ROYALTI : KAMI BERSAMA TOK GURU
 
 

SEJARAH ROYALTI

ANTARA HAK DAN TANGGUNJAWAB
 
 

Kerajaan pusat cuba bermain dengan Hak dan Tanggungjawab. Hak asal hasilbumi itu adalah kepunyaan kerajaan negeri. Kerajaan Pusat hanyalah berkuasa di negeri yang dipanggil Wilayah Persekutuan SAHAJA, seperti (K.L., Siberjaya, dan Labuan). Namun ia bertanggungjawab menjaga keamanan seluruh negeri. Ini tidak bermakna ia berhak terhadap hasil mahsul ke atas seluruh negeri.
 
 

Hak hasilbumi tersebut telah diserahkan kepada Petronas melalui beberapa perjanjian. Ia tidak diserahkan begitu sahaja. Ada syarat-syaratnya - iaitu yang empunya perlu dibayar royalti!
 

JANJI YANG BERSYARAT
 
 

Bila Petronas menandatangani perjanjian itu, secara otomatis ia mengakui ia tidak berhak menggerudi kekayaan dari perut bumi negeri itu secara percuma. Itu namanya mencuri. Oleh itu Petronas perlu membayar royalti (bukan ihsan) kepada tuannya yang asal. Tuannya ialah kerajaan negeri yang memerintah, tidak kira BN ataupun BA. Ini adalah perjanjian. Ini adalah satu amanah. Jika ini dicabuli orang yang menodainya tidak layak digelar "wira adijagat dunia ketiga". Sebaliknya beliau lebih layak menerima satu panggilan khusus yang diberi oleh Islam kepada mereka yang mencabuli hak dan memungkiri janji. Iaitu hipokrit dan munafik.... itu sahajalah gelaran yang lebih layak untuknya - dan tuhan tidak mengira siapa kah orangnya.
 
 
 
 
 

--------------------------------------------------------------------------------
 

SEJARAH ROYALTI MINYAK TERENGGANU
Oleh Tun Salleh Abbas

Malaysia mempunyai 13 buah negeri. Negeri-negeri yang merdeka ini bukanlah negeri yang ditakluk atau dinaungi oleh kerajaan pusat di Kuala Lumpur. Justeru setiap negeri mempunyai hak yang tersendiri, begitu juga dengan kerajaan Pusat.

Masing-masing pihak mempunyai kuasa mutlak mengenai perkara-perkara yang merupakan hak mereka kerajaan negeri dalam perkara-perkara yang menjadi hak negeri dan kerajaan pusat dalam perkara-perkara yang menjadi haknya.

Mana-mana pihak, baik negeri maupun pusat atau antara negeri-negeri, tidak boleh campur tangan dalam apa-apa perkara yang menjadi hak pihak yang lain.

Pelanggaran atau campur tangan terhadap hak-hak ini, sama ada secara tidak sengaja apatah lagi secara sengaja, adalah bertentangan dengan undang-undang dan berlawanan dengan semangat federalisme yang merupakan tonggak pembentukan negara Malaysia moden.

Mana-mana pihak, sama ada negeri atau pusat, yang mendapati hak-haknya tidak dihormati, ditunaikan atau dilayani dengan cara yang layak, berhak menentang pelanggaran hak tersebut dan menuntut ganti rugi akibat pelanggaran tersebut.

Ia juga, dari segi yang lain, bertanggungjawab kepada pihak yang diwakilinya melakukan semua usaha bagi mendapatkan semula hak-haknya yang telah "dicerobohi" itu.

Masalah royalti petroleum
Sebenarnya saya telah membuat kajian, bukan saja sebagai seorang peguam, bahkan sebagai orang yang membuat draf semua akta yang berkaitan dengan petroleum ini.

Hari ini, kerajaan Pusat telah mencabar kita supaya membawa isu royalti minyak ini ke mahkamah. Saya fikir mahkamah yang lebih layak dan lebih adil untuk mengadili perkara ini adalah mahkamah rakyat, dengan tuan-tuan sebagai hakimnya. Bukan mahkamah yang ada sekarang.

Kerajaan Pusat berkata bahawa negeri Terengganu tidak ada hak pada royalti petroleum kerana, menurutnya, minyak yang didapati, diusahakan dan diperolehi oleh Petronas itu terletak di pentas benua (continental shelf). Menurut kerajaan Pusat, pentas benua itu adalah miliknya.

