KERAJAAN TERENGGANU TAK ABAIKAN SEKTOR
 PELANCONGAN
 
 KUALA TERENGGANU, 23 Dis -- Kerajaan PAS
 Terengganu tidak akan mengabaikan industri pelancongan di negeri
 itu sebaliknya akan memberi lebih tumpuan kepada industri itu.

 Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan
 Pelancongan Negeri Wan Hassan Mohd Ramli berkata peruntukan
 RM7.72 juta akan digunakan sepenuhnya terutama untuk
 melengkapkan kemudahan infrastruktur di
 kawasan-kawasanpelancongan di negeri itu.

 Kerajaan menumpukan tiga kategori pelancong ke negeri ini iaitu
 pelancong dari Terengganu sendiri, pelancong tempatan, dan
 pelancong luar negara, katanya semasa menggulung perbahasan
 belajawan negeri tahun hadapan pada persidangan Dewan
 Undangan Negeri ke-10 di sini, hari ini.

 Mengenai perkembangan sukan, Wan Hassan berkata kerajaan
 negeri akan menumpukan kepada acara sukan popular dan
 menaikkan nama Terengganu di peringkat kebangsaan
 terutamanya bola sepak.

 Katanya keputusan kerajaan untuk mengkaji semula pembinaan
 Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak adalah memandangkan
 Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini masih boleh
 digunakan dan keperluannya akan dilihat dari semasa ke semasa.

 Kompleks sukan yang berharga RM240 juta itu meliputi pembinaan
 stadium utama, stadium tertutup dan kompleks renang telah
 dirancang pada awal 1980-an dan kini fasa pertama iaitu
 penyediaan padang dan trek larian telah siap.

 Wan Hassan berkata kerajaan negeri sedang membuat peraturan
 agar syarikat-syarikat yang ingin melabur di Terengganu
 menyediakan satu kuota pengambil pekerja dari kalangan penduduk
 rakyat negeri itu bagi mengelakpenghijrahan belia ke negeri lain.

 "Dahulu tiada peraturan seumpama itu dan ini menyebabkan ramai
 belia tidak mempunyai peluang pekerjaan di syarikat-syarikat yang
 ditubuhkan terutama di Kertih menyebabkan mereka berhijrah ke
 luar Terengganu," katanya.

 Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Sosial dan Kesihatan negeri Abu
 Bakar Abdullah berkata kerajaan akan menyediakan pusat rawatan
 buah pinggang di Hospital Dungun tahun hadapan.

 Kini terdapat empat pusat seumpama itu iaitu di Hospital Kuala
 Terengganu, Besut dan Kemaman serta satu di Jalan Kamaruddin
 iaitu dengan kerjasama Yayasan Buah Pinggang Negara.

 Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan
 Syariah Negeri Harun Taib memberitahu dewan kerajaan sedang
 mengkaji untuk menaikkan imbuhan imam dan bilal kepada antara
 RM200 dan RM300 daripada elaun bulanan antara RM120 dan
 RM180 sebelum ini.