TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM

HAJI HADI DAN 300 RIBU TONG MINYAK SEHARI
Komen TARMIZI MOHD JAM

Perdana Menteri, Mahathir Mohamad adalah orang paling kecewa dengan kemenangan PAS di Terengganu. Negeri “bijih hitam” atau “Kuweit Malaysia” itu, bukan lagi di bawah jajahan Umno. Selama ini, Terengganu dianggap negeri kaya minyak yang akan dipertahankan habis-habisan oleh Wan Mokhtar dari ditumpaskan oleh PAS dan pakatan BA-nya. Namun, tembok yang dibina selama ini, berjaya juga dirempuh!

Ada pihak berpendapat, Mahathir mungkin boleh menerima hakikat Kelantan akan terus ditawan oleh PAS, tetapi untuk “mengizinkan” Terengganu mengulangi nasib yang sama dengan Kelantan; tidak seringan itu dipandang Mahathir. Pak Lah ditabalkan sebagai jeneral yang akan merampas semula Terengganu dari tangan PAS untuk pilihanraya umum akan datang. Entah apa yang difikirkan oleh Mahathir, hanya Allah sahaja yang tahu mengeni strategi “kotornya” bagi membentangkan semula “kuasa” kerajaan BN di negeri ini.

Seorang pensyarah sains politik menyifatkan bebanan kewangan yang dihadapi oleh Kelantan tidak wujud di Terengganu. Katanya, PAS dengan sumber kewangan yang besar akan dapat menjayakan system pemerintahan yang telus dan bertanggungjawab  serta berkeupayaan membangunkan ekonomi negeri dengan baik. Malah, lebih bagus dari apa yang dibuat oleh pimpinan Wan Mokhtar dulu.

Apa tidaknya, pesisir laut Terengganu mengandungi 64 peratus simpanan minyak negara yang dianggarkan boleh mengeluarkan 3.9 billion tong. Simpanan gasnya pula dianggarkan  sebanyak 86.9 trilion padu persegi. Pada masa ini Terengganu mengeluarkan 300,000 tong minyak sehari dan memperolehi pendapat royalti minyak antara RM500 juta hingga RM800 juta setahun. Ini suatu jumlah yang lumayan, untuk rakyat Terengganu.

Kerajaan Wan Mokhtar, hanya mengutamakan industri minyak semata. Ia dikatakan tidak berminat untuk meneroka peluang mengembangkan potensi ekonomi negeri, selain memajukan industri minyak ini. Setelah PAS berkuasa, ternyata industri pelancongan dan pertanian, terabai dan terawang-awangan dalam kerajaan Umno dulu. Keupayaan kerajaan pimpinan Haji Hadi Awang  menguruskan hasil bumi yang begitu lumayan ini, pastinya mampu meningkatkan taraf hidup rakyat pada masa depan.

Kemenangan PAS di Terengganu tidaklah mengejutkan. Tetapi jumlah kerusi yang diperolehi agak luar biasa. PAS berjaya meraih 28 dari 32 kerusi Dun dan membolot semua lapan kerusi Parlimen (termasuk yang dimenangi KeAdilan di Kemanan). Majoriti kemenangan juga begitu menyenang misalnya, Kuala Terengganu (14,448 undi) dan Marang (12,700 undi).

Dengan itu, penguasaan PAS di Terengganu bolehlah ditakrifkan sebagai negeri kedua terkuat selepas Kelantan. Pada tahun 1969, PAS menang 11 kerusi berbanding Perikatan 13; 1990, bersama Semangat 46 mendapat 10 kerusi; dan 1995, PAS mendapat lapan kerusi.

Kemenangan PAS besar di Terengganu sepatutnya membuka laluan yang lebih luas untuk parti itu menguasai negeri-negeri lain seperti Kedah, Pahang dan Perlis. Kelantan sememangnya dianggap negeri yang secara tradisinya dikuasai oleh PAS. Justeru itu, teori ala domino sudah mula diasak bagi menawan Pahang dalam pilihanraya umum akan datang berdasarkan ianya bersempadan dengan negeri Terengganu.

Kejayaan PAS menguasai “Kuweit Malaysia” itu merupakan satu rahmat kepada rakyat negeri ini. Negeri yang mewah dengan minyak dan mendapat royalti dari pengeluaran minyak itu (walaupun cuba disekat oleh Mahathir sekarang) tidak menghadapi masalah kewangan dalam memaju dan membangunkan ruh dan jasmani rakyat pada masa depan. Haji Hadi mungkin bernasib lebih baik sedikit dari Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang mentadbir  Kelantan.

Kemewahan yang disalurkan melalui hasil minyak ini, bakal menguji ketahanan dan kebijaksanaan pentadbiran PAS dan Haji Hadi, dalam mengendalikan hasil mahsul itu untuk mengeluarkan Terengganu dari kepompong kemiskinan yang “dicipta” Wan Mokhtar selama ini. Kemiskinan “ciptaan” ini adalah pendinding rapuh Umno Terengganu, apabila PAS mampu mengendalikan “Kuweit Malaysia” secara terkesan dan tidak mungkin misi Pak Lah berjaya menumpaskan kerajaan yang menyandarkan keyakinan dan harapan kepada Allah SWT ini.