Dalam pada itu, kerajaan Pusat bersetuju untuk mengekalkan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak, kerana, bagi kerajaan Pusat, Sabah dan Sarawak merupakan dua kes yang berbeza.

Ini jelas tidak benar. Sebagai yang dikatakan sebelum ini, pentas benua adalah dasar laut yang bermula dari pantai negeri Terengganu atau pantai mana-mana negeri sehingga ke satu tempat atau paras yang kedalaman lautnya mencecah 200 meter.

Ini boleh jadi dua batu atau 300 batu ke tengah laut asalkan dasar laut negeri itu berasal atau bersambung dari paras pasang surut sesebuah pantai sehinggalah sampai ke satu tempat atau garisan yang mana paras dalamnya tidak lebih dari 200 meter.
Di Malaysia, terdapat tiga Akta khusus yang berkaitan dengan isu ini;

Pertama, akta berhubung dasar lautan yang diluluskan oleh parlimen pada tahun 1966.
Kedua, akta berkaitan kegiatan melombong petroleum yang diluluskan pada tahun 1966.
Ketiga, Akta Kemajuan Petroleum yang diluluskan pada tahun 1974.

Di dalam akta ini, iaitu akta dasar lautan dan juga akta melombong minyak, hak untuk mencari minyak, melombong atau mengeluarkan minyak adalah kepunyaan Malaysia.

Tetapi kuasa untuk memberi lesen kepada firma-firma atau syarikat yang terlibat dengan perlombongan atau pengeluaran minyak itu adalah kuasa kerajaan Pusat.

Perlu dijelaskan bahawa apabila disebut hak itu adalah hak Malaysia, ia tidak bermaksud Kuala Lumpur. Malaysia yang dimaksudkan dalam akta-akta ini ialah negara Malaysia yang dianggotai oleh 13 buah negeri, termasuk Terengganu.

Jikalau minyak itu diperolehi di negeri Pahang, Johor, Kelantan atau mana-mana negeri lain, maka hak ke atas minyak itu adalah kepunyaan negeri tersebut.

Dalam pada itu, menurut akta-akta ini juga, terutamanya Akta Kemajuan Petroleum 1974, kuasa untuk mentadbir hal ehwal minyak ini diberikan kepada kerajaan Pusat.

Kenapa begitu?
Ini kerana, berdasarkan perlembagaan Persekutuan, yang menjadi undang-undang dasar berkaitan perhubungan, hak dan tanggungjawab serta kuasa-kuasa antara kerajaan Pusat dan negeri-negeri, kedua-dua pihak pusat dan negeri mempunyai bidang kuasa yang tertentu yang menjadi hak mutlak masing-masing pihak.

Dalam isu ini, walaupun tidak disebut persoalan minyak dalam perlembagaan, namun tanggungjawab pengurusan dan pentadbiran minyak ini difahami berdasarkan peruntukan perlembagaan yang mengatakan bahawa kerajaan Pusat adalah berkuasa dalam hal ehwal urusan luar negera - iaitu tanggungjawab mengawal perairan negara dari pencerobohan atau serangan luar.

Oleh sebab minyak diperolehi di tengah laut dan melibatkan undang-undang antara bangsa, maka urusan pentadbirannya secara automatik difahami sebagai tanggungjawab kerajaan Pusat.
Sekiranya terdapat negara asing yang mempersoal kegiatan pengeluaran petroleum yang dijalankan dan mendakwa bahawa kawasan pencarian itu adalah hak mereka, maka kerajaan Pusat, sebagai suatu tanggungjawab yang ditentukan oleh perlembagaan, perlu bertindak, bagi pihak Malaysia dan negeri yang terbabit, menentang dakwaan tersebut.

Contohnya ialah Kepulauan Spratly di Laut Cina Selatan. Kepulauan ini dituntut oleh negara kita, Cina, Filipina dan juga Vietnam. Dalam konteks pertikaian ini, pihak yang bertanggungjawab bercakap bagi pihak Malaysia di forum dan perundingan antara bangsa ialah kerajaan Pusat.
 

