ke atas penerbitan Harakah, menentang keganasan polis dan sebagainya. Golongan merekalah yang dipukul, dibelasah, ditembak dengan gas pemdeih mata dan air kimia. Golongan mereka jugalah yang ditahan dan ditangkap, lalu dilokap dan kemudian dibicarakan. Mereka juga kemudiannya dihukum, didenda, dikenakan tindakan tatatertib dan ada yang dibuang dari universiti, atau hilang pekerjaan. Tetapi adakah kita semua sama ada di dalam Pas, keADILan, PRM, DAP dan pelbagai NGO prihatin terhadap nasib mereka? Apakah kita telah bersikap adil dan mendengar keluh kesah mereka? Apakah suara mereka, wakil mereka mempunyai tempat di dalam organisasi kepartian di dalam parti-parti BA?

Seterusnya, apabila mereka ditangkap adakah kita pergi menjamin mereka. Apabila mereka dilokap adakah kita menjenguk anak isteri atau ibu bapa mereka? Apabila mereka didenda adakah kita pergi kutip derma untuk membebaskan mereka. Kita kena jawab soalan ini semua dengan jujur.

Tetapi, dalam pada itu, kita juga perlu mengingatkan anak-anak muda ini, bahawa perjuangan untuk reformasi adalah satu perjuangan yang panjang sebenarnya. Jadi, perjuangan politik tanpa organisasi politik agak susah. Sebab tidak ada kawalan dan disiplin serta hala tuju yang pasti. Kita bukan sahaja perlu menuntut kebebasan dan hak, tetapi kita juga perlu memikul tugas dan tanggungjawab. Kita mahukan perubahan, tetapi kita menolak rusuhan, keonaran, kehancuran dan kerosakan yang sia-sia. Keganasan perlu ditentang. Kezaliman perlu dilawan. Tetapi dalam masa yang sama kita tidak mahu berlaku kemunculan satu gerakan anarkis yang tidak perlu, terutama kita bimbang apabila Fathi Aris berkata; " anak muda jalanan selalunya mereka yang benar-benar jujur, berjiwa reformasi tulen dan antisistem." Kita amat menghormati sifat jujur dan berjiwa reformasi tulen itu, tetapi kita inginkan penjelasan apa maksud "anti-sistem" itu? Apakah kita mahu membina Malaysia tanpa satu sistem pun? Tentulah Fathi Aris tidak menganjurkan perjuangan ala - anarkis yang anti segala sistem itu!

Namun begitu, kita tetap bersangka baik terhadap anak muda yang bernama Fathi Aris dan golongan seangkatannya. Mungkin "Anti- sistem" itu beliau maksudkan bahawa gerakan reformis jalanan menentang secara total akan sistem busuk yang ada sekarang di Malaysia di bawah pemerintahan Mahathir dan BN yang tidak adil, menindas rakyat, tidak demokratik dan korup. Kalau itu maksudnya, kita pun bersetuju. Jadi eloklah semua pendukung reformasi, demokrasi dan keadilan, tidak kira muda atau tua, tidak kira di tepi jalan raya atau di mana juga mengukuhkan solidariti sesama kita untuk menumbangkan sistem pemerintahan Mahathir dan BN yang buruk dan busuk itu.
 
 

tMK
20 Jun 2000