88.7 peratus jangkitan HIV dari penagih dadah

KUALA TERENGGANU, : Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Sosial dan Kesihatan negeri, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata, 88.7 peratus daripada 3,693 kes jangkitan HIV yang dikesan di negeri ini hingga Oktober lalu dilaporkan daripada penagih dadah yang menggunakan jarum suntikan.

Katanya, adalah dipercayai sebahagian daripada mereka mempunyai lebih dari satu faktor risiko seperti perkongsian jarum suntikan dadah dan hubungan seks yang mungkin menjadi punca jangkitan HIV.

"Jangkitan melalui hubungan seks secara heteroseksual dilaporkan 5.3 peratus dari jumlah keseluruhan kes," katanya kepada Harakah. Menurutnya, bilangan jangkitan secara heteroseksual meningkat dari tahun ke tahun di mana 10 kes dilaporkan pada 1991, 20 kes pada 1995 dan meningkat 44 kes hingga Oktober lalu.

Katanya, daerah Kuala Terengganu paling banyak dilaporkan jangkitan HIV iaitu 1,157 kes, Dungun (492) dan Marang (312). Tambahnya, sebanyak 270 kes daripada mereka yang dijangkiti HIV mendapat Aids dengan jumlah kematian sebanyak 231 orang.

Beliau berkata, 2,780 kes daripada jumlah jangkitan HIV yang dikesan adalah beralamat di negeri manakala selebihnya di luar Terengganu. Secara purata, katanya, sebanyak 400 hingga 500 kes jangkitan HIV dilaporkan setiap tahun sejak lima tahun kebelakangan ini.

"Sehingga Oktober lalu, 46 kes jangkitan HIV baru dilaporkan setiap bulan di negeri ini," katanya. Dari segi jantina, jelasnya, 96.5 peratus jangkitan HIV melibatkan lelaki tetapi jangkitan di kalangan wanita semakin meningkat di mana satu kes pada 1991, 18 kes pada 1995 dan 131 kes sehingga Oktober lalu.

Tambahnya lagi, 95 peratus daripada jumlah kes jangkitan HIV adalah Melayu, Cina (2%), India (1%) dan warga asing (2%). Menurutnya, 53 peratus kes jangkitan HIV adalah di kalangan mereka yang berumur 20 hingga 29 tahun, 30 hingga 39 tahun (35%), 13 hingga 19 tahun (2.8%), lebih 30 tahun (7%) dan kurang 13 hingga 19 tahun (2.8%).

Harakahdaily