TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM

              KUALA TERENGGANU, 18 Julai  -- Pas hari ini mendakwa
              terdapat permainan politik untuk mengaitkan parti itu berhubung
              peristiwa rompakan senjata oleh kumpulan Al-Ma'unah di dua kem
              tentera di Grik, Perak 2 Julai lepas.

              Naib Presidennya, Mustafa Ali berkata Pas turut mempertikaikan
              mengapa Umno mahu mengadakan program penjelasan berhubung
              peristiwa itu sedangkan siasatan mengenainya masih belum
              selesai.

              "Kita percaya ada tujuan politik mengenai peristiwa ini
              terutamanya untuk menakut-nakutkan masyarakat bukan Islam
              supaya tidak menyokong perjuangan Pas," katanya kepada
              pemberita di sini, Selasa.

              Mustafa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan
              Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia negeri
              berkata Pas juga menafikan penglibatannya dalam peristiwa
              sembahyang hajat di beberapa masjid di Selangor untuk meminta
              pembebasan dan kesejahteraan anggota kumpulan Al-Ma'unah
              yang telah ditahan.

              Sementara itu, Mustafa berkata kerajaan Pas Terengganu tetap
              akan menswastakan projek pembinaan Lebuhraya Pantai Timur
              (LPT) jika ia ditangguhkan terlalu lama oleh kerajaan pusat.

              Beliau meminta kerajaan pusat supaya segera memenuhi
              persetujuannya untuk melaksanakan projek itu serentak dengan
              Pahang. "Sudah ada syarikat yang menyerahkan proposal kepada
              kita untuk melaksanakan projek itu dan jika ia terlalu lama
              ditangguhkan, kita akan laksanakan sendiri lebuh raya itu,"
              katanya.

              Beliau berkata syarikat berkenaan telah menawarkan kos yang
              lebih murah berbanding kos biasa dan bayaran tol juga akan tetap
              dikenakan tetapi dengan kadar yang lebih murah.

              Malah syarikat berkenaan juga turut berminat untuk membina
              lebuh raya itu sehingga ke Kelantan, katanya.