ROYALTI : KAMI TETAP BERSAMA TOK GURU



Rang undang-undang hisbah diluluskan

KUALA TERENGGANU-Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Hisbah 2000 yang memberi kuasa kepada Jabatan Hisbah untuk menyiasat laporan berhubung penyelewengan organisasi kerajaan dan kakitangan awam di negeri ini.

Rang undang-undang itu yang dicadang oleh Pengerusi Jawatankuasa Hisbah dan Tugas-Tugas Khas, Tun Salleh Abas dan disokong Ustaz Hassan Salleh (PAS-Bukit Payong), diluluskan dengan mendapat majoriti terbanyak.

Seramai lapan ahli DUN, termasuk semua empat wakil daripada parti pembangkang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan rang undang-undang tersebut.

Difahamkan ini adalah kali pertama rang undang-undang itu dibentangkan dalam sejarah perundangan negara ini dan bermakna Terengganu menjadi negeri pertama menubuhkan Jabatan Hisbah.

Tun Salleh sewaktu membentangkan rang undang-undang tersebut, berkata penubuhan jabatan tersebut dibuat berteraskan ajaran al-Quran dan bukan berdasarkan konsep yang digunakan masyarakat bukan Islam zaman dahulu seperti yang wujud di Rom.

"Hisbah adalah satu institusi yang sangat mustahak dan wajar diletakkan di atas satu landasan bebas dan tidak diganggu oleh mana-mana parti politik," tegasnya.

Beliau berkata, Jabatan Hisbah yang ditubuhkan Kerajaan Terengganu ini bebas menyiasat semua orang, termasuk pemimpin politik, wakil rakyat dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan. Menurutnya, pelantikan Pesuruhjaya Hisbah akan dilakukan oleh Sultan Terengganu atas nasihat Menteri Besar setelah mendapat sokongan DUN Terengganu.

"Orang yang memegang jawatan tersebut perlu mempunyai intergriti, beramanah dan sanggup memikul amanah yang telah diberikan," ujarnya.

Sementara itu, Ustaz Hassan berkata, penubuhan Jabatan Hisbah membuktikan ketulusan kerajaan dan keberaniannya untuk disiasat oleh jabatan tersebut.

"Ini juga merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan (Barisan Alternatif) untuk menegakkan sebuah kerajaan yang bersih dan amanah," ujarnya.

Harakahdaily