ANTARA HAK DAN TANGGUNGJAWAB*
 
 

Walaupun tanggungjawab pentadbiran dan perwakilan dalam kedua-dua kes contoh di atas, minyak dan perairan, dipikul oleh kerajaan Pusat, namun ia tidak memberi erti, secara tersurat atau tersirat, bahawa kedua-duanya merupakan hak kerajaan Pusat. Sebaliknya ia masih merupakan hak negeri-negeri yang terbabit.
 
 

Isu royalti minyak Terengganu yang sedang hangat dibicarakan sekarang, merupakan suatu berita buruk bagi Malaysia amnya, vis-a-vis hubungan kerajaan Pusat dengan kerajaan-kerajaan negeri.
 
 

DIKTATOR TUA MENCEROBOH KONSEP FEDERALISME *
 

Dalam isu ini, kerajaan Pusat dengan sewenang-wenang mencerobohi semangat dan amalan federalisme, peruntukan undang-undang serta perjanjian bertulis antara Terengganu dengan Petronas dengan mengubah perkataan 'royalti' kepada perkataan 'wang ihsan.'
 

DIKTATOR TUA MENUKAR JANJI (PERKATAAN) SEIKUT SUKA *
 

Dengan satu tindakan, kerajaan Pusat telah memaksa sebuah negeri yang merupakan sebahagian daripada negara Malaysia, bertukar daripada sebuah negeri yang berdaulat dan bebas (yang menyertai Persekutuan Malaysia secara sukarela dan terhormat) kepada sebuah negeri peminta sedekah - yang hanya layak diberikan 'ihsan,' bukan hak.
 

DIKTATOR TUA MENJAJAH SEIKUT SUKA *
 

Dengan perkataan lain, dengan tindakan ini, kerajaan Pusat secara terbuka memaklumkan kepada dunia bahawa ia bersedia untuk 'menjajah' mana-mana negeri dalam Persekutuan Malaysia yang diingininya, biarpun tindakan tersebut berlawanan dengan perlembagaan negara dan kehendak rakyat.
 

Ini adalah kezaliman dan keterlanjuran yang amat jelek sekali.
 

Akta Kemajuan Petroleum 1974
 
 

Sebelum 1974 pernah berlaku pertelingkahan antara kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dengan kerajaan Pusat berhubung isu minyak ini. Kerajaan Sarawak dan Sabah berkata bahawa petroleum yang diperolehi di perairan Sabah dan Sarawak adalah kepunyaan mereka.
 

Pertelingkahan di antara Ketua-ketua Menteri Sabah dan Sarawak dengan Allahyarham Tun Abdul Razak, yang pada masa itu mewakili kerajaan Pusat, hampir-hampir menyebabkan Malaysia berpecah.
 

Dengan sebab itu, saya dan beberapa beberapa orang lagi (yang tidak dapat disebut namanya di sini) telah membuat rancangan untuk mengekalkan perpaduan dan memastikan Sabah dan Sarawak tidak terkeluar dari Malaysia.
 

Dengan takdir Allah SWT, semua pihak yang terlibat dengan pertikaian tersebut bersetuju supaya Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang kami kemukakan sebagai jalan penyelesaian diterima dan diluluskan.
 

Dari satu segi, akta inilah yang menyelesaikan perselisihan dan perbezaan pandangan di antara Ketua-ketua Menteri Sabah dan Sarawak dengan Allahyarham Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia ketika itu.
 

Di dalam akta ini disebutkan bahawa petroleum yang diperolehi di mana-mana saja di Malaysia, sama ada di darat atau di laut, adalah kepunyaan Malaysia.
 
 

Mengikut akta itu juga, semua urusan pengelolaan petroleum ini akan dipikul oleh sebuah syarikat yang belum lagi ditubuhkan pada waktu itu. Tegasnya, syarikat ini akan menerima keseluruhan serahan hak daripada semua negeri-negeri yang ada di Malaysia.
 

Syarikat itu tidak lain tidak bukan ialah Petronas. Tanpa bertujuan untuk berbangga-bangga, tangan inilah yang merangka dan menulis surat-suratan mengenai pertubuhan dan kewujudan Petronas.
 

Ekoran perkembangan itu, berdasarkan perlembagaan negara dan mengikut Akta Kemajuan Petroleum 1974, semua negeri di Malaysia telah membuat satu surat penyerahan hak kepada Petronas mengenai semua hak milik ke atas petroleum yang sedia ada atau mungkin ada, sama ada di dasar laut ataupun darat, di negeri masing-masing.
 
 

Negeri Terengganu turut sama menyerah hak ini kepada Petronas pada 22 April 1975. Surat penyerahan hak ini telah ditanda tangani bagi pihak kerajaan negeri Terengganu oleh Menteri Besar yang berkuasa pada masa itu.
 
 

Tengku Razaleigh Hamzah selaku Pengerusi dan juga Ketua Eksekutif Petronas ketika itu telah menerima penyerahan hak tersebut bagi pihak syarikat berkenaan. Jadi dengan surat penyerahan itu, hak milik petroleum bukanlah kepunyaan kerajaan Pusat, sebaliknya menjadi milik Petronas buat selama-lamanya.
 
 

SERAH DAN BAYAR*

Penyerahan hak itu tidak boleh ditarik balik oleh mana-mana kerajaan di mana-mana negeri sekalipun. Selagi ada bulan dan bintang dan selagi ada Malaysia, Petronaslah yang berhak ke atas minyak yang ditemui di negara ini.

Menurut akta ini juga, Petronas sebagai penerima hak milik minyak yang ditemui di Malaysia diwajibkan membayar dalam bentuk royalti sejumlah wang kepada negeri-negeri pemberi hak milik tadi.
Dengan sebab itu, jika Pahang ada minyak, maka negeri Pahanglah yang berhak menerima royalti itu dan begitulah juga halnya dengan negeri-negeri lain.

Oleh sebab itu, dakwaan yang mengatakan bahawa pembayaran royalti kepada Terengganu selama ini disebabkan oleh kehendak Tun Razak kerana Terengganu miskin adalah tidak benar sama sekali.

Selain itu, Akta Kemajuan Petroleum 1974 juga sama sekali tidak menyebut bahawa royalti itu hendaklah diberikan kepada negeri Terengganu atau Sabah atau Sarawak sahaja. Sebaliknya, royalti turut diterima oleh kerajaan Pusat.

Allahyarham Tun Razak bersifat adil dalam hal ini. Beliau tidak mahu membezakan di antara Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri di Semenanjung khususnya.

Sekiranya Sabah atau Sarawak mendapat royalti, maka negeri-negeri di Semenanjung pun berhak mendapatnya melalui royalti yang diterima oleh kerajaan Pusat.
 
 

TUN RAZAK ADIL ORANGNYA
 
 

Dakwaan yang mengatakan bahawa Tun Razak memberi royalti ini kepada Terengganu kerana Terengganu miskin adalah pembohongan yang amat besar dan segaligus memburuk-burukkan nama Tun Razak - seorang pemimpin negara yang bagi saya merupakan seorang yang begitu adil dan berpandangan jauh.
 

Saya kenal Allahyarham Tun Razak kerana saya pernah bekerja dan rapat dengan beliau. Malahan saya sering berbincang dengan beliau mengenai banyak perkara, termasuklah isu minyak ini, isu undang-undang, perlembagaan dan sebagainya.

Dakwaan ini adalah dalih untuk mengabui mata dan mengelirukan fikiran rakyat, kononnya Terengganu tidak berhak mendapat royalti minyak. Negeri Terengganu mendapat royalti bukan kerana Tun Razak kata mesti beri kepada Terangganu, tetapi kerana minyak didapati di Terengganu.

Sewaktu akta ini digubal, Tun Razak tidak tahu bahawa minyak akan dijumpai di Terengganu.

Minyak ditemui di Terengganu selepas undang-undang ini dibuat. Royalti pertama yang diterima oleh Terengganu ialah pada tahun 1978, bukannya 1975 ketika undang-undang itu diluluskan.

Itulah bermulanya negeri Terangganu mendapat royalti, tetapi perjanjian sudah dibuat pada tahun 1975. Akta Kemajuan Petroleum itu pula digubal pada tahun 1974.

Perjanjian mengenai royalti ditanda tangani pada 22 March 1975, iaitu pada hari yang sama dengan hari penyerahan hak milik oleh kerajaan Terengganu kepada Petronas.

Perlu difahami bahawa semua negeri telah menandatangani perjanjian itu, bukan negeri Terengganu sahaja. Pada tahun 1978 minyak ditemui di negeri Terengganu, tetapi tidak didapati di negeri lain. Itulah sebabnya royalti dibayar kepada kerajaan Terengganu.

Bagaimanakah caranya royalti dihitung?
Ada lagi satu perjanjian yang ditanda tangani tahun 1987 yang menjelaskan cara bagaimana mengira bayaran royalti. Perjanjian yang ini ditanda tangani oleh Presiden Petronas ketika itu, iaitu Tan Sri Abdullah Salim - seorang sahabat yang pernah bekerja dengan saya - dan Terengganu, oleh Menteri Besarnya.
Semenjak itu, negeri Terengganu mendapat 5 peratus royalti dan 5 peratus lagi dibayar kepada kerajaan Pusat.

Royalti minyak dan Terengganu

Semenjak 1978 hingga 1999, kerajaan Terengganu telah menerima sejumlah RM7 bilion sebagai royalti daripada Petronas. Untuk tahun 2000 ini, setakat bulan Februari lalu, Terengganu telah menerima sejumlah RM432 juta daripada RM810 juta royalti.

Malangnya, walaupun telah menerima royalti berjumlah RM7 bilion sejak 1978, kerajaan Terengganu di bawah kepimpinan lama telah berhutang dengan kerajaan Pusat sebanyak RM700 juta.

Ke manakah perginya wang sebanyak ini? Selain dibelanjakan untuk mengurus pentadbiran, kebanyakan wang itu telah hilang akibat dilaburkan dalam pasaran saham yang sentiasa turun naik dan juga dilaburkan dalam beberapa buah syarikat yang semuanya sakit dan tidak berupaya untuk berjalan dengan baik.

Tiap-tiap kali mereka (syarikat) menghadapi masalah untuk menjalankan perniagaan mereka, mereka tidak tidak pergi ke bank, tetapi pergi kepada kerajaan Terengganu meminta supaya ditambahkan wang supaya boleh beroperasi.

Inilah caranya wang itu dibelanjakan sehingga wang itu sudah habis. Dengan sebab itu kerajaan Terengganu sudah pula berhutang dengan kerajaan pusat sebanyak RM700 juta.

Sekarang apabila kerajaan Barisan Alternatif membelanjakan wang yang diperolehi itu untuk kemaslahatan hidup rakyat seperti menghapuskan tol, menghapuskan cukai pintu, menaikkan gaji imam dan ketua kampung dan juga menghapuskan beberapa cukai lain untuk kemudahan rakyat, mereka kata kerajaan Terengganu tidak tahu mengurus wang tersebut. Mereka menuduh kerajaan BA sombong.
 
 

Tetapi apakah yang telah mereka buat? Mereka, yang kononya pandai dan telus, telah membelanjakan wang untuk melabur sehingga rugi. Mereka kata mereka gunakan wang untuk kepentingan rakyat.
 

Betulkah begitu?
 
 

Mereka hendak mengambil balik wang petroleum ini semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan yang ada ini. Mereka berbuat begitu supaya mereka boleh berkata kerajaan BA miskin, kerajaan BA tidak ada wang dan kerajaan BA tidak pandai memerintah.
 
 

Inilah cogankata yang mereka guna sejak pilihan raya dulu.
 

Mereka sebenarnya takut. Mereka takut kalau-kalau kerajaan BA akan benar-benar mengotakan janji yang mereka buat dalam pilihan raya dulu. Mereka tahu jika ini berlaku, cara pemerintahan mereka yang boros dan tidak telus itu akan terus ditolak rakyat untuk selama-lamanya. Jika ini berlaku, mereka sedar bahawa harapan untuk mereka menguasai semula negeri ini tidak akan ada lagi.
 
 

Walau bagaimanapun, bagi BA, kita hanya meminta satu peluang untuk memerintah dan membuktikan bahawa kita berupaya menawarkan pemerintahan yang lebih baik kepada rakyat.
 
 

Benarkanlah kita memerintah sekurang-kurang sampai empat tahun lagi tanpa apa-apa gangguan yang tidak wajar dan tidak sah. Selepas itu tengoklah pula sama ada rakyat berpuas hati dengan kami atau tidak.
 

Bagaimanakah cara yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan Persekutuan jika ia benar-benar hendak membatalkan royalti petroleum yang diterima oleh kerajaan Terengganu?
 
 

HAK DITARIK SECARA SAMSENG*

Lazimnya, jika kita hendak mengambil hak seseorang, kita sendiri hendaklah meulis surat kepada orang tersebut. Katakanlah, "ini bukan hak kamu, ini pemberian ihsan saja. Sekarang aku hendak balik."
Ataupun kita berbincang dengan orang itu dan beritahu maksud kita. Kita boleh ajak berbincang. Tetapi ini tidak! Tiba-tiba sahaja batal royalti.
Mereka langsung tidak memberitahu cara bagaimana royalti itu hendak ditarik balik. Tidak juga diberitahu bagaimana Petronas hendak melakukannya. Kita hanya tahu melalui surat khabar.
Akhirnya kita diberi satu surat. Selepas itu kerajaan Pusat telah mengeluarkan satu kenyataan akhbar bertarikh 5 September tahun ini. Sepatutnya kerajaan Pusat hantar surat itu kepada kita.
Mengikut undang-undang, ini terang-terang merupakan satu kesalahan. Menurut undang-undang, jika kita hendak mengambil hak seseorang, hendak membuat keputusan yang akan menjejaskan kedudukan ataupun hak seseorang, kita mesti menuulis surat kepada dia, supaya kita dapat bezakan hak-haknya yang hendak ditarik.
Tetapi ini langsung tidak dibuat.
Apa yang dilakukan oleh kerajaan Pusat ialah dengan membuat kenyataan akhbar bahawa kerajaan Terengganu tidak berhak lagi menerima royalti kerana royalti itu sebenarnya bayaran ihsan. Mereka sengaja tukar nama royalti kepada ihsan.
Wang yang diterima oleh Terengganu dari tahun 1978 hingga hari ini, kini dipanggil wang ihsan.
Walau apapun dakwaan kerajaan Pusat, wang tersebut adalah wang royalti. Wang itu dipanggil royalti kerana wang itu wajib diberi Petronas sebagai penerima hak milik minyak yang ditemui di negeri ini.
Royalti ialah satu bayaran yang mesti dibuat oleh penerima hak kepada orang yang menyerah hak. Oleh kerana kerajaan Terengganu sebagai pemilik hak yang menyerah hak itu kepada Petronas, maka bayaran itu wajib dibayar. Dari segi amalan perniagaan ini adalah royalti.
 

Sebaliknya bayaran ihsan adalah bayaran belas kasihan sahaja, tanpa apa-apa kewajipan ke atas pemberinya. Ia tidak mesti dibayar. Kalau dibayar pun ia adalah bayaran sukarela. Nak bayar boleh, tak nak bayar pun boleh. Banyak mana hendak bayar, mana dan bila masa hendak bayar pun boleh. Seperti bersedekah.
 
 

Dengan mengubah royalti kepada bayaran ihsan, mereka mendakwa negeri Terengganu tidak berhak dibayar royalti dan bayaran yang dibayar sebelum ini kononnya untuk berbuat baik terhadap kita atas dasar belas kasihan mereka kerana kita kononnya miskin.
 
 

Tetapi, seperti kata Menteri Besar kita, perkataan ihsan adalah perkataan Arab yang bermaksud belas kasihan. Kalau kita hendak menyembelih lembu kita gunakan pisau yang tajam kerana belas kasihan terhadap lembu itu supaya ia tidak terlalu sakit apabila disembelih. Tetapi mereka 'menyembelih' kita bukan dengan pisau yang tajam, tetapi dengan tukul dan mereka ketuk kepala kita.
 
 

Inikah ihsan? Ini sebenarnya adalah azab yang telah dikenakan kepada kita. Ini bukan bayaran ihsan, tetapi bayaran 'nazi' atau bayaran azab, bayaran menyeksa.
 
 
 

(Tulisan ini adalah sedutan ucapan Tun Salleh Abas di Ceramah Perdana dan Sembahyang Hajat Rakyat Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, Kuala Terengganu, 15 September lepas).
 

*Rencana ini ditajukkan untuk kembali untuk menekan beberapa isu.