Kenapa kerajaan BN berhutang RM700 juta?

KUALA TERENGGANU, 7 Sept - Menteri Besar Terengganu, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, pihak-pihak berkenaan sepatutnya turut mempersoalkan kerajaan BN dahulu membelanjakan wang royalti minyak.

"Patut tanya apa kerajaan (BN) dulu buat (dengan wang royalti) sampai hutang lebih RM700 juta," katanya kepada Harakah. 

Selain itu, katanya kerajaan dahulu juga wajar dipersoalkan kenapa banyak anak syarikat yang mengalami kerugian begitu besar. 

"Bagaimana anak-anak syarikat yang rugi begitu banyak sedangkan orang-orang yang duduk dalam (syarikat) kaya, yang berhenti kaya," ujarnya lagi. 

Sehubungan itu, tambahnya pihak berkenaan tidak perlu mempersoalkan ke mana digunakan wang royalti yang diterima oleh kerajaan negeri pada Februari lalu sebanyak RM432 juta.

"Penggunaan kita memang ada kenyataan yang dibuat oleh Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri dan pegawai-pegawai," ujarnya.

Di samping itu, jelasnya penggunaan wang royalti itu turut terkandung dalam Belanjawan negeri yang dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri. 

"Dalam buku budget kita, belanjawan, dalam Sidang Dewan pun ada, perbekalan tambahan pun ada," jelasnya.

Terengganu juga sebelum ini menubuhkan Jabatan Hisbah untuk mempastikan semua urusan kerajaan negeri telus dan bertanggungjawab.

Sumber : Harakahdaily