Biar Mahathir Komen Banyak-banyak

Dalam perasaan benci melihat Mahathir di kaca TV, IB sentiasa “suka” menonton
Mahthir membuat kenyataan dan serta memberi komen berhubung isu-isu semasa.
 Ini kerana, hampir setiap kali Mahathir membuat komen, dia melatah dan
membuat kenyataan yang bukan-bukan, bercanggah dengan kenyataan sendiri
sebelum itu atau bercanggah dengan fakta yang diketahui umum.  Ada pula
sesetengah komen dia amat kontroversi hinggakan kelam kabut pimpinan UMNO
lain dan ahli-ahli pun pening.

Yang paling cantik ialah bila Mahathir bercakap, dia menambahkan kebencian
orang ramai terhadapnya dan UMNO.  Bila dia bercakap, lagi nampak pembohongan
demi pembohongan.

Satu lagi kenyataan Mahathir baru-baru ini ialah berhubung perlantikan Ketua
Hakim Negara yang baru.  Dalam laporan berita TV (20/12 malam) dan laporan
akhbar-akhbar (21/12), perlantikan beliau adalah atas nasihat Perdana Menteri
dan telah dipersetujui oleh Yang DiPertuan Agong dalam mesyuarat Majlis
Raja-raja bulan lepas.

Tetapi, dalam jawapan beliau kepada pemberita beberapa minggu selepas
mesyuarat Majlis Raja-raja, Mahathir mengatakan beliau tidak tahu berhubung
perlantikan Dato’ Mohamed Dzaiddin Abdullah sebagai Ketua Hakim Negara.

Bagaimana Mahathir yang mencadang dan menasihat perlantikan Ketua Hakim
Negara boleh menyatakan bahawa beliau tidak tahu selepas mesyuarat
mempersetujui apa yang dicadangkan oleh beliau.  Tambah pula beliau sendiri
hadir dalam mesyuarat tersebut!

Ini hanya satu contoh sahaja mengapa IB amat gembira bila Mahathir melatah.
 Di antara latahan Mahathir dalam “top 10” IB ialah komen Mahathir di Kubang
Pasu ketika kempen piliharaya Lunas sedang hangat.  Kritikannya terhadap kaum
Cina yang tidak berterima kasih keranan kerajaan telah banyak “membantu”
mereka adalah antara “turning point” utama pilihanraya tersebut.

IB selalu mengharapkan Mahathir lebih kerap mengeluarkan kenyataan-kenyataan
yang bercanggahan dan yang kontroversi.  Dan yang paling IB harapkan ialah
Mahathir membuat kenyataan-kenyataan yang kontroversi semasa siaran secara
langsung agar ianya dapat ditonton oleh seluruh negara.  Lagi cantik semasa
persidangan yang dihadiri oleh tetamu antarabangsa.

IB sedang menyiapkan “Top 20 List” komen/kenyataan Mahathir yang kontroversi.
 Sambil itu minta-minta Mahathir melatah lebih banyak lagi.

Sekian
Ibrahim Baba
22 Disember 2000