Make your own free website on Tripod.com
Kesetiaan PDRM terbukti hanya untuk menjaga Mahathir

Kita sentiasa menyatakan bahawa sememangnya Polis cepat bertindak terhadap
para penyokong DSAI, para Reformis, para penegak keadilan malah semua mereka
yang meyokong parti-parti dalam Barisan Alternatif dan sesesiapa yang
menentang UMNO/BN.

Kita katakan demikian kerana kita lihat dengan mata kasar kita sendiri semasa
demonstrasi-demonstrasi hari Sabtu yang lalu.  Kita lihat sendiri layanan
Polis (baik yang berpakaian biru gelap dan bertopi merah mahupun yang berbaju
hijau atau pun yang berpakaian awam) terhadap mereka yang berkumpul demi
menyatakan haq dan kebenaran.

Kita baca afidavit-afidavit penyeksaan yang dilakukan oleh Polis.  Dan yang
anehnya tiada satu afidavit ini dinafikan oleh pihak Polis.  Kita turut
membaca keganasan yang dilakukan terhadap ratusan tahanan OKT.

Kita sendiri tonton melalui Video Tape dan VCD yang banyak dijual suatu ketika
dulu.  VCD-VCD yang dirakam oleh jurukamera bebas amatur dan profesional
kesemuanya menunjuk detik-detik dan suasana keganasan dan kebiadapan Polis.
Segala rakaman-rakaman tersebut akan menjadi bahan bukti di suatu hari nanti
dan menjadi pengajaran untuk generasi berikut.  (Perlu ada pihak yang
menyimpan semua rakaman tersebut dengan baik untuk dijadikan bahan bukti
tribunal penyiasatan terhadap keganasan Polis di suatu hari nanti – Insha
Allah).

Bahawa apa yang disebut di atas hanyalah sekadar apa yang kita katakan bahawa
Polis cepat dan ganas dalam bertindak terhadap kami yang yang tidak bersenjata
dan tidak melakukan sebarang kekacauan.

Namun, apa yang dilaporkan dalam kebanyakan akhbar beberapa hari ini dan telah
pun diulaskan oleh beberapa pihak menunjukkan Polis LAMBAT dalam bertindak
terhadap mereka yang betul-betul melakukan kerosakan dan keganasan bersenjata.
 Contoh terbaik ialah apa yang berlaku di Melaka dalam sambutan kemerdekaan
baru-baru ini.  Keganasan yang dilakukan oleh ratusan remaja yang bersenjata
telah banyak merosakkan harta persendirian dan harta awam.  (TV3 terlupa nak
rakam ke untuk disiarkan berkali-kali).

Pada malam itu, ramai yang telah menelefon Polis, kebanyakan pengadu
menyatakan mereka langsung tidak melihat Polis bertindak pantas untuk
menghantar anggota mereka.  Ada pengadu yang menyatakan Polis langsung tidak
kelihatan selepas mereka membuat panggilan kecemasan.

Malah ini telah menjadi kelaziman dan suatu imej yang telah melekat pada
intitusi Polis.  Itulah sebabnya tidak lama dulu bekas KPN Rahim Noor (BA)
terpaksa melaungkan “CEPAT dan …” kepada moto Polis.  Ini kerana sememangnya
stigma “lambat” dan “tidak cekap” itu telah terpahat pada intitusi yang sudah
bankrap maruahnya.  Tetapi Polis LAMBAT bertindak terhadap aduan mata lebam
DSAI!

Kenapakah Polis (sebenarnya Mahathir) telah membuat andaian bahawa sebelum
peristiwa “Black 14” dulu, para reformis akan membawa molotov cocktail dan
melakukan kekacauan walaupun terbukti ini tidak berlaku malah telah dinafikan
berkali-kali oleh Ezam dan rakan-rakan beliau.

Bagaimana Polis begitu “cekap” dan “tahu” bahawa para penuntut keadilan akan
melakukan “keganasan” tetapi di Melaka pada malam yang malang itu SB-SB Polis
tidak “sangka” ratusan pemuda tersebut akan melakukan keganasan?  Kenapa tiada
sekatan jalanraya pada jalan-jalan yang menuju ke tempat sambutan?  Kenapa
tidak diperiksa pada mereka ini apakah senjata yang mereka bawa bersama?
Bukankah Polis biasa membuat pemeriksaan senjata seperti ini hinggakan ahli
jemaah yang hendak sembahyang pun diperiksa sepenuhnya (OCPD Bakri sendiri
mengesahkan bahawa sembahyang jemaah pun kena ada permit!).

Atau apakah Polis hanya mempunyai kepentingan untuk menjaga apa yang perlu
sahaja?
 

Sekian
Ibrahim Baba
4 September 2000