TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM
"BERSAMA MENGISI KEMENANGAN"
tinta_hijau@hotmail.com

'Jangan salah anggap Gamis'
 

Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung yang mencantumkan beberapa persatuan pelajar Islam di institusi pengajian tinggi awam kesal tuduhan pelbagai pihak terhadap usaha kumpulan itu membantah konsert Bollywood dan Vengaboys bulan lalu.

Presiden Gamis, Mohd Huzairi Husain berkata banyak kenyataan dalam akhbar-akhbar perdana tersalah anggap matlamat gabungan itu membantah konsert-konsert itu.

Seminggu sebelum konsert Bollywood bermula, kira-kira 1000 pelajar, lelaki dan perempuan, mengadakan demonstrasi aman di pintu hadapan Universiti Malaya. Bagaimanapun tiada tangkapan dibuat dan pelajar yang menutup muka dan memakai purdah itu bersurai dalam keadaan aman.

Huzairi tidak menolak hujah bahawa selain konsert, keruntuhan akhlak boleh juga berlaku. Bagaimanapun pencegahan lebih baik daripada merawat gejala sosial yang dialami oleh generasi muda, tambahnya.

"Kita perlu kaji bagaimana pembawaan dan pakaian artis berjaya mempengaruhi masyarakat," jelasnya kepada malaysiakini.

Beliau juga menyalahkan Kementerian Penerangan yang turut berperanan menambahkan kegilaan unsur-unsur Bollywood ke dalam masyarakat kini.

"Setiap hari ada tayangan gambar filem Hindi (di televisyen)," ulasnya lagi.

Sementara itu Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Mohd Hafeez Ab. Samad berhujah bahawa Islam tidak melarang umatnya menghayati seni dan hiburan.

"Tidak salah mendapatkan hiburan tetapi perlu menilai hiburan itu sebagai orang Timur dan jangan melampaui batas," katanya, dan mengakui hiburan dapat mengurangkan tekanan seseorang.

Tambah Mohd Hafeez, unsur-unsur hiburan Bollywood mengundang mesej yang negatif juga tetapi kurang kesannya berbanding konsert kumpulan dari Barat.

Huzairi juga berhujah masyarakat bukan Islam, jika nilai dari sudut agama masing-masing, tidak menggemari hiburan yang "melampau."

"Cuma Islam meletakkan (hiburan melampau dan melalaikan) sebagai dosa," ujar Huzairi, juga merupakan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya.

Apabila ditanya tentang pakaian artis-artis Bollywood yang seolah-olah menghina pakaian tradisi sari India, Huzairi menafikan beliau menentang pakaian itu.

"Soal pakaian (sari) kita tidak tentang," ujar Huzairi. Beliau menjelaskan persoalan pakaian menjolok mata dan tarian mengghairahkan artis-artis itu yang dipertikaikan.

Bagaimanapun, Huzairi akur bahawa pakaian artis tempatan yang adakalanya mengalahkan artis-artis luar negara. Pakaian artis tempatan, seperti dipaparkan majalah-majalah hiburan, lebih seksi dan menjolok mata.

Beliau turut menegaskan Gamis tidak berniat menyekat perkembangan budaya antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Sementara itu, Gamis turut memantau konsert Bollywood 2000 itu dan sedang mengumpulkan maklumat berhubung implikasinya.

"Kita akan menghantar laporan dan perkara itu belum dibahaskan lagi," ulasnya lagi.

Pelajar pusat pengajian tinggi sewajarnya membahaskan isu itu secara ilmiah, selain mempolitikkannya dalam bentuk demonstrasi. Gamis juga wajar mendapatkan penjelasan pelbagai pihak, khususnya penggiat seni, pengkaji masyarakat dan agamawan.