Make your own free website on Tripod.com
ROYALTI : KAMI BERSAMA TOK GURU

PAS cabar Pusat jangan halang hudud
Oleh Kamarudin Mat Akib

KUALA TERENGGANU, 16 Nov (Hrkh) - PAS mencabar Kerajaan Pusat supaya memberi kuasa penuh kepada kerajaan-kerajaan negeri bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di setiap negeri.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, berkata jika Kerajaan Pusat menghapuskan semua halangan bagi melaksanakan hukum hudud, sudah pasti negeri diperintah oleh PAS dapat melaksanakan hukum tersebut.

Beliau berkata, memang hasrat kerajaan Terengganu dan Kelantan mahu melaksanakan hukum hudud, tetapi ia tidak dapat diteruskan kerana dihalang oleh Kerajaan Pusat.

"Jika Kerajaan Pusat buang semua halangan itu (dengan cara meminda Perlembagaan Persekutuan), kita akan melaksanakan hukum hudud di Kelantan dan Terengganu," katanya, selepas mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco).

Beliau berkata demikian, sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Dr Mohamed Khir Toyo bahawa Kerajaan Kelantan dan Terengganu perlu mengubah perlembagaan masing-masing jika berpendapat Perlembagaan Malaysia tidak memihak kepada Islam.

Mengikut laporan akhbar Isnin lalu, beliau berkata langkah itu perlu kerana kedua-dua negeri tersebut masih mengamalkan sistem perundangan yang dilaksanakan oleh Umno sebelum ini.

Haji Hadi yang juga Menteri Besar Terengganu berkata PAS akan melaksanakan hukum hudud jika tidak ada halangan untuk meneruskan cadangan berkenaan.

"Kita akan buktikan undang-undang syariah adalah lebih baik berbanding undang-undang sekular," katanya.

Beliau berkata, cadangan itu hanya dapat dilaksanakan jika kerajaan negeri diberi bidang kuasa bagi menggubal undang-undang syariah.
 

Harakah daily