Make your own free website on Tripod.com



 


Keadilan hormati BA, tidak terima bekas DAP
 

 Parti Keadilan Nasional akan menghormati persefahaman dengan parti-parti pembangkang lain dan belum meluluskan permohonan bekas pemimpin DAP Pulau Pinang, Teoh Teik Huat dan rakan-rakannya.

“Permohonan Teoh dan bekas pemimpin DAP (itu) untuk menyertai Keadilan akan dikendalikan dalam semangat persefahaman Barisan Alternatif,” kata satu kenyataan Presidennya Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada malaysiakini hari ini.

Pada 27 April 1999, empat parti pembangkang utama memutuskan untuk tidak menerima ahli-ahli parti yang melompat ke parti lain dalam pakatan BA.

“Dalam hubungan (persefahaman) itu, Keadilan belum meluluskan permohonan Teoh dan rakan-rakannya,” kata Azizah lagi. “Saya anggap salah faham antara DAP dengan Keadilan (dalam isu ini) sekadar tergendala sebentar.”

Semalam Pengerusi DAP Lim Kit Siang menggesa Keadilan agar menghormati persefahaman BA itu.

Sambil mendakwa tidak “marah” tetapi sedih dan jemu terhadap perkembangan mutakhir antara dua parti itu, Lim turut menyatakan isu sebenar bukannya permohonan Teoh tetapi sama ada anggota BA bersedia memandang serius perjanjian pakatan tersebut.

Hujung minggu lalu, Teoh dan aktivis DAP menghadiri majlis makan malam Keadilan di Bukit Mertajam setelah melepaskan jawatan dalam parti itu dua minggu sebelum itu. .

Sementara itu awal minggu ini, ahli parlimen DAP bagi kawasan Tanjung Chow Kon Yeow memberitahu  bahawa parti itu sedar wujud kempen untuk menarik ahli-ahlinya menyertai Keadilan selepas pilihanraya kecil Lunas, Kedah November lalu.

“Setakat ini, 32 ahli DAP Nibong Tebal dikatakan telah menyerahkan borang permohonan untuk menyertai Keadilan,” katanya.

Bagaimanapun Azizah berkata Keadilan menghargai kerjasama dan sokongan DAP serta bersedia meneruskan hubungan antara dua parti itu bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak men jelang September depan.