Make your own free website on Tripod.com
Pusat halang hudud dilaksana - MB

KOTA BHARU, 17 Nov (Hrkh) - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dukacita terhadap halangan melaksanakan undang-undang hudud yang diluluskan kerajaan Kelantan sejak 1993, sehingga ada pihak berani mengaku murtad secara terang-terangan.

Katanya, kerajaan Kelantan sudah meluluskan undang-undang itu dan menghabiskan banyak wang bagi menyiapkan draf mengenainya.

"Bagaimanapun kerajaan negeri merasa amat dukacita kerana Perdana Menteri menolak hukum tersebut daripada dilaksanakan berdasarkan surat yang dihantar kepada saya sebelum ini," katanya di sini.

Baru-baru ini, empat penduduk negeri ini mengaku murtad secara jelas di Mahkamah Tinggi Syariah di depan hakim Abdul Rahman Abdullah.

Mereka termasuk guru agama Mohamad Ya, 55, isterinya Kamariah Ali, 49, Mat Yaakub Ismail, 54 dan Daud Mamat, 60 mengaku murtad di mahkamah tersebut pada perbicaraan kes mereka.

Malah guru agama suami isteri berkenaan mendedahkan mengakui surat akuan sumpah keluar Islam dibuat di depan Pesuruhjaya Sumpah di Kuala Lumpur pada 8 Oktober 1998.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri terpaksa angkur dengan arahan tersebut dan terpaksa menangguh sementara pelaksanaan perundangan tersebut.

Beliau menyifatkan kerajaan Pusat tidak berminat dengan undang-undang hudud yang dianggap boleh menyekat mereka dari berfoya-foya serta mengejar kemewahan dunia.

Menurutnya, Umno cukup bimbang sekiranya hukum tersebut dilaksanakan umat Islam di negara ini lebih faham mengenai hukum Islam dan dengan sendirinya tidak lagi menyokong parti itu.

"Sebab itu pemimpin Umno mengambil sikap membisu dengan gejala murtad dan menukar agama bukan masalah besar bagi Umno. "Ini sesuatu yang memalukan bagi orang Islam di seluruh dunia," katanya.

Beliau juga menyifatkan cabaran Menteri Besar Selangor, Dato' Dr Mohd Khir Toyo dan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyideen Mohd Yassin supaya Kelantan melaksanakan hukum hudud biarpun dihalang Perdana Menteri sebagai pemimpin yang cuba bersandiwara.
 

Harakahdaily