JANGAN TAKUT KRITIK KERAJAAN
 

KUALA BERANG, 29 Feb - Menteri Besar, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, berkata rakyat negeri ini tidak perlu takut untuk memberi pandangan dan kritikan yang membina kepada kerajaan negeri pimpinan beliau. 

Malah, beliau turut mengalu-alukan pandangan dan saranan daripada pelbagai pihak dalam usaha Kerajaan PAS Terengganu mewujudkan kerajaan yang bersih, telus dan melaksanakan pelbagai program berlandaskan tuntutan syariah. 

"Rakyat boleh menyuarakan pandangan mereka terhadap kerajaan secara lisan atau bertulis. 

Kita (kerajaan negeri) juga sedia menerima pandangan dan kritikan walaupun ia ditulis melalui surat layang," katanya. 

Hadi berkata, sikap terbuka kerajaan negeri dalam pentadbirannya sesuai dengan manifesto PAS pada pilihan raya umum lalu yang mahu memberi peluang kepada semua pihak untuk memberi pandangan mereka dalam menentukan corak pemerintahan. 

Sehubungan itu, beliau turut meminta pegawai dan kakitangan kerajaan turut menerima dan menilai semua teguran dan kritikan yang dikemukakan kepada mereka. 

"Saya akan memastikan majlis dialog antara kerajaan dan kakitangan serta pihak tertentu akan dilakukan dari semasa ke semasa kerana ia banyak memberi manfaat," katanya. 
Beliau menjelaskan demikian ketika mengadakan
lawatan kerja sehari di Daerah Hulu Terengganu.

 

TERENGGANU DARUL IMAN®