Hati-hati golongan yang berpaling tadah.
(wartawan kita)

Kemenangan PAS tempohari sedikit sebanyak telah membuat golongan-golongan tertentu didalam UMNO merasakan UMNO sudah tidak relevan lagi bagi mereka. Ini kerana perjuangan mereka hanya untuk kepentingan peribadi dan ‘kroni’ dengan matlamat mengaut keuntungan dari semua kesempatan yang ada, dari mendapat permit-permit tertentu hinggalah tanah-tanah kerajaan.

Golongan ini mempunyai pegangan yang rapuh pada dasar perjuangan parti dan memegang prinsip “ siapa yang berkuasa dialah yang akan disokong”.Golongan ini akan mengintai-ngintai ruang-ruang kosong yang membolehkan mereka menonjolkan diri  dalam masyarakat.

Lantaran itu, ruang-ruang kosong yang masih banyak ‘kosong’ ialah dengan menubuhkan cawangan Parti Keadilan. Secara automatik ia akan mengangkat diri mereka sebagai ketua cawangan dan mempunyai peluang menonjolkan diri dan bersuara dalam kerajaan BA (Barisan Alternatif).

Mereka-mereka ini diibarat lahir dizaman selepas merdeka. Mereka ini tidak tahu erti perjuangan yang sebenarnya. Mereka ini tidak tahu betapa perit dan pedih dan sedihnya apabila disisih, dipulau  dan dianak tirikan oleh UMNO dulu. Mereka ini tidak mengerti erti kesabaran yang telah kita tanggung berbelas tahun dengan berbagai tohmahan dan kejian yang difitnahkan oleh UMNO. Mereka ini tidak pernah menitiskan air mata menahan sebak kerana sikap-sikap angkuh dan sombong UMNO kerana mereka –mereka inilah yang menabur fitnah, angkuh, berlagak, sombong, takabur, tamak dengan kuasa yang diberikan oleh rakyat. Ibarat kata ‘mereka ini dari golongan yang menjilat ludah sendiri’ apabila berpaling tadah dari UMNO dan menyertai PAS.

Golongan ini perlu diperhatikan oleh PAS supaya tidak akan terjadi ‘seperti melepas anjing tersepit’ dan ‘ gunting dalam lipatan’.Golongan ini mereka yang arif berpolitik dari pengalaman dalam UMNO dan budaya dulu sedikit sebanyak akan diserap dalam amalan mereka.

Maka jika mereka ini berjaya menguasai kampung maka, hilanglah kepercayaan orang kampung kepada perjuangan PAS dan terkulat-kulat dan berputih matalah orang-orang kampung melihat mereka-mereka ini menambah ‘kekayaan’.

Mereka ini pandai berlakun, bermuka-muka dan buat ‘lembek tengkok’ kepada ahli-ahli PAS yang masih dalam kejutan kerana kemenangan dulu.

Akhirnya kepada pimpinan BA, hati-hati kepada golongan ini yang bakal merosakkan parti. Hargailah undi-undi orang kampung yang tak pandai bersuara, tak pandai bodek.
 

Cybertaliban@hotmail.com