Ceramah Perdana dan Solat hajat Jumaat ini .

KUALA TERENGGANU, 11 Sept - Proses untuk menjawab tindakan kerajaan Pusat menarik balik royalti minyak kepada kerajaan negeri Terengganu akan bermula Jumaat ini apabila kerajaan negeri Terengganu menganjurkan majlis ceramah perdana dan solat hajat di Stadium Sultan Ismmail Nasirudin Shah, Kuala Terengganu. 

Adalah dijangka, stadium itu akan penuh sesak dengan rakyat Terengganu yang datang untuk bersama-sama mengamimkan doa dan bersembahyang hajat untuk kesejahteraan negeri, kerajaan dan rakyatnya. 

Menteri Besar Terengganu, Abdul Hadi Awang akan memberikan ucapan di majlis tersebut di samping barisan Exco Kerajaan Negeri termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas yang dijangka akan memberikan penjelasan dari perspektif undang-undang. 

Majlis yang akan diadakan pada 15 September ini dijangka akan bermula mulai jam lapan malam dengan Solat Hajat. 

Semua hadirin telah diminta membawa bersama sejadah untuk sembahyang. Di samping Exco kerajaan negeri, turut akan memberikan ucapan adalah bekas Pengerusi Parti Semangat 46 Terengganu yang telah dibubarkan, Tengku Seri Paduka Raja dijadualkan akan turut berucap. 

Menurut satu kenyataan kerajaan negeri, smeua majlis ceramah anjuran Barisan Alternatif di malam tersebut telah dibatalkan.

Sementara itu, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan, Menteri Besar Terengganu, Abdul Hadi Awang telah dipetik sebagai berkata, beliau akan menunaikan solat hajat dan berpuasa setiap hari selama seminggu mulai Isnin lepas. 

Sebelum ini, mesyuarat tergempar PAS Pusat telah memutuskan untuk mengadakan solat hajat di seluruh negara dengan bermula di Terengganu. 

Ini bermakna, selepas ini, PAS akan menganjurkan solat hajat di peringkat kawasan-kawasan di seluruh negara.

Semalam, Exco Kerajaan Terengganu, Wan Mutalib Embong dipetik sebagai berkata, tindakan undang-undang hanya akan menjadi tindakan terakhir dari kerajaan negeri selepas semua cara lain gagal untuk menyelesaikan masalah ini.