TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM
"BERSAMA MENGISI KEMENANGAN"
tinta_hijau@hotmail.com

Terengganu ada hak wujud hisbah

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (hrkh) - Pengerusi Jawatankuasa Hisbah dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Tun Haji Mohd Salleh Abas berkata kerajaan Terengganu berhak menubuhkan Jabatan Hisbah kerana ia berada di bawah bidang kuasa negeri.

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap jabatan tersebut yang kini baru dianggotai dua orang pegawai akan dapat dikekalkan dan ditubuhkan di negeri-negeri lain.

"Terengganu adalah negeri pertama yang menubuhkan Jabatan Hisbah di Malaysia," ujarnya ketika berucap menutup Bengkel Perdana Hisbah di Dewan Auditorium Kompleks Seri Iman, semalam.

Beliau yang juga bekas Ketua Hakim Negara, berkata Jabatan Hisbah bukan saja terhad kepada tugas untuk melakukan siasatan jika menerima aduan mengenai penyelewengan dalam pentadbiran sesebuah organisasi.

Tambahnya, tetapi ia turut bertanggungjawab membuat laporan kepada kerajaan jika berlaku masalah ketidakcukupan kemudahan asas di mana-mana kawasan.

Sebagai contoh, katanya jika kawasan tertentu menghadapi masalah kekurangan bekalan air jabatan tersebut boleh mengesyorkan kepada kerajaan supaya menambah bekalan kerajaan supaya menambah beklalan air di kawasan itu agar bekalannya dapat memenuhi keperluan semua penduduk.

Sementara itu, Pesuruhjaya Hisbah Terengganu, Haji Idris Othman yang menyampaikan kertas kerja bertajuk Pentadbiran di Terengganu Darul Iman berkata usaha kerajaan negeri melaksanakana pentadbiran hisbah bertujuan mengembalikan semula kegemilangan sistem keadilan Islam.

"Ia bukan bertujuan untuk menyusahkan mana-mana pihak atau kerana berdendam dengan menghukum pihak yang tidak bersalah, tetapi untuk membentuk sebuah kerajaan yang diredai Allah dan bertanggungjawab terhadap rakyat yang dipimpinnya," tambahnya.