Make your own free website on Tripod.com
 
TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM
"BERSAMA MENGISI KEMENAGAN"
tinta_hijau@hotmail.com

POLIS FRU MULAI KAWAL CERAMAH PAS!
Komentar TARMIZI MOHD JAM

Pasukan Polis FRU mulai dihantar ke Markaz Tarbiyyah PAS Pusat untuk mengawal perjalanan program ceramah semalam, yang telah dianjurkan oleh PAS Kawasan Batu di dewan besar Markaz itu. Pihak pengajur juga telah diarahkan oleh pihak polis agar tidak memasang pembesar suara di luar dewan itu. Ini menyebabkan perkarangan Markaz itu sunyi dan suasana bertukar menjadi seolah-olah sebuah “Pasar Malam Islam”.

Ekoran itu juga, dewan menjadi penuh sesak dan suara penceramah yang lantang dan nyaring, tidak lagi berderai memecah kesunyian malam seperti lazimnya di Markaz itu yang berkumandang pada malam 29 dan 31 Julai lalu. Arahan ini dipercayai sebagai langkah terkini pihak kerajaan untuk “menyekat” program ceramah secara terbuka disamping kemungkinan besar mendapat komplin dari masyarakat sekitar.

Hampir 20 ke 30 orang beruniform lengkap dengan senjata berkeliaran di tengah-tengah kesesakan orang-ramai yang datang untuk mengikuti program ceramah itu yang disampaikan oleh AJK PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli dan Ahli MPT KeAdilan, Dr. Badrul Amin. Tindakan ini juga dipercayai setelah arahan yang sama telah dilangggar oleh penganjur sehari sebelum itu, yang terus memasang pembesar suara di luar Markaz dengan kuat iaitu sewaktu ceramah Ustaz Fadzil Noor, Mahfuz Omar dan Salehuddin Ayub. Pihak polis pada malam itu dikatakan sukar “membolos” sejumlah 20,000 hadirin dan terpaksa “bertindak” pada malam semalam.

Oleh kerana pembesar suara dalam dewan tidak dapat didengar oleh hadirin di luar sana, menyebabkan ramai kalangan yang datang kecewa dan mengisi “kekosongan” itu dengan membeli-belah, mendengar ceramah Muhamad Sabu dan Ustaz Akil Ar-Rawa melalui vedio ataupun melalui alunan kaset. Malah ramai juga yang berlonggok membuka sembang di warung-warung pasang siap sambil menjamu selera. Berbanding kelmarinnya, kehadiran semalam tidak kurang dari 3,000 orang.

Terdapat dua kemungkinan mengapa pihak Polis FRU mengunjungi Markaz PAS itu. Pertama sebagai tindakan berjaga-jaga pihak polis terhadap apa yang dikatakan sebagai ceramah-ceramah “menghasut kerajaan”. Pak Lah sering menegaskan, bahawa sejak akhir-akhir ini, pembangkang terutamanya PAS acapkali menganjurkan ceramah “membenci kerajaan” walaupun pilihanraya umum baru sahaja berlalu. Beliau bimbang dengan perkembangan ini. Baginya, ceramah politik hanya boleh dibuat semasa menjelang pilihanraya atau sewaktu berlangsungnya kempen-kempen pilihanraya diadakan.

Alasan yang kedua, kemungkinan untuk memantau kecenderungan para penyokong BA dalam siri-siri ceramah muktakhir di Markaz itu. Ini berikutan banyaknya kempen-kempen mengajak orang-ramai turun padang pada 4 Ogos ini bersamaan hari Jumaat, berhimpun secara aman di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, iaitu pada hari sama ada Anwar dibebaskan atau tidak atas tuduhan melakukan liwat. Bagi mempastikan perhimpunan itu gagal, pemantauan dari Markaz ini amat diperlukan apatah lagi pada malam 3 Ogos iaitu lusa, KeAdilan pula akan menghimpunan para penyokongnya di Markaz itu untuk sembahyang hajat dan menganjurkan ceramah perdana sempena perhimpunan keesokkan harinya di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Pada firasat saya, pihak polis akan “menggagalkan” ceramah dan solat hajat pada malam itu, jika tindakan serupa yang pernah diambil oleh mereka sehari sebelum perhimpunan aman Black 14, dahulu. Kemungkinan juga, sekatan jalanraya masuk ke Taman Melewar akan diadakan bagi tujuan itu.

Namun begitu, kebanjiran anggota polis FRU di Markaz PAS Pusat Taman Melewar semalam, telah mengejutkan hadirin dan mengundang pelbagai andaian dan tafsiran terhadap kehadiran mereka yang tanpa diundang. Demi keamanan dan keselamatan negara, saya yakin, para penyokong BA mengalu-ngalukan kawalan keselamatan seumpama itu pada majlis-majlis umum BA pada masa-masa depan tanpa mengganggu perjalanan program-program yang dianjurkan.