KERAJAAN T'GANU SEDIA BERI GERAN TANAH KEKAL
 KEPADA RAKYAT
 
 KUALA TERENGGANU, 31 Jan - Kerajaan Pas
 Terengganu bersedia memberikan geran tanah kekal kepada
 penduduk negeri ini yang meneroka tanah kerajaan untuk dijadikan
 tapak kediaman ketika kerajaan dahulu.

 Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang berkata kerajaan negeri akan
 memproses semula permohonan mereka terlebih dahulu, sebelum
 tanah itu diberikan kepada rakyat yang benar-benar berhak tanpa
 mengira kaum dan fahaman politik.

 "Kita akan beri kepada rakyat yang berhak... kalau pada pilihan
 raya mereka tak sokong kita, itu hal merekalah... tanggungjawab
 kerajaan negeri adalah untuk menjaga kepentingan semua rakyat,"
 katanya selepas menerima kunjungan Pemangku Pesuruhjaya
 Tinggi Kanada ke Malaysia, Otch VonFinckenstin di pejabatnya hari
 ini.

 Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi,
 Petroleum dan Perindustrian Negeri, Mustafa Ali.

 "Kita juga telah menyusun semula pegawai tadbir bagi melicinkan
 pentadbiran kerajaan negeri dan sehingga kini ia mendapat
 kerjasama yang baik daripada pegawai berkenaan," katanya.