Terengganu janji tidak pecat bilal, imam sokong BN

Kerajaan Pas Terengganu memberi jaminan tidak akan bertindak memecat imam dan bilal yang menyokong
Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lalu.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri, Harun Taib
berkata, imam dan bilal yang didakwa dipecat ketika BN memerintah negeri itu akan diambil semula.

"Mereka akan diserapkan semula di kariah masing-masing dan tugas imam dan bilal akan dijalankan secara
bergilir di sesuatu masjid mukim," katanya.

Menurutnya, tambahan imbuhan kepada imam dan bilal yang diumumkan kerajaan Pas Terengganu bukan
bertujuan politik tetapi sebagai insentif kepada mereka yang melaksanakan tugas untuk kemajuan Islam.

Beliau berkata, Pas tidak akan menyekat kebebasan mereka (penyokong BN) berpolitik, tetapi mereka perlu
lebih bertanggungjawab dan tidak menghina dan menentang usaha menegakkan Islam," katanya pada majlis
penyampaian imbuhan kepada imam dan bilal di Kompleks Seri Iman, di sini, hari ini.

Pas dalam manifesto pilihan raya umum yang lalu, turut memberi janji akan menaikkan elaun untuk imam dan
bilal serta mahu kedudukan mereka diletakkan di tempat yang lebih baik berbanding yang dibuat kerajaan BN.

Harun mahu imam dan bilal memainkan peranan yang lebih berkesan, termasuk mendidik kanak-kanak dalam
pengajaran ajaran Islam dan remaja yang terbabit dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, dalam perancangan masa depan, ilmu dan pengetahuan imam dan bilal mengenai Islam juga
akan dipertingkatkan untuk membolehkan mereka mendidik kanak-kanak dalam mukim masing-masing.

"Pembaharuan dalam melantik jawatankuasa masjid juga akan dilakukan supaya mereka yang dipilih boleh
diterima dan dipersetujui semua pihak. Pesuruhjaya JHEAT akan mengeluarkan arahan baru tidak lama,"
katanya.

Beliau juga mendakwa punca utama berlaku sembahyang Jumaat di masjid berasingan sebelum ini ialah
kerana perbezaan fahaman politik.

++ Siapa kata kerajaan PAS Terengganu zalim seperti mana yang didakwa terhadap para penghulu kelmarin?