21 DISEMBER, 1999 15:19PM
 

   PELAKSANAAN HUKUM HUDUD MENGIKUT JADUAL
 
 KUALA TERENGGANU, 21 Dis -- Hukum hudud akan
 dilaksanakan oleh kerajaan Pas Terengganu apabila tiba masanya
 setelah beberapa perkara berkaitan hukum berkenaan diselesaikan,
 kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan
 Pelaksanaan Syariah negeri Harun Taib hari ini.

 Beliau berkata pelaksanaan Syariah Islam bukan hanya ditumpu
 kepada hukum hudud tetapi ia turut merangkumi perkara lain iaitu
 qisas dan takzir.

 "Masih terlalu awal untuk menyatakan pelaksanaan (hukum)
 hudud, tapi kami (Pas) akan jalankan hukum syariah mengikut
 jadualnya...(hukum) hudud akan dijalankan apabila tiba masanya,"
 katanya menjawab soalan Tengku Putera Tengku Awang
 (BN-Telemung) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.

 Harun berkata dalam melaksanakan hukum syariah di Terengganu,
 perkara utama yang akan dijalankan ialah perkara-perkara yang
 tidak mempunyai pertindihan kuasa dengan kerajaan persekutuan
 tetapi jika terdapat pertindihan, perkara itu akan dibincangkan
 dengan kerajaan pusat.

 "Jika tidak ada masalah dalam perundingan, InsyaAllah (hukum)
 hudud akan dilaksanakan dan saya tidak fikir sampai empat atau
 lima tahun," katanya.

 Menjawab soalan Datuk Abu Bakar Ali (BN-Kemasik), beliau berkata
 kerajaan negeri sebenarnya tidak perlu membuat penjelasan
 terperinci sebelum mengisytiharkan kharaj memandangkan perkara
 itu dijelaskan dalam manifesto Pas sejak pilihan raya umum 1982.

 "Kajian awal dibuat sebelum pilihan raya umum (1999) lagi,
 tambahan pula ia (kharaj) telah disebut dalam manifesto Pas sejak
 1982, cuma kali ini kita menang dan isytihar untuk laksanakannya,"
 katanya.

 Beliau berkata pelaksanaan kharaj perlu mendapat kebenaran
 daripada kerajaan persekutuan tetapi ada sebahagian daripadanya
 boleh dilaksanakan tanpa persetujuan kerajaan pusat.

 Harun berkata kerajaan Pas tidak mengamalkan tindakan membalas
 dendam pada mana-mana pihak tetapi rombakan dan
 pengubahsuaian perlu diadakan bagi memastikan halatuju dan
 dasar kerajaan dapat dicapai.

 "Setakat ini kita tidak bercadang untuk memecat imam dan bilal
 kecuali yang hilang kelayakan dan tidak bersedia untuk berkhidmat
 di bawah kerajaan baru...kalau tidak bersedia, elok undur,"
 katanya.

 Harun berkata mana-mana kerajaan mempunyai matlamat untuk
 merombak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung
 (JKKK) bagi memastikan matlamat kerajaan berkenaan dicapai dan
 boleh bekerjasama dengan jabatan dan agensi-agensi kerajaan.

 "Oleh itu, konsep pilihan JKKK akan mengikut Syura Rakyat iaitu
 mereka dipilih mengikut kelayakan dan khidmatnya serta mampu
 memberi manfaat kepada semua penduduk bukannya kepada
 sesetengah pihak sahaja," katanya.

 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum dan
 Perindustrian negeri Mustafa Ali yang menjawab soalan tambahan
 Abu Bakar berkata pertukaran beberapa pegawai peringkat
 tertinggi kerajaan negeri berdasarkan kekanannya dan kriteria
 yang biasa berlaku.

 "Tiada balas dendam dan ia (pertukaran) itu telah dijelaskan
 secara terbuka dalam media massa," katanya.