Waspada laporan fitnah kerajaan Terengganu

HULU TERENGGANU, 6Feb (Hrkh) - Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Haji Muhyiddin Abdul Rashid mengingatkan orang ranmai supaya sentiasa berwaspada dengan laporan oleh pihak tertentu untuk memfitnah Kerajaan Negeri Terengganu.

Katanya, sejak kebelakangan ini berbagai isu ditimbulkan oleh pihak berkenaan yang masih menyimpan dendam kepada kepemimpinan kerajaan negeri dengan melemparkan berbagai tohmohan yang tidak berasas kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, sama ada tohmahan itu disiarkan oleh media massa atau cakap-cakap sesetengah orang, namun semuanya adalah untuk mengelirukan orang ramai.

Beliau berkata, antaranya ialah kononnya kerajaan negeri akan mengenakan semula bayaran tol di Jambatan Sultan Mahmud, bantuan am kepada golongan miskin diberi kepada penyokong PAS sahaja dan seumpamanya.

"Memang menjadi perkara biasa bagi golongan yang tidak puas hati dengan kerajaan negeri melemparkan berbagai tuduhan yang tidak berasas," ujarnya ketika berucap pada majlis penyampaian pakaian sekolah oleh Jabatan Kebajikan masyarakat daerah kepada pelajar sekolah rendah di pekan Kuala Telemong, semalam.

Seramai 45 pelajar daripada Sekolah Kebangsaan Bukit Tadok, Pasir Tinggi, Getang dan Kuala Telemong menerima sumbangan tersebut.

Hadir sama ialah Pengerusi Khairunnisa', Ustazah Fatimah Ibrahim dan Pegawai JKM daerah, Puan Zulmanah Mohd. Sehubungan itu, Muhyiddin berharap orang ramai perlu mendapatkan maklumat yang jelas mengenai sesuatu isu yang berkaitan dengan kerajaan negeri.

"Kita perlu menilai apa yang digembar-gemburkan itu yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai," ujarnya.