Make your own free website on Tripod.com
 PAS TAK GOPOH SIASAT DAKWAAN KERAJAAN BN
 TERENGGANU SELEWENG
 
 KUALA TERENGGANU, 27 Jan -- Menteri Besar Haji Abdul
 Hadi Awang berkata kerajaan pimpinannya tidak akan bertindak
 terburu-buru berhubung kenyataan beliau kerajaan negeri
 mempunyai 'berlori-lori fail' kerajaan Barisan Nasional yang
 didakwanya menyeleweng sewaktu memerintah Terengganu
 dahulu.

 "Kita tidak tergopoh-gapah untuk mendedahkannya serta tidak
 menunggu cabaran sesiapa...kita akan adakan satu suruhanjaya
 khas seperti yang dijanjikan dalam sidang Dewan Undangan Negeri
 yang lepas untuk menyiasatnya," katanya kepada pemberita
 selepas melawat Hospital Kuala Terengganu di sini.

 Beliau berkata agensi penguatkuasaan seperti Badan Pencegah
 Rasuah dan polis turut dipanggil untuk membantu siasatan
 berhubung penyelewengan itu yang didakwanya meliputi pelbagai
 aspek antaranya ekonomi, kewangan, moral dan akhlak.

 "Dokumen itu, kita akan lihat satu persatu sebelum kita mengambil
 sebarang tindakan," kata Abdul Hadi sambil menjelaskan bahawa
 'berlori-lori' itu menggambarkan ianya banyak dan keadaannya
 agak serius.

 Jumaat lepas semasa berucap pada satu ceramah di sini, beliau
 berkata PAS mempunyai 'berlori-lori fail' mengenai apa yang
 didakwanya penyelewengan pemberian kontrak oleh kerajaan BN di
 Terengganu sebelum ini.

 Abdul Hadi berkata kerajaan negeri mengambil sikap berhati-hati
 dan tidak mahu menjatuhkan maruah sesiapa tanpa bukti dan
 keterangan yang cukup bagi memastikan keadilan sentiasa berlaku
 dalam siasatan itu.

 Ketika ditanya sama ada siasatan itu nanti melibatkan bekas
 anggota exco kerajaan BN atau pegawai kerajaan, beliau berkata:
 "Saya tidak mahu sebut exco atau apa. Yang penting ada
 pegawai-pegawai yang menjadi mangsa apabila dipaksa
 mengendalikan perkara-perkara yang dianggap menyeleweng
 sewaktu kerajaan dahulu.

 "Kita juga melihat sejauh mana mereka dipaksa atau mereka rela
 untuk melakukannya tapi yang pokoknya ialah mereka yang
 melakukannya sendiri," katanya.

 Abdul Hadi berkata tindakan itu bukannya bersifat balas dendam
 tetapi kerana ia melibatkan hak rakyat secara keseluruhannya